MELBOURNE: Tenggara Australia dilanda gelombang panas pada 4 Januari, meningkatkan risiko kebakaran belukar dan menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan larangan membakar bagi sebahagian besar negeri Victoria.
Australia sedang menghadapi musim kebakaran belukar berisiko tinggi yang menyaksikan pihak berkuasa Victoria memerangi kebakaran besar yang melanda Taman Negara Grampians yang luas di negeri itu minggu lalu hingga memusnahkan rumah dan tanah ladang.
Peramal cuaca negara itu berkata suhu akan mencecah hingga 14 darjah Celsius di atas purata biasa di beberapa kawasan pada 4 Januari, dengan Melbourne, ibu kota Victoria, negeri kedua paling ramai penduduk di Australia, dijangka mencecah 37 darjah Celsius.
Di Lapangan Terbang Melbourne, suhu sudah pun mencecah 32.8 darjah Celsius pada 10.20 pagi (7.20 pagi waktu Singapura), lebih enam darjah melebihi purata suhu maksimum Januari, menurut data peramal.
Larangan membakar keseluruhan telah dilaksanakan untuk dua daerah di barat Victoria, termasuk Wimmera, sebuah kawasan sepanjang lebih 180 kilometer, di mana pihak berkuasa melabelkan bahaya kebakarannya sebagai “melampau” iaitu penarafan bahaya tertinggi.
“Perubahan angin yang lebih ketara yang mendorong haba merentasi kawasan tenggara tidak akan berlaku sehingga malam 5 Januari,” kata pegawai Biro Meteorologi, Cik Miriam Bradbury, kepada televisyen Australian Broadcasting Corporation.
Beberapa musim kebakaran terakhir di negara ini dianggap tenang berbanding dengan bencana kebakaran hutan “Musim Panas Hitam” pada 2019-2020 yang memusnahkan satu kawasan sebesar negara Turkey dan membunuh 33 orang. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg