SYDNEY: Ribuan anggota bomba bertungkus lumus di bahagian tenggara Australia pada 10 Januari untuk mengawal kebakaran belukar yang telah memusnahkan rumah, memutuskan bekalan elektrik kepada puluhan ribu orang dan menyebabkan sebahagian besar kawasan hutan hangus.
Kebakaran itu, yang berlaku di tengah-tengah gelombang haba di Victoria, Australia, telah memusnahkan lebih 300,000 hektar (741,316 ekar) kawasan hutan, kata pihak berkuasa tempatan.
Di New South Wales, beberapa kebakaran dekat sempadan Victoria berada pada tahap kecemasan, dengan suhu mencecah lebih 40 darjah Celsius, menurut Perkhidmatan Bomba Luar Bandar.
Lebih 130 struktur, termasuk rumah, musnah manakala kira-kira 38,000 rumah dan perusahaan terputus bekalan elektrik akibat kebakaran di Victoria itu, kata pihak berkuasa.
Tambahnya, kebakaran itu adalah yang paling teruk melanda negeri itu sejak kebakaran ‘Musim Panas Hitam’ pada 2019 hingga 2020 yang memusnahkan kawasan sebesar Turkey dan mengorbankan 33 orang.
Pemimpin Victoria, Cik Jacinta Allan, berkata ribuan anggota bomba berada di lapangan untuk berusaha mengawal kebakaran tersebut.
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, berkata negara itu menghadapi cuaca panas yang “ekstrem dan berbahaya”, terutamanya di Victoria.
Sebahagian besar negeri itu telah diisytiharkan sebagai zon bencana.
“Ingatan saya sentiasa bersama rakyat Australia di kawasan ini pada masa yang sangat sukar ini,” kata Encik Albanese dalam ucapan yang disiarkan di televisyen dari Canberra.
Salah satu kebakaran terbesar, berhampiran bandar Longwood, kira-kira 112 kilometer utara dari Melbourne, telah memusnahkan 130,000 hektar (320,000 ekar) kawasan belukar, memusnahkan 30 struktur, ladang anggur dan tanah pertanian, kata pihak berkuasa.
Penduduk berhampiran kawasan kebakaran telah dipindahkan dan banyak taman serta tapak perkhemahan negeri ditutup.
Amaran gelombang haba telah dikeluarkan pada 10 Januari bagi sebahagian besar Victoria, sementara amaran cuaca kebakaran aktif bagi negeri sebahagian besar Australia, termasuk negeri jiran New South Wales, menurut peramal cuaca negara itu.
Di ibu kota New South Wales, Sydney, suhu meningkat kepada 42.2 darjah Celsius, iaitu lebih 17 darjah Celsius melebihi purata maksimum bagi Januari, menurut data peramal cuaca negara itu.
Pada Disember, kebakaran belukar seluas Singapura melanda salah sebuah taman negara di Victoria.
Jurucakap Pusat Kawalan Negeri, Encik Luke Hegarty, memberitahu media Australia bahawa kebakaran itu telah memusnahkan 74,000 hektar Taman Negara Grampians atau kira-kira 100,000 padang bola sepak.
Taman negara itu terletak 240 kilometer barat dari Melbourne.
“Kebakaran ini saiznya lebih kurang seperti keluasan Singapura,” katanya. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg