Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perkara perlu buat jika berlaku kebakaran di rumah

Aug 14, 2025 | 7:36 PM
Sekurang-kurangnya lapan kematian berkaitan kebakaran telah direkodkan sejauh ini sepanjang 2025.
Sekurang-kurangnya lapan kematian berkaitan kebakaran telah direkodkan sejauh ini sepanjang 2025. - Foto ST

Bilangan kematian akibat kebakaran di Singapura dilaporkan meningkat.

Tiga kes dicatat pada 2023 dan lima pada 2024, manakala setakat 2025, sekurang-kurangnya lapan kematian berkaitan kebakaran telah direkodkan.

Dua daripada kematian itu berlaku dalam satu kebakaran di sebuah unit flat di Bukit Merah pada 13 Ogos, lapor The Straits Times (ST).

Apakah yang perlu dilakukan jika berlaku kebakaran di rumah?

Pertama, jangan panik, sebaliknya beritahu orang lain dengan menjerit dan segera tinggalkan bilik atau kawasan berkenaan.

Hubungi ‘995’ dan aktifkan penggera kebakaran terdekat.

Jika boleh, tutup pintu bilik yang terjejas untuk mengawal api daripada merebak dan matikan suis gas utama jika anda boleh mencapainya.

Anda hanya perlu cuba memadam kebakaran jika ia boleh dilakukan tanpa membahayakan diri sendiri atau orang lain.

Antara cara memadam kebakaran ialah menggunakan alat pemadam api yang sesuai atau gelung hos.

Jika bilik dipenuhi asap, tutup hidung dan mulut dengan kain basah dan elakkan bernafas melalui mulut.

Tunduk secara rapat ke lantai, kemudian merangkak ke arah pintu keluar.

Jika anda terperangkap, cuba pergi ke bilik selamat yang sebaik-baiknya mempunyai tingkap terbuka, pengudaraan baik dan menghadap jalan raya.

Kemudian, pergi ke tingkap dan jerit untuk minta pertolongan.

Jika pakaian anda terbakar, segera berguling ke kiri dan kanan lantai untuk memadam api sambil menutup muka.

Semasa keluar dari tempat kebakaran, turun ke tingkat bawah secara teratur menggunakan tangga, serta elak daripada menggunakan lif. 

Jika anda tinggal di bangunan tinggi melebihi 40 tingkat dan berada terlalu jauh dari tingkat bawah, terus menghala ke tingkat perlindungan yang terdekat.

Apakah itu tingkat perlindungan?

Tingkat perlindungan ialah tingkat khas yang berfungsi sebagai kawasan selamat, supaya penduduk tidak perlu turun banyak tingkat untuk keluar dari bangunan jika berlaku kebakaran.

Tingkat perlindungan biasanya disediakan tidak kurang pada setiap 20 tingkat. Ia direka dengan pengudaraan semula jadi dan diperbuat daripada bahan kalis api.

Tingkat itu boleh dikenal pasti melalui papan tanda ‘Evacuee Holding Area’ yang dipasang di dinding sekitar kawasan tangga.

Bagaimana cara cegah kebakaran?

Jangan biarkan masakan di atas api tanpa pengawasan, serta matikan peralatan memasak dan cabut plag apabila tidak digunakan.

Jauhkan bahan mudah terbakar daripada sumber api.

Jangan muatkan terlalu banyak peralatan pada satu soket, serta matikan peralatan elektrik apabila tidak digunakan.

Periksa wayar yang rosak atau terbuka dan gantikannya dengan segera.

Pastikan laluan masuk, koridor dan tangga bebas daripada halangan.

Setakat Ogos 2025, lapan kematian akibat empat kebakaran telah direkodkan, bersamaan purata satu kematian setiap bulan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg