Topic followed successfully
Go to BHkuKapal MV Hondius yang dilanda wabak hantavirus bakal tiba di Sepanyol
Kapal MV Hondius yang dilanda wabak hantavirus bakal tiba di Sepanyol
3 individu dibawa keluar melalui pesawat bagi rawatan perubatan
Kapal MV Hondius yang dilanda wabak hantavirus bakal tiba di Sepanyol
MADRID: Sebuah kapal persiaran yang dilanda wabak hantavirus dijadualkan tiba di pulau Tenerife, Sepanyol, dalam tempoh tiga hari, dengan proses memindahkan penumpang dijangka bermula pada 11 Mei, lapor pihak berkuasa Sepanyol pada 6 Mei.
Nasib kapal MV Hondius itu membangkitkan kebimbangan sejagat setelah tiga individu dalam pelayaran itu terkorban.
Namun, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata wabak itu tidak seperti pandemik Covid-19 dan “risiko kepada dunia adalah rendah”.
Seorang penumpang, Encik Ruhi Cenet, 35 tahun, yang merupakan ‘vlogger’ pelancongan dari Turkey, menyifatkan pelayaran yang mulanya tenteram bertukar huru-hara selepas kapten kapal mengumumkan kematian seorang penumpang pada 12 April.
“Beliau (kapten) kata kematian itu berpunca daripada sebab semula jadi,” kata Encik Cenet kepada AFP.
“Mereka langsung tidak memikirkan kemungkinan wujudnya penyakit berjangkit sebegitu,” tambahnya.
“Mereka tidak memandang serius masalah ini.”
WHO memaklumkan bahawa pasukan kecemasan telah memindahkan tiga individu dari kapal tersebut.
Ini termasuk dua kru yang jatuh sakit dan seorang penumpang yang mempunyai kontak rapat dengan kes yang disahkan.
Kapal itu kemudian meninggalkan kawasan pelabuhan di Cape Verde, Afrika dan menuju ke Kepulauan Canary, Sepanyol.
Selepas dipindahkan dari kapal ke bot ambulans oleh kakitangan perubatan berbaju perlindungan diri, ketiga-tiga individu itu menaiki penerbangan di lapangan terbang ibu kota Cape Verde.
Salah sebuah pesawat perubatan mendarat di Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam, Belada pada 5.47 petang (1.47 pagi waktu Singapura), menurut wartawan AFP.
Perkhidmatan kecemasan Jerman mengesahkan mereka telah mengambil seorang individu yang dipindahkan di Amsterdam kerana mempunyai kontak rapat dengan pesakit di atas kapal, dan telah menghantarnya ke hospital di Dusseldorf untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, seorang lagi mangsa dilaporkan mendarat di Las Palmas, Kepulauan Canary, pada petang 6 Mei.
Pegawai Sepanyol menyatakan pesawat yang membawa dua pesakit itu terpaksa mendarat atas masalah teknikal.
Kementerian Kesihatan Sepanyol mengesahkan pesakit tersebut memerlukan pesawat lain untuk meneruskan perjalanan ke Belanda.
Pakar mengesahkan virus yang dikesan merupakan varian jarang ditemui yang dikenali sebagai virus Andes, satu-satunya jenis virus yang boleh menular antara manusia.
Kapal tersebut bertolak dari Ushuaia, Argentina pada 1 April, dan kematian pertama dilaporkan pada 11 April.
Pegawai Argentina memberitahu pasangan pertama yang maut itu telah melawat Chile, Uruguay, dan Argentina sebelum memulakan pelayaran, sambil menambah sekumpulan pakar akan dihantar ke Ushuaia untuk menjalankan ujian terhadap populasi tikus di kawasan tersebut.
Argentina mencatatkan peningkatan kes hantavirus, namun ia masih belum diklasifikasikan sebagai wabak, kata pakar perubatan, Profesor Madya Raul Gonzalez Ittig. – AFP.

