DAMSYIK: Pemimpin pemberontak Syria pada 9 Disember memulakan perbincangan mengenai peralihan kuasa – sehari selepas pakatan pembangkangnya secara mendadak menjatuhkan Presiden Bashar al-Assad berikutan pemerintahan kejam selama berdekad-dekad.
Perdana Menteri semasa pemerintahan Encik Assad bersetuju menyerahkan kuasa kepada kepimpinan baru yang diketuai oleh kumpulan pemberontak, sehari selepas mereka berjaya merampas ibu kota Damsyik, memaksa Encik Assad melarikan diri ke Russia.
Penyerahan kuasa itu menandakan berakhirnya perang saudara yang berlarutan selama 13 tahun serta lebih lima dekad pemerintahan kuku besi yang kejam oleh keluarga Assad.
Perdana Menteri, Encik Mohammad Ghazi al-Jalali, dalam wawancara bersama stesen Al Arabiya, menyatakan kesediaannya untuk menyerahkan kuasa kepada Pemerintah Penyelamat, sebuah pentadbiran yang berpusat di wilayah dikuasai pemberontak di barat laut Syria.
Menurut Encik Jalali, proses penyerahan kuasa dijangka memakan masa beberapa hari, tetapi usaha ke arah itu telah bermula.
“Kami komited memastikan peralihan ini berlaku secara teratur demi kebaikan rakyat Syria,” katanya.
Encik Assad melarikan diri ketika kumpulan pemberontak merempuh ibu kota negara itu, menamatkan pemerintahan kejam selama lima dekad.
Encik Assad menyelia tindakan keras terhadap gerakan demokrasi yang meletus pada 2011.
Ia mencetuskan perang yang mengorbankan 500,000 orang dan memaksa separuh penduduk Syria meninggalkan rumah masing-masing, dengan berjuta-juta mencari perlindungan di luar negara.
Pemimpin pemberontak, Encik Abu Mohammed al-Jolani, kini menggunakan nama sebenarnya Encik Ahmed al-Sharaa, telah bertemu dengan Encik Jalali “untuk menyelaraskan peralihan kuasa yang menjamin penyediaan perkhidmatan” berterusan kepada rakyat Syria, kata satu kenyataan yang disiarkan melalui saluran Telegram pemberontak.
Agensi berita Al Jazeera melaporkan pula pihak berkuasa peralihan akan diketuai oleh Encik Mohamed al-Bashir, yang mengendalikan Kerajaan Penyelamat sebelum serangan pantas selama 12 hari di Damsyik.
Inti sistem pemerintahan yang Encik Assad warisi daripada bapanya Presiden Hafez adalah kompleks penjara dan pusat tahanan yang kejam untuk menghapuskan perbezaan pendapat dalam kalangan penentang parti pemerintah Baath.
Beribu-ribu rakyat Syria berkumpul pada 9 Disember di luar penjara untuk mencari saudara-mara, kebanyakan mereka telah meringkuk bertahun-tahun dalam penjara Saydnaya, di luar Damsyik.
Penyelamat dari kumpulan Topi Keledar Putih berkata mereka sedang mencari pintu rahsia atau ruang bawah tanah di penjara Saydnaya.
“Saya berlari seperti orang gila untuk sampai ke penjara,” kata Cik Aida Taha, 65 tahun, ketika mencari abangnya yang ditahan sejak 2012.
Sekumpulan banduan yang dibebaskan berkeliaran di jalan raya Damsyik dengan tanda-tanda penyeksaan seperti cacat anggota, lemah dek diserang penyakit dan kurus akibat kekurangan makanan.
Meskipun Syria telah berperang selama lebih 13 tahun, rejim Encik Assad tumbang dalam hanya beberapa hari menyusuli serangan mengejut yang diketuai oleh kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS).
Di sebalik semua ketidakpastian mengenai masa depan, kegembiraan penduduk dapat dirasai di sana sini.
“Kami tidak pernah menyangka mimpi ngeri ini akan berakhir,” kata Encik Rim Ramadan, 49 tahun, seorang penjawat awam.
Parlimen Syria berkata ia menyokong “kehendak rakyat untuk membina semula Syria ke arah masa depan yang lebih baik, berpaksikan undang-undang dan keadilan”.
Semasa serangan dilancarkan pada 27 November, pemberontak mendapat sedikit tentangan ketika mereka merampas bandar demi bandar dan membebaskan beribu-ribu banduan yang ditahan atas tuduhan politik.
Berakar umbi daripada cabang Al-Qaeda di Syria, HTS disifatkan Amerika Syarikat dan Barat sebagai kumpulan pengganas tetapi Encik Jolani telah berusaha untuk melembutkan imejnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Jerman dan Perancis berkata dalam satu kenyataan bahawa mereka bersedia untuk bekerjasama dengan kepimpinan baru Syria “berdasarkan hak asasi manusia dan perlindungan minoriti etnik dan agama”.
Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, berkata HTS mesti menolak “pengganasan dan keganasan” sebelum Britain boleh terlibat dengan kumpulan yang disifatkan negaranya itu sebagai “pengganas”.
Diplomat tertinggi Washington, Encik Antony Blinken, berkata Amerika – dengan beratus-ratus tenteranya di Syria sebagai sebahagian daripada gabungan menentang kumpulan ISIS – bertekad untuk menghalang kumpulan pengganas itu daripada kembali mewujudkan semula tempat selamat di sana. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg