Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perancang AS, Nato teroka pilihan bagi jaminan keselamatan Ukraine

Aug 20, 2025 | 2:32 PM
nato, ukraine, russia
Beberapa bangunan di Ukraine rosak akibat serangan Russia. Kementerian Luar Russia telah menolak penempatan tentera dari negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) untuk membantu mencapai perjanjian damai. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Perancang tentera Amerika Syarikat dan Eropah telah mula meneroka jaminan keselamatan pascakonflik bagi Ukraine, kata pegawai dan sumber Amerika pada 19 Ogos.

Langkah itu dibuat berikutan ikrar Presiden Amerika, Encik Donald Trump, untuk membantu melindungi Ukraine di bawah sebarang perjanjian untuk menamatkan perang dengan Russia.

Ukraine dan sekutu Eropahnya semakin bersemangat ekoran janji Encik Trump itu semasa mesyuarat pada 18 Ogos mengenai jaminan keselamatan untuk Kyiv, tetapi banyak soalan masih tidak terjawab.

Pegawai menyatakan bahawa Pentagon sedang melakukan perancangan mengenai sokongan yang boleh ditawarkan Washington selain daripada membekalkan senjata.

Tetapi mereka memberi amaran bahawa ia akan mengambil masa bagi perancang Amerika dan Eropah untuk menentukan perkara yang boleh dilaksanakan dari segi ketenteraan dan boleh diterima Kremlin.

Satu pilihan ialah menghantar tentera Eropah ke Ukraine tetapi meletakkan Amerika bertanggungjawab ke atas perintah dan kawalan mereka, kata dua sumber.

Sumber itu menambah bahawa tentera tersebut tidak akan berada di bawah panji Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) tetapi beroperasi di bawah bendera negara mereka sendiri.

Pentagon dan Nato enggan mengulas mengenai idea itu.

Dalam taklimat media, Rumah Putih berkata Amerika boleh membantu menyelaraskan jaminan keselamatan untuk Ukraine.

Kementerian Luar Russia telah menolak penempatan tentera daripada negara Nato untuk membantu mencapai perjanjian damai.

Encik Trump secara terbuka menolak mengerahkan tentera Amerika di Ukraine tetapi pada 19 Ogos menyatakan kesediaannya terhadap penglibatan tentera Amerika yang lain.

Dalam temu bual dengan Fox News, beliau menyatakan Washington boleh memberikan sokongan udara kepada Ukraine.

“Apabila bercakap tentang keselamatan, Eropah bersedia menempatkan pasukan mereka di lapangan, kami sedia membantu mereka mungkin melalui udara kerana tiada siapa yang mempunyai peralatan yang kami ada,” kata Encik Trump.

Beliau tidak memberikan butiran lanjut.

Sokongan udara Amerika boleh diberikan dalam pelbagai cara termasuk menyediakan lebih banyak sistem pertahanan udara ke Ukraine dan menguatkuasakan zon larangan terbang dengan jet pejuang Amerika.

Sejak pencerobohan besar-besaran Russia ke atas jirannya Ukraine pada 2022, Amerika telah menghantar senjata dan peluru bernilai berbilion dolar ke Kyiv.

Pentadbiran Encik Trump telah menghentikan seketika penghantaran senjata tersebut, termasuk selepas mesyuarat Rumah Putih yang dipertikaikan antara Encik Trump dengan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, pada Februari lalu dan sekali lagi pada Julai.

Penghantaran telah disambung semula dan Encik Trump telah berjanji untuk menghantar senjata, terutamanya senjata pertahanan, untuk membantu negara yang dilanda perang itu.

Ketua tentera Nato pula akan memberi tumpuan kepada Ukraine dan menunjuk jalan ke hadapan apabila mereka bertemu secara maya pada 20 Ogos.

Jeneral Tentera Udara Amerika, Encik Alexus Grynkewich, yang juga menyelia operasi Nato di Eropah, akan memberi taklimat kepada ketua pertahanan mengenai hasil pertemuan di Alaska antara Encik Trump dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, kelak.

Seorang pegawai Amerika, bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata Jeneral Dan Caine, pengerusi Ketua Turus Bersama, dijangka menghadiri mesyuarat itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg