Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kapal bantuan tunggu di Cyprus, sedang jeti dibina di Gaza

Mar 11, 2024 | 2:05 PM
Kerja-kerja memunggah bantuan makanan ke dalam tongkang untuk dihantar ke Gaza, telah selesai dijalankan di pelabuhan Larnaca, Cyprus.
Kerja-kerja memunggah bantuan makanan ke dalam tongkang untuk dihantar ke Gaza, telah selesai dijalankan di pelabuhan Larnaca, Cyprus. - Foto EPA-EFE

LARNACA (Cyprus): Kapal yang membawa bertan-tan makanan untuk Gaza berlabuh di pelabuhan Cyprus pada 10 Mac ketika persiapan sedang dibuat untuk melancarkan laluan bantuan maritim ke wilayah yang suku penduduknya dianggarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilanda masalah kebuluran.

The Open Arms, sebuah kapal tunda, merancang menunda tongkang dengan 200 tan makanan, kebanyakannya dibiayai oleh Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Ia diperoleh daripada badan amal World Central Kitchen (WCK), yang bekerjasama dengan pertubuhan bukan pemerintah Sepanyol Proactiva Open Arms.

WCK berkata ia mempunyai 500 tan bekalan lagi di Cyprus, yang akan dihantar dalam misi akan datang.

Bagaimanapun, masa berlepas untuk bantuan itu masih bergantung kepada pembinaan jeti sementara di Gaza untuk memudahkan penghantaran memandangkan jaluran itu tidak mempunyai prasarana pelabuhan.

WCK kini sedang giat menjalankan kerja membina jeti itu.

Pengasas WCK, Encik Jose Andres, berkata: “Saya harap @WCKitchen berjaya mengetengahkan cara baru untuk meningkatkan penyaluran makanan ke Gaza.

“Tetapi kami tidak mempunyai pelan, membuat penyesuaian dan mencari jalan untuk menghantar bantuan.”

Projek perintis itu membayangkan bantuan terus ke Gaza, yang telah diketepikan dari dunia luar sejak Israel memulakan serangannya sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober.

Jika berjaya, penyaluran makanan tersebut menandakan pelonggaran pertama sekatan tentera laut Israel yang dikenakan ke atas Gaza pada 2007 selepas Hamas menguasai wilayah Palestin.

Tentera Amerika Syarikat telah menghantar kapal logistik yang membawa peralatan, beberapa hari selepas Presiden Amerika, Encik Joe Biden, berkata bahawa negaranya akan membina dermaga sementara untuk memudahkan penghantaran bantuan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg