WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat, Encik J.D. Vance, berkata pada 20 Ogos bahawa Eropah perlu menanggung sebahagian besar kos bagi jaminan keselamatan Ukraine.
Ini berikutan usaha Presiden Donald Trump yang mahu mencapai perjanjian damai bagi menamatkan perang selama tiga setengah tahun antara Russia dengan Ukraine.
Salah satu keutamaan Ukraine ialah jaminan keselamatan terhadap pencerobohan Russia.
Menurut Encik Trump, beliau tidak akan meletakkan tentera Amerika di Ukraine tetapi boleh menawarkan sokongan udara kepada negara itu.
Negara Eropah telah membentuk ‘Pakatan Yang Bersedia’ untuk mengerahkan angkatan tentera bagi menjamin keselamatan Ukraine.
Dengan Encik Trump keberatan mengeluarkan berbilion dolar dalam bantuan ketenteraan Amerika kepada Ukraine setakat ini, Rumah Putih berkata Washington tidak akan terus ‘menulis cek kosong’ untuk membiayai pertahanan Kyiv.
Encik Trump mahu mengalihkan lebih banyak tanggungjawab dari segi kos kepada sekutu Eropah.
“Saya tidak fikir kita harus memikul beban ini dan Presiden Trump pastinya mengharapkan Eropah memainkan peranan utama di sini,” kata Encik Vance kepada rancangan Fox News ‘The Ingraham Angle’.
“Tidak kira dalam bentuk apa pun, orang Eropah perlu menanggung beban terbesar. Ia adalah benua mereka, keselamatan mereka, dan presiden (Trump) telah menjelaskan mereka perlu berbuat demikian,” tambahnya.
Encik Vance berkata Russia mahukan beberapa wilayah Ukraine, “sebahagian besarnya telah mereka duduki, tetapi sebahagian daripadanya belum”.
Russia menduduki kira-kira seperlima Ukraine, dan Encik Trump berkata “pertukaran tanah” dan perubahan kepada wilayah adalah perkara penting bagi sebarang penyelesaian.
Ukraine menentang penyerahan wilayahnya kerana Presiden Volodymyr Zelensky menyatakan ia termaktub dalam perlembagaan negaranya.
Tetapi Kyiv tidak mempunyai keupayaan ketenteraan untuk merampas semula semua kawasan yang dikuasai Russia dan mempunyai pengaruh diplomatik terhad untuk memaksa penarikan diri tentera Russia dalam jangka pendek.
Pegawai dan sumber Amerika berkata pada 19 Ogos bahawa perancang tentera Amerika dan Eropah dilaporkan telah mula meneroka jaminan keselamatan pascakonflik bagi Ukraine.
Langkah itu dibuat berikutan ikrar Encik Trump untuk membantu melindungi Ukraine di bawah sebarang perjanjian untuk menamatkan perang dengan Russia.
Ukraine dan sekutu Eropahnya kian bersemangat ekoran janji Encik Trump itu semasa mesyuarat pada 18 Ogos mengenai jaminan keselamatan untuk Kyiv.
Pegawai menyatakan Pentagon sedang melakukan perancangan mengenai sokongan yang boleh ditawarkan Washington selain daripada membekalkan senjata kepada Ukraine. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg