JAKARTA: Satu kebakaran berlaku di sebuah bangunan tujuh tingkat di Jakarta, Indonesia, pada 9 Disember, dengan 22 mangsa disahkan maut manakala beberapa lagi dikhuatiri masih terperangkap di dalam bangunan.
Polis berkata bateri yang meletup di tingkat satu telah menyalakan api, yang kemudian merebak ke tingkat atas bangunan di pusat Jakarta sebelum berjaya dipadamkan.
Ketua Polis Jakarta Pusat, Encik Susatyo Purnomo Condro, memberitahu media api berjaya dipadamkan, namun operasi mencari mangsa yang masih berada di dalam bangunan sedang diteruskan.
Kebanyakan mangsa yang maut merupakan wanita, termasuk seorang yang sedang hamil, katanya.
Namun jumlah korban berkemungkinan meningkat ketika petugas kecemasan mencari orang yang terperangkap di dalam bangunan atau lebih ramai mangsa di tempat kejadian.
Ketika kejadian, sebahagian pekerja sedang berehat ketika makan tengah hari di dalam bangunan, manakala sebahagian lagi keluar meninggalkan pejabat.
Menurut Encik Susatyo, anggota bomba sedang menumpukan perhatian untuk menyejukkan bangunan dan membersihkan asap tebal dari beberapa tingkat.
“Kami akan menggeledah tempat itu sekali lagi sebaik sahaja ia dibersihkan,” katanya.
Rakaman agensi berita, AFP, menunjukkan bahagian hadapan bangunan hangus, dengan beberapa tingkap pecah, sementara anggota bomba menggunakan kipas besar untuk menyejukkan tapak tersebut.
Laporan televisyen menunjukkan pemindahan lebih 12 pekerja yang terperangkap, termasuk ramai wanita, dari tingkat enam menggunakan tangga kecemasan yang dihulurkan oleh anggota bomba.
Mereka terpaksa diturunkan seorang demi seorang dari bangunan, dan beberapa orang sukar bernafas akibat asap tebal ketika menunggu giliran mereka.
Bangunan tersebut menempatkan pejabat Terra Drone Indonesia, syarikat yang menyediakan perkhidmatan dron untuk kegiatan tinjauan udara bagi pelanggan dalam sektor perlombongan hingga pertanian.
Syarikat itu memperoleh pembiayaan daripada firma dron Jepun, Terra Drone Corporation, berdasarkan laman web syarikat itu.
Rakaman yang disiarkan Kompas TV menunjukkan puluhan anggota bomba berusaha membawa keluar mangsa, termasuk beberapa mangsa yang diusung dalam beg mayat.
Sebahagian pekerja turut dilihat cuba menyelamatkan diri dari tingkat atas bangunan.
Menurut Jabatan Bomba Jakarta, sekurang-kurangnya 100 anggota bomba dan 29 trak bomba dikerah untuk memadamkan kebakaran itu.
Encik Susatyo berkata kebanyakan mangsa nampaknya tidak mengalami kelecuran namun kemungkinan besar meninggal dunia akibat sesak nafas.
Mayat tersebut dibawa ke hospital untuk bedah siasat, tambahnya.
“Kami masih mengumpul data, tetapi buat masa ini, kami sedang menumpukan (usaha untuk) mengenal pasti mangsa yang telah ditemui,” kata Encik Susatyo. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg