DAMSYIK: Konflik di Syria memasuki fasa baru yang mencetuskan pelbagai persoalan mengenai keseimbangan kuasa di Timur Tengah.
Pengusiran rejim Presiden Bashar al-Assad, yang diterajui kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), bekas sekutu Al-Qaeda, merupakan titik perubahan besar di Asia Barat dan berpotensi membawa implikasi besar kepada pihak berkepentingan di peringkat sejagat.
Keadaan itu menimbulkan persoalan besar: Bagaimana kejatuhan Assad akan mempengaruhi negara jiran, kuasa besar, dan keseimbangan geopolitik di Timur Tengah?
Kemaraan pemberontak Syria menjadi ujian besar terhadap komitmen negara Arab dalam hubungan mereka dengan rejim Assad.
Pada kemuncak perang saudara Syria, negara Arab Sunni seperti Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) telah memutuskan hubungan dengan Assad, menyokong kumpulan pemberontak untuk melemahkan pengaruh Iran di rantau itu.
Namun, setelah Assad berjaya mengekalkan kuasa dengan sokongan Russia, Iran dan Hezbollah, negara itu mula menerima Assad kembali ke dalam diplomasi serantau.
Pada 2023, rejim Assad telah diterima semula ke dalam Liga Arab, mencerminkan perubahan pendekatan terhadapnya.
Timbalan Presiden Eksekutif Institut Quincy, Encik Trita Parsi, menjelaskan: “Dahulu mereka mahu Assad jatuh sepenuhnya. Kini, mereka melihat kejatuhannya sebagai risiko yang lebih besar terhadap kestabilan serantau.”
Pemberontakan baru itu mungkin membuatkan negara Arab seperti Arab Saudi mengambil pendekatan berhati-hati.
Mereka mungkin mengimbangi hubungan dengan Syria sambil mengekang pengaruh Iran di Syria.
Iran memainkan peranan penting dalam menyokong Assad sepanjang konflik itu, melalui penghantaran komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan bantuan kepada Hezbollah.
Syria menjadi landasan strategik untuk Iran menghantar senjata kepada sekutunya di Lebanon.
Namun, pemberontakan baru itu melemahkan kedudukan Iran.
Kehilangan bandar seperti Aleppo dan Hama telah menjejas laluan logistik utama Iran, memutuskan rangkaian bekalan senjata ke Hezbollah.
“Kehilangan Syria akan menjadi tamparan besar bagi Iran,” kata Parsi.
“Ia bukan sahaja tentang pelaburan strategik malah juga pakatan yang telah wujud sejak bertahun-tahun,” tambah beliau.
Tambahan pula, dengan Hezbollah yang kini berperang dengan Israel, kekuatan Iran di Syria semakin terjejas.
Teheran mungkin mempertimbangkan untuk menghantar pasukan tambahan ke Syria, tetapi tindakan itu berisiko menjejas usaha diplomasi Iran dengan Barat dan negara Arab.
Israel menghadapi dilema strategik dalam konflik Syria.
Walaupun Assad membenarkan Iran menggunakan wilayah Syria untuk menyokong Hezbollah, rejimnya tidak menimbulkan ancaman langsung kepada Israel.
Sebaliknya, kumpulan pemberontak yang dipimpin oleh Hayat Tahrir al-Sham (HTS), dianggap sebagai ancaman baru.
Encik Avi Melamed, mantan pegawai perisikan Israel, berkata: “Israel kini berada di antara ancaman Iran, proksinya dengan pemberontak di Syria.”
Buat masa ini, Israel mungkin melihat kelemahan Iran dan proksinya sebagai perkembangan positif. Namun, mereka perlu memastikan kemaraan pemberontak tidak mencetuskan cabaran baru yang lebih besar.
Russia menjadi pemain utama dalam mengekalkan kuasa Assad sejak campur tangan ketenteraannya pada 2015.
Sokongan udara Russia adalah kunci kepada kejayaan Assad dalam merampas kembali Aleppo pada 2016.
Namun, kemaraan pemberontak baru-baru ini mencerminkan kelemahan rejim Assad, terutama apabila Moscow sibuk dengan konfliknya sendiri di Ukraine.
Pakar di Carnegie Endowment for International Peace, Dr Nicole Grajewski, berkata: “Russia menghadapi ancaman besar jika kehilangan Syria.
“Ini bukan sahaja tentang Assad, malah tentang imej Russia sebagai kuasa besar di Timur Tengah.”
Walaupun Kremlin berjanji untuk terus menyokong Assad, kesukaran untuk mengerahkan sumber tambahan mungkin menyukarkan usaha mereka.
Turkey menjadi penyokong utama kumpulan pemberontak di Syria, termasuk Tentera Nasional Syria (SNA).
Namun, Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, juga telah menunjukkan minat untuk memulihkan hubungan dengan Presiden Assad sebelum ini.
“Turkey sebelum Assad tumbang mahu menunjukkan bahawa Assad berada dalam kedudukan lemah dan perlu memberikan konsesi yang nyata dalam sebarang rundingan,” kata Encik Galip Dalay dari Chatham House.
Selain itu, Turkey berusaha mewujudkan zon penampan di sepanjang sempadan Syria untuk menolak kumpulan pemberontak Kurdi yang dianggap ancaman kepada keselamatannya.
Pemberontakan di Syria bukan sekadar tentang Encik Assad.
Ia mencerminkan dinamik baru di Timur Tengah, apabila negara seperti Iran, Russia, dan Turkey sedang mengatur strategi masing-masing untuk mempertahankan atau memperluaskan pengaruh mereka.
Bagi negara Arab, pemberontakan itu memaksa mereka mengimbangi hubungan dengan Encik Assad sambil mengekang pengaruh Iran.
Bagi Iran dan Hezbollah, situasi itu mengancam laluan logistik utama dan menjejas pakatan mereka di rantau tersebut.
Israel pula harus berhati-hati untuk memastikan konflik itu tidak membawa ancaman baru kepada sempadannya, manakala Russia perlu menguruskan komitmennya di Syria di tengah perang yang berterusan di Ukraine.
“Kebangkitan pemberontak di Syria adalah titik perubahan.
“Ia bukan hanya tentang siapa yang menguasai Damsyik, malah tentang siapa yang menentukan masa depan Timur Tengah,” kata Encik Parsi.
Dengan dinamik kuasa yang terus berubah, satu perkara yang pasti ialah Timur Tengah kini berada di persimpangan besar yang akan menentukan hala tuju rantau itu untuk dekad-dekad akan datang. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg