Kanak-kanak Ukraine mula tahun persekolahan di bawah tanah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kanak-kanak Ukraine mula tahun persekolahan di bawah tanah

Sep 2, 2025 | 4:52 PM

Kanak-kanak Ukraine mula tahun persekolahan di bawah tanah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pelajar memulakan sesi persekolahan di sekolah bawah tanah baru di daerah Osnovyansky, Kharkiv, yang dibuka bagi membolehkan pembelajaran selamat di tengah-tengah serangan Rusia atas Ukraine.
Pelajar memulakan sesi persekolahan di sekolah bawah tanah baru di daerah Osnovyansky, Kharkiv, yang dibuka bagi membolehkan pembelajaran selamat di tengah-tengah serangan Rusia atas Ukraine. - Foto REUTERS

KHARKIV (Ukraine): Pada 1 September, ibu bapa di Ukraine menghantar anak-anak mereka ke sekolah bawah tanah demi memastikan mereka dapat belajar seperti biasa, selepas lebih tiga tahun sejak pencerobohan besar-besaran Rusia.

Sekitar 17,000 kanak-kanak di Kharkiv, bandar kedua terbesar Ukraine yang sering menjadi sasaran serangan Rusia, kini bersekolah di fasiliti bawah tanah. Tujuh sekolah seperti ini telah dibuka dan lebih banyak akan dibuka tidak lama lagi.

“Hari ini, anak saya, pelajar darjah satu, datang ke sekolah buat kali pertama – sebuah sekolah bawah tanah, yang paling dekat dengan Saltivka Utara,” kata Cik Anastasia Pochergina, merujuk kepada kawasan pinggir bandar Kharkiv yang sering diserang Rusia.

“Sekolah itu terletak tiga tingkat di bawah tanah, dan kami diberitahu ia adalah sekolah paling dalam di Kharkiv. Sebab itu saya rasa ia selamat. Kami tidak menjangka perkara ini mungkin berlaku pada 2025, tetapi sebagai ibu, saya sangat berharap anak saya dapat hadir ke sekolah biasa.”

Ketika menyiapkan anak perempuannya untuk sambutan hari pertama persekolahan pada 1 September – hari di mana pelajar membawa bunga dan hadiah untuk guru – Cik Pochergina tidak terlalu berharap akan kembalinya kehidupan harian yang normal, walaupun ada perbincangan damai dengan Rusia.

“Kami harap keadaan akan bertambah baik, tetapi kami tidak mengharapkan keamanan sepenuhnya,” katanya. “Kami juga tidak menjangka dapat kembali ke sekolah fizikal tradisional kerana kami bersikap realistik, kami faham situasi ini dan tidak mahu berangan.”

Guru-guru menyuruh murid segera masuk ke sekolah sebaik tiba, dan mereka menuruni tangga sambil berpimpin tangan. Kanak-kanak kecil dan besar menghadiri kelas dalam bilik darjah yang lengkap, kelihatan tenang dan tidak gentar.

Datuk Bandar Kharkiv, Encik Ihor Terekhov, berkata tiga lagi sekolah akan dibuka pada 2026. Enam stesen metro Kharkiv juga telah diubah suai menjadi bilik darjah demi mengembalikan sedikit kehidupan normal kepada kanak-kanak.

“Ini adalah salah satu sekolah yang paling dekat dengan sempadan Rusia. Hari ini kami membuka dua sekolah di daerah Nova Saltivka, seperti sekolah ini,” katanya.

“Anda boleh lihat betapa dalam sekolah ini dibina. Kedalaman amat penting. Ia besar, terdapat 1,500 pelajar di sini.”

Maria Yampolska, enam tahun, gembira bercerita tentang hari pertamanya melukis dan bermain dalam kelas.

Apabila ditanya bagaimana ia berbanding tadika, dia secara jujur menjawab: “Saya tak pernah pergi sebab perang.” – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg