Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesawat kargo tergelincir di lapangan terbang Hong Kong, 2 maut

Oct 20, 2025 | 11:59 AM
Hong Kong, pesawat kargo, nahas, Lapangan Antarabangsa Hong Kong
Sebuah pesawat kargo terjatuh ke dalam laut selepas tergelincir keluar dari landasan ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada 20 Oktober. - Foto REUTERS

HONG KONG: Dua kakitangan keselamatan lapangan terbang Hong Kong terkorban pada awal 20 Oktober selepas sebuah pesawat kargo dari Dubai tergelincir keluar dari landasan semasa mendarat.  

Pesawat itu melanggar kenderaan ronda keselamatan mereka dan menghumbannya ke dalam laut, menurut pengendali lapangan terbang.

Pesawat Boeing 747 yang terlibat dalam kemalangan lapangan terbang paling teruk dalam lebih 25 tahun itu jatuh ke dalam air dan separuh tenggelam, namun semua empat anggota kru dalam pesawat berkenaan berjaya menyelamatkan diri.

Kakitangan keselamatan lapangan terbang itu tidak bernafas ketika diselamatkan dari air, dengan seorang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi kemudian di hospital, kata pengarah eksekutif lapangan terbang di Penguasa Lapangan Terbang Hong Kong, Encik Steven Yiu.

Kejadian di lapangan terbang kargo paling sibuk di dunia itu melibatkan pesawat yang dikendalikan oleh pengangkut kargo Turki, ACT Airlines, bagi pihak Emirates.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar kemalangan tersebut, dengan cuaca, keadaan landasan, pesawat dan kru penerbangan sebagai sebahagian daripada siasatan, kata Encik Yiu.

Kejadian itu berlaku sekitar 3.50 pagi waktu Hong Kong.

Satu rakaman kawalan trafik udara yang tersedia di LiveATC.net menunjukkan juruterbang pesawat kargo itu mengesahkan rancangan untuk mendarat di landasan 07L, tempat kejadian, tetapi tidak melaporkan sebarang isu teknikal dalam rakaman tersebut.

Ketua penyiasat kemalangan bagi Penguasa Penyiasatan Kemalangan Udara Hong Kong, Encik Man Ka-chai, mengesahkan kawalan trafik udara mengarahkan penerbangan mendarat di landasan utara, tetapi berkata: “Kami tidak menerima mesej meminta bantuan dari juruterbang.”

Encik Yiu berkata kereta rondaan keselamatan itu meronda landasan utara di luar pagar. Ia beroperasi seperti biasa dan “tidak terburu-buru masuk ke landasan”. 

Tetapi, pesawat itu tiba-tiba berbelok ke kiri selepas mendarat dan melanggar kereta tersebut.

Ia “bukan laluan biasa”, kata beliau.

Penerbangan di lapangan terbang Hong Kong tidak terjejas, kata Encik Yiu.

Landasan utara, tempat kejadian, akan dibuka semula selepas pemeriksaan keselamatan.

Landasan selatan dan tengah beroperasi seperti biasa.

Gambar selepas kejadian menunjukkan pesawat kargo AirACT separuh tenggelam di air dekat tembok laut lapangan terbang, dengan bahagian muncung dan ekor terpisah.

Jabatan Penerbangan Awam Hong Kong berkata pada 20 Oktober pesawat tersebut telah “menyimpang dari landasan utara selepas mendarat dan terhempas ke dalam laut”.

Syarikat penerbangan Emirates berkata penerbangan EK9788 mengalami kerosakan semasa mendarat di Hong Kong pada 20 Oktober dan ia adalah pesawat kargo Boeing 747 yang dikendalikan oleh ACT Airlines.

“Kru disahkan selamat dan tiada kargo di dalam pesawat,” kata Emirates.

Boeing tidak segera memberi respons terhadap permintaan komen. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg