Topik diikuti
Pergi ke BHkuKebakaran di Gunung Bromo: Dipadam, tapi ada tanda marak lagi
JAKARTA: Kebakaran di Taman Negara Gunung Bromo di Jawa Timur, Indonesia - kawasan seluas 770 padang bola sepak – telah berjaya dipadamkan pada 10 Ogos, tetapi beberapa titik panas baru telah dikesan, kata seorang pegawai pihak berkuasa.
Titik panas sedemikian boleh menandakan kebakaran atau kawasan yang masih panas walau kebakaran telah dikawal.
Kebakaran yang bermula pada 3 Ogos itu, menjejas 550 hektar kawasan belukar dan hutan setakat 9 Ogos dan telah dipadamkan sepenuhnya, kata ketua agensi pengurusan bencana tempatan, Encik Gatot Soebroto.
Menurutnya, pihak berkuasa telah menemui kebakaran baru di dataran di kelilingi kawah gunung berapi yang meliputi kira-kira 20 hektar.
Gunung berapi aktif itu merupakan destinasi pelancongan popular dan terkenal dengan kawah “lautan pasir”.
Keseluruhannya, Taman Negara Gunung Bromo seluas lebih 50,000 hektar, atau merangkumi kawasan sekitar dua pertiga Singapura.
“Kebakaran di sekitar kawah mungkin akan merebak kelak,” tambahnya.
Lebih 120 anggota, tiga helikopter pengebom air, dron dan beberapa trak bomba telah dikerahkan untuk memadamkan kebakaran tersebut, katanya.
Punca kebakaran masih disiasat tetapi Encik Gatot berkata pihaknya mengesyaki ia disebabkan oleh kecuaian.
“Seorang menyalakan api, kemudian memadamkannya tetapi ia tidak dipadamkan sepenuhnya,” kata Encik Gatot. – Reuters.
