Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 100 ditahan dalam 200 kes kebakaran hutan Indonesia
Lebih 100 ditahan dalam 200 kes kebakaran hutan Indonesia
PEKANBARU: Polis Indonesia menahan lebih 100 orang di seluruh negara berhubung kes membakar hutan dan tanah ketika kebakaran besar terus melanda beberapa wilayah.
Namun, timbul persoalan sama ada tindakan penguatkuasaan itu benar-benar menyasarkan pihak yang bertanggungjawab dan mendapat manfaat daripada pembakaran tersebut.
Di Riau, polis menamakan 49 suspek dalam 45 kes membakar hutan dan tanah yang menyebabkan hampir 3,000 hektar kawasan terbakar.
Pengarah Jenayah Khas Polis Riau, Encik Ade Kuncoro Ridwan, berkata setiap kejadian kebakaran akan disiasat secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca serta pihak yang bertanggungjawab.
“Setiap kejadian kebakaran hutan akan disiasat secara menyeluruh, daripada punca kebakaran sehingga pihak yang bertanggungjawab.
Jika terdapat bukti mencukupi mengenai perbuatan jenayah, penyiasat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab,” katanya pada 8 September.
Menurut beliau, proses undang-undang berjalan serentak dengan usaha mencegah, memadam dan mengawal kebakaran di seluruh Riau.
Polis turut menjalankan rondaan berkala, mengesan kebakaran lebih awal dan meningkatkan penerangan kepada orang ramai mengenai larangan membuka tanah dengan cara membakar.
Riau, antara wilayah pengeluar utama minyak sawit Indonesia, kini berdepan kebakaran di 10 lokasi, dengan sebahagiannya berlarutan sehingga 10 hari.
Menurut pihak berkuasa, lebih 19,000 hektar hutan di Riau terbakar sejak awal 2026.
Di Kalimantan Tengah pula, polis menamakan 25 suspek dalam 62 kes ketika jerebu tebal akibat kebakaran hutan dan tanah terus menyelubungi wilayah itu.
Ketua Polis Kalimantan Tengah, Encik Iwan Kurniawan, berkata penguatkuasaan undang-undang menjadi sebahagian penting strategi wilayah itu untuk menangani kebakaran.
“Penguatkuasaan undang-undang adalah komitmen Polis Kalimantan Tengah untuk memberi kesan pencegahan dan mengelakkan kebakaran hutan dan tanah daripada berulang,” katanya pada 9 September, seperti dipetik portal berita Indonesia, Detik.
Polis kini mengumpulkan bukti, termasuk menjalankan pemeriksaan forensik untuk mengenal pasti punca kebakaran dan menentukan bagaimana api merebak.
Siasatan juga tidak tertumpu kepada individu semata-mata, sebaliknya meneliti kemungkinan penglibatan syarikat dalam kejadian tersebut.
Menurut Encik Iwan, empat syarikat sedang disiasat.
Di peringkat nasional, Ketua Polis Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, berkata pada 7 September seramai 138 suspek telah dikenal pasti dalam 200 kes berkaitan kebakaran hutan dan tanah di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 119 suspek didakwa sengaja melakukan pembakaran, manakala 19 lagi dikaitkan dengan kebakaran yang berpunca daripada kecuaian.
“Jumlah suspek masih boleh bertambah. Polis terus menyiasat laporan dan penemuan kebakaran hutan dan tanah di pelbagai wilayah,” katanya.
Lapan syarikat juga sedang berdepan proses undang-undang berkaitan kes kebakaran hutan dan tanah.
Polis turut menyiasat kemungkinan berlaku kesalahan jenayah membabitkan 60 syarikat yang permit operasinya baru-baru ini dibekukan atau dibatalkan pemerintah berhubung kebakaran tersebut.
Menurut data Kementerian Perhutanan Indonesia, lebih 202,000 hektar tanah terbakar di 36 daripada 38 wilayah negara itu sepanjang 2026.
Kalimantan Barat mencatat kawasan terbakar paling luas, iaitu 38,300 hektar; diikuti Papua Selatan dengan 25,800 hektar; Nusa Tenggara Timur (19,500 hektar); Nusa Tenggara Barat (17,400 hektar); dan Riau (15,700 hektar).
Kebakaran di Sumatera, Kalimantan serta kawasan hutan dan tanah gambut lain turut menghasilkan jerebu yang dilaporkan sampai ke Filipina, sehingga mendorong pihak berkuasa di negara itu mengeluarkan amaran kesihatan kepada penduduk. – Agensi berita.
