Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kawasan perumahan halal dekat Mumbai cetus kemarahan

Sep 14, 2025 | 4:00 PM
Kontroversi tercetus pada awal September selepas iklan video untuk “kawasan perumahan halal” Sukoon Empire, yang menampilkan ‘penthouse’ dan kolam infiniti, di Karjat menjadi tular.
Kontroversi tercetus pada awal September selepas iklan video untuk “kawasan perumahan halal” Sukoon Empire, yang menampilkan ‘penthouse’ dan kolam infiniti, di Karjat menjadi tular. - Foto TANGKAP LAYAR KANOONGOPRIYANK/X

NEW DELHI: Cadangan pembangunan projek perumahan mewah yang disasarkan kepada masyarakat Islam di sebuah bandar berhampiran Mumbai telah mencetuskan kontroversi di India. 

Pengkritik mengecam langkah tersebut sebagai satu usaha yang berisiko meningkatkan perpecahan agama Hindu-Muslim di negara itu.

Kontroversi ini bermula pada awal September selepas satu iklan video untuk “kawasan perumahan halal” Sukoon Empire, yang menampilkan ‘penthouse’ dan kolam infiniti, di Karjat menjadi tular, lapor The Straits Times (ST).

Iklan itu memaparkan seorang wanita bertudung yang memperkenalkan konsep “kehidupan bermasyarakat yang autentik” dengan “keluarga yang sehaluan dan berkongsi nilai yang sama” serta “persekitaran halal” di mana kanak-kanak boleh “membesar dengan selamat.”

Iklan tersebut disertai visual individu yang jelas kelihatan Muslim, termasuk seorang lelaki yang memakai songkok dilihat sedang membaca al-Quran. Ia juga menyebut tentang ruang ibadah yang disertai dengan struktur berkubah seperti masjid.

Iklan ini telah menimbulkan kemarahan terutama di kalangan golongan kanan Hindu, yang menyifatkannya sebagai ancaman kepada kesatuan India dan menggambarkannya sebagai “usaha belakang tabir” untuk mengenakan “sistem syariah paralel.”

Ia juga mendorong campur tangan dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nasional, yang meminta pemerintah Maharashtra pada 3 September untuk menyiasat perkara ini dan melaporkan kembali dalam tempoh dua minggu.

Encik Priyank Kanoongo, pengerusi suruhanjaya tersebut, memberitahu Indo-Asian News Service bahawa iklan itu membayangkan yang umat Islam berdepan dengan cabaran toleransi dan ingin berpindah ke tempat yang terpisah untuk melindungi diri mereka.

“Ini adalah pelaksanaan teori ‘bangsa dalam bangsa’,’” tambahnya. “Hari ini, anda bercakap tentang kawasan perumahan yang terpisah. Esok, anda akan meminta doktor Muslim. Lusa, anda akan meminta polis Muslim...”

Sukoon Empire bukanlah pembangunan pertama yang mencetuskan kemarahan, dan ia telah menonjolkan diskriminasi agama yang meluas di India, terutamanya dalam perumahan bandar, khususnya terhadap umat Islam, termasuk golongan kaya. 

Ini telah mengakibatkan pengasingan masyarakat di bandar-bandar India dan mencipta permintaan untuk projek perumahan yang disasarkan kepada mereka.

Pasaran projek seperti ini, yang ditujukan kepada umat Islam, didorong oleh golongan Muslim kelas pertengahan dan atas pertengahan yang mencari keselamatan dalam masyarakat berpagar serta persekitaran untuk mengamalkan agama mereka dengan bebas.

Pembangunan ini dicadangkan ketika paparan agama Islam di tempat awam, seperti solat di taman, menjadi kontroversi, dengan tentangan daripada beberapa golongan Hindu dan tindakan polis dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Sejak Parti Bharatiya Janata dipilih memerintah pada 2014, negara itu, telah menjadi lebih terpecah.

Namun, “kawasan perumahan halal” ini juga ditentang oleh ramai umat Islam yang bimbang ia menguatkan golongan konservatif Islam dan merosakkan semangat berbilang budaya di India.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg