Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong lawat India rai 60 tahun hubungan diplomatik

Sep 2, 2025 | 3:59 PM
Papan tanda bagi meraikan kedatangan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri) yang akan melawat India untuk bertemu Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi di New Delhi, India.
Papan tanda bagi meraikan kedatangan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri) yang akan melawat India untuk bertemu Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi di New Delhi, India. - Foto ST

NEW DELHI: Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, akan membuat lawatan rasmi pertamanya ke India sebagai ketua pemerintah Singapura dari 2 hingga 4 September.

Lawatan beliau ke New Delhi, atas undangan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, diadakan ketika kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik.

Ia juga mengesahkan komitmen bersama Singapura dan India untuk memperkukuh hubungan.

Demikian menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO), dalam satu kenyataan pada 2 September.

Semasa lawatannya, Encik Wong mengunjungi Presiden India, Cik Droupadi Murmu, dan bertemu Encik Modi, yang akan menjadi tuan rumah bagi satu jamuan tengah hari.

Encik Wong juga akan menerima kunjungan daripada pegawai India, iaitu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Keluarga serta Menteri Kimia dan Baja India, Encik Jagat Prakash Nadda; Menteri Kewangan dan Ehwal Korporat India, Cik Nirmala Sitharaman; Menteri Pendidikan India, Encik Dharmendra Pradhan; Menteri Hal Ehwal Luar India, Dr Subrahmanyam Jaishankar; dan Penasihat Keselamatan Negara, Encik Ajit Doval, kata PMO.

Lawatan tersebut diadakan berikutan satu siri pertemuan peringkat tinggi antara pemimpin Singapura dengan India, sedang kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-60 dan berusaha ke arah mewujudkan satu Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP) – satu hubungan diplomatik peringkat tinggi yang dijalinkan oleh Singapura dengan beberapa negara sahaja.

Encik Modi membuat lawatan rasmi dua hari ke Singapura pada September 2024, dengan kedua-dua negara bersetuju mempertingkat hubungan mereka ke tahap CSP, lapor The Straits Times (ST).

Pada Januari, Presiden Tharman Shanmugaratnam, mengadakan lawatan negara ke India.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, pula mengetuai delegasi Singapura seramai enam orang ke India pada edisi ketiga rundingan Meja Bundar Menteri India-Singapura (ISMR) pada Ogos, yang bertujuan meningkatkan kerjasama dalam bidang baru yang sedang berkembang.

Jadual perjalanan Encik Wong juga termasuk melawat tugu peringatan Raj Ghat sebagai penghormatan kepada wira kemerdekaan, Mahatma Gandhi.

Beliau akan turut mengadakan satu dialog tertutup bersama sekumpulan pemimpin perniagaan India.

Beliau juga akan bertemu rakyat Singapura yang menetap di luar negara dalam satu majlis jamuan di ibu kota India bagi meraikan ulang tahun ke-60 hubungan antara kedua-dua negara, serta ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura.

Dalam lawatan tersebut, Encik Wong akan diiringi Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow; dan Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg