Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran besar ladang tebu jejas pengeluar gula utama Brazil

Aug 27, 2024 | 6:30 PM
Anggota bomba bekerja keras  memadamkan api yang membaham ladang tebu dekat bandar Dumon, Brazil, pada 24 Ogos.
Anggota bomba bekerja keras memadamkan api yang membaham ladang tebu dekat bandar Dumon, Brazil, pada 24 Ogos. - Foto Reuters

SAO PAULO: Kebakaran yang yang melanda ladang tebu pengeksport utama dunia di Brazil pada hujung minggu dijangka memberi kesan kepada bekalan dan menaikkan harga gula.

Kebarakan tersebut mungkin lebih besar daripada akibat salji yang merosakkan tebu di Brazil pada 2021, kata syarikat pedagang terkemuka, Alvean.

“Skop isu sekarang adalah lebih besar,” kata Encik Mauro Virgino, ketua perisikan perdagangan di syarikat itu, dalam satu temu bual.

Kesannya boleh berpanjangan sepanjang tahun akan datang, kerana kebakaran telah menjejas tebu yang bertunas.

Dalam kes sedemikian, haba merosakkan akar tumbuhan dengan teruk, bermakna pengeluar mungkin perlu menanam semula atau menghadapi penuaian yang lebih kecil pada musim akan datang.

Sao Paulo, yang menjadi pembekal terbesar gula untuk Brazil, menghadapi rekod kebakaran yang teruk disebabkan kelembapan rendah dan gelombang haba.

Terdapat sebanyak 2,000 kebakaran pada hujung minggu ini, kata kumpulan industri tebu Orplana. Walaupun hujan kemudiannya membantu mengurangkan risiko kebakaran baru, sebanyak 60,000 hektar kawasan tanaman terjejas.

“Selama 20 tahun dalam perniagaan, saya tidak pernah melihat perkara seperti itu,” kata Encik Almir Torcato, pengarah eksekutif di persatuan penanam tebu Canoeste.

Kumpulan itu mengumpulkan lebih 2,000 petani di beberapa kawasan yang paling terjejas di majlis perbandaran Sertãozinho dan Bebedouro.

“Kami menerima banyak permintaan meminta pertolongan,” tambah Encik Torcato.

Niaga hadapan gula mentah meningkat sebanyak 4.2 peratus di New York pada 26 Ogos, lonjakan terbesar sehari dalam sebulan.

Kebakaran menambah kebimbangan yang semakin meningkat kerana kemarau dan cuaca panas telah menjejas hasil tebu di Brazil.

Data akan datang untuk pengeluaran minggu ini dijangka menjelaskan sedikit situasi hasil tebu di Brazil, tetapi mungkin tidak menggambarkan kesan kebakaran.

Sebanyak lima juta tan metrik tebu mungkin hangus akibat kebakaran di Sao Paulo, menurut dua anggaran awal daripada Pakar Komoditi Green Pool Community dan firma perkhidmatan kewangan FG/A.

Namun, mereka mewakili kira-kira 1.4 peratus daripada pengeluaran tebu di Sao Paulo.

Kesan ke atas jumlah pengeluaran gula tidak dapat dianggarkan kerana beberapa tebu yang terbakar berada dalam keadaan yang cukup baik untuk diproses.

Syarikat gula Brazil, Sao Martinho SA, berkata sekitar 20 ribu hektar ladang tebunya terjejas akibat kebakaran itu, manakala pengeluar terkemuka Raizen SA berkata kira-kira 1.8 juta tan tebunya dan pembekal tebu terjejas. – Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg