Kebakaran perumahan paling buruk di Hong Kong dalam lebih setengah abad meragut sekurang-kurangnya 44 nyawa dan menyebabkan ratusan lagi hilang.
Pasukan penyelamat bertungkus-lumus memadamkan api dan Presiden China, Encik Xi Jinping menggesa usaha penuh bagi mengurangkan jumlah korban.
Usaha menyelamat berterusan sepanjang malam selepas kebakaran yang bermula sekitar 3 petang pada 26 November itu menukar kompleks perumahan lapan menara di utara Hong Kong menjadi lautan api, dengan asap hitam tebal memenuhi udara.
Pegawai berkata kebakaran bermula pada bahagian perancah buluh yang menyelubungi kompleks itu, satu bahan yang masih banyak digunakan di bandar tersebut.
Ketua Eksekutif Hong Kong, Encik John Lee berkata 279 orang masih dipercayai hilang, sementara pihak berkuasa mengumumkan siasatan jenayah akan dijalankan.
Polis menahan dua pengarah dan seorang perunding daripada sebuah syarikat kejuruteraan atas syak wasangka membunuh tanpa niat, ketika bandar itu berdepan kebakaran perumahan paling teruk sejak insiden 1962 yang turut meragut 44 nyawa.
“Jaring perlindungan, kain tahan api dan plastik pada bahagian luar bangunan terbakar dengan lebih kuat dan cepat berbanding bahan yang mematuhi piawaian keselamatan,” kata Setiausaha Keselamatan, Encik Chris Tang.
Encik Xi meminta pemerintah tempatan lain membantu Hong Kong dalam operasi menyelamat, dan menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera.
Pemerintah Hong Kong sudah diminta untuk memperbaiki sektor perumahan, selepas pemimpin tertinggi China menggesa penyediaan rumah yang lebih selesa untuk golongan berpendapatan rendah.
Kawasan perumahan di bandar itu biasanya sangat padat, dengan beberapa generasi tinggal dalam satu unit kecil.
Udara di sekitar estet Tai Po dipenuhi bau terbakar pada pagi 27 November, dengan letupan kedengaran dari tingkat atas bangunan 31 tingkat yang tidak dapat dicapai hos air.
Asap terus keluar dari kompleks berhampiran sempadan China itu, yang mempunyai hampir 2,000 unit dan sedang menjalani kerja pengubahsuaian besar. Tiga menara masih terbakar.
Encik Peter Leung, 71 tahun, yang tinggal di estet itu dan mempunyai tiga rakan yang hilang, berkata beliau membayar HK$170,000 ($28,300) untuk kerja naik taraf tersebut.
“Pihak pengurusan bangunan beritahu kami bahawa dinding luar rosak dan perlu dibaiki,” katanya setelah bermalam di pusat perlindungan. “Tapi ramai penduduk tidak sanggup membayar harga setinggi itu dan telah membuat aduan.”
Kebakaran itu kemungkinan akan dibandingkan dengan insiden Grenfell Tower di London, yang mengorbankan 72 orang pada Jun 2017 dan kemudian didapati berpunca daripada banyak kegagalan pemerintah serta industri pembinaan.
Namun tragedi di London berlaku pada tengah malam ketika penduduk tidur, sementara kebakaran di Hong Kong bermula pada waktu petang ketika ramai masih berjaga.
Bagaimanapun, penggera kebakaran tidak berbunyi, walaupun penduduk sudah menghidu asap, menurut bekas anggota majlis daerah Herman Yiu Kwan-ho kepada South China Morning Post. Mereka hanya diberi amaran apabila pengawal keselamatan mengetuk pintu.
Lebih satu pertiga daripada sekitar 5,000 penduduk di Wang Fuk Estate – yang dibina sebagai perumahan subsidi pemerintah pada 1980-an – berumur lebih 65 tahun.
Seorang anggota bomba berusia 37 tahun termasuk antara yang maut, selepas ditemui rebah di lokasi kejadian dan dikejarkan ke Hospital Prince of Wales, menurut kenyataan pemerintah.
Estet itu terletak di daerah pinggir bandar Tai Po, yang menempatkan kira-kira 300,000 penduduk serta pelbagai jenis perumahan, taman dan pusat beli-belah.
Operasi menyelamat dijangka berlarutan sehingga petang 27 November, lebih 24 jam selepas kebakaran bermula. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg