Kapal perang Iran kedua hampiri perairan Sri Lanka selepas frigat pertama ditenggelamkan AS
Kapal perang Iran kedua hampiri perairan Sri Lanka selepas frigat pertama ditenggelamkan AS
GALLE: Sebuah kapal perang Iran kedua dilaporkan sedang menghampiri perairan wilayah Sri Lanka pada 5 Mac, sehari selepas sebuah kapal selam Amerika Syarikat menenggelamkan sebuah frigat Iran berhampiran pantai selatan negara itu, mengorbankan sekurang-kurangnya 87 kelasi.
Menteri Media Sri Lanka, Encik Nalinda Jayatissa, memberitahu Parlimen bahawa kapal perang tersebut kini berada di luar perairan Sri Lanka, namun beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai kedudukan atau pergerakan kapal itu.
Menurut sumber rasmi, kapal tersebut membawa lebih daripada 100 anak kapal. Pihak berkuasa bimbang ia mungkin menjadi sasaran serangan seperti yang berlaku terhadap kapal frigat Iran yang ditenggelamkan oleh kapal selam Amerika Syarikat pada 4 Mac lalu.
Insiden itu berlaku di luar pantai selatan Sri Lanka dan menandakan bagaimana konflik yang tercetus susulan serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran kini semakin meluas sehingga melibatkan kawasan di luar Asia Barat.
Di bandar pelabuhan Galle, pihak berkuasa sedang membuat persiapan untuk menyerahkan jenazah 87 kelasi Iran yang terkorban dalam serangan torpedo tersebut kepada pihak berkuasa Iran.
Serangan itu didakwa dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat ketika ketegangan ketenteraan antara Washington, Israel dan Tehran terus meningkat.
Pada masa sama, seramai 32 kelasi Iran yang berjaya diselamatkan kini masih menerima rawatan di hospital utama Galle.
Pihak hospital berkata mereka ditempatkan di sebuah wad khas yang dikawal ketat oleh polis serta anggota komando elit Sri Lanka.
Unit Rawatan Kecemasan hospital tersebut turut ditutup kepada pelawat dan pesakit lain bagi memastikan keselamatan serta privasi mangsa.
Seorang jururawat yang enggan dikenali berkata kebanyakan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.
“Kebanyakan mereka mengalami kecederaan kecil, tetapi ada juga yang mengalami patah tulang dan melecur akibat letupan,” katanya.
Jurucakap Tentera Laut Sri Lanka, Kapten Buddhika Sampath, berkata operasi mencari mangsa yang masih hilang sedang diteruskan. “Kapal-kapal tentera laut Sri Lanka masih menjalankan operasi pencarian bagi mengesan kelasi Iran yang masih hilang,” katanya kepada AFP.
Setakat ini, beberapa mayat telah ditemui di kawasan laut berhampiran lokasi kapal perang tersebut tenggelam.
Pemerintah Iran setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian kapal perang mereka ditenggelamkan berhampiran Sri Lanka.
Insiden itu bagaimanapun meningkatkan kebimbangan bahawa konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel kini semakin melebar dan berpotensi melibatkan kawasan yang jauh dari medan utama peperangan di Asia Barat.
Sri Lanka pula menegaskan bahawa negara itu kekal berkecuali dalam konflik tersebut. Pemerintah Colombo sebelum ini berulang kali menyeru semua pihak supaya menamatkan ketegangan melalui rundingan diplomatik.
“Pemerintah Sri Lanka terus menggesa dialog dan penyelesaian secara aman bagi menamatkan konflik di Asia Barat,” kata seorang pegawai pemerintah. - Agensi berita

