DAMSYIK: Perdana Menteri Syria yang baru dinamakan pada 10 Disember berkata sudah tiba masanya untuk mencapai “kestabilan dan ketenangan” di negara itu – dua hari selepas presiden lama, Encik Bashar al-Assad, digulingkan oleh pemberontak.
Pemberontak melantik Encik Mohammad al-Bashir, sebagai ketua pemerintah peralihan untuk mentadbir negara sehingga 1 Mac, kata satu kenyataan.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, menggesa semua negara agar menyokong proses politik “inklusif” di Syria, dengan menyatakan bahawa negaranya akan akhirnya mengiktiraf pemerintah baru itu jika ia memenuhi piawaian sedemikian.
“Kini tiba masanya untuk rakyat Syria menikmati kestabilan dan ketenangan,” kata Encik Bashir kepada media dalam wawancara pertamanya sejak dilantik.
Seorang pegawai kanan memberitahu penyiar Amerika NBC bahawa Encik Assad berada di Moscow, selepas beliau melarikan diri dari Syria ketika pakatan pemberontak merempuh Damsyik pada 8 Disember, menamatkan lima dekad pemerintahan kejam di negara itu.
Encik Abu Mohammed al-Jolani, pemimpin yang mengetuai serangan pemberontak, mengumumkan perbincangan mengenai peralihan kuasa dan berikrar untuk menjejaki bekas pegawai kanan yang bertanggungjawab atas penyeksaan dan jenayah perang.
Kumpulan yang diketuainya, Hayat Tahrir al-Sham, atau HTS, berakar umbi dalam cawangan Al-Qaeda Syria dan disifatkan banyak pemerintah Barat sebagai pertubuhan pengganas, walaupun ia telah berusaha menyederhanakan imejnya.
Encik Blinken berkata pemerintah masa depan Syria harus “berwibawa dan terangkum”.
Encik Blinken berkata pemerintah baru juga mesti “menegakkan komitmen yang jelas untuk menghormati sepenuhnya hak minoriti” dan membenarkan aliran bantuan kemanusiaan.
Amerika mahu pemerintah baru “menghalang Syria daripada digunakan sebagai pangkalan untuk pengganasan”, tegas Encik Blinken.
Walaupun kumpulan IS tidak lagi menguasai sebarang wilayah di Syria, namun militan itu tetap aktif.
Badan pemantau perang, Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, berkata anggota IS telah membunuh 54 tentera pemerintah selepas menangkap mereka ketika mereka melarikan diri merentasi padang pasir Syria yang luas.
Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Syria berkata kumpulan yang memaksa Encik Assad melarikan diri mesti menegakkan “mesej baik” mereka.
“Mereka telah menghantar mesej perpaduan, inklusif,” kata Encik Geir Pedersen.
Perang saudara Syria hampir 14 tahun telah membunuh 500,000 orang dan memaksa separuh rakyat negara itu meninggalkan rumah mereka, berjuta-juta daripada mereka mencari perlindungan di luar negara.
Encik Jolani, yang kini menggunakan nama sebenarnya Ahmed al-Sharaa, berikrar:
“Kami tidak akan teragak-agak mempertanggungjawabkan penjenayah, pembunuh, pegawai keselamatan dan tentera yang terlibat dalam menyeksa rakyat Syria.”
Sementara itu, penduduk Syria telah mula kembali ke tanah air mereka selepas Encik al-Bashir dilantik sebagai perdana menteri sementara.
Encik Ala Jabeer menangis ketika beliau menyeberang dari Turkey ke Syria bersama anak perempuannya yang berusia 10 tahun pada 10 Disember.
“Insya-Allah, keadaan akan menjadi lebih baik daripada pemerintahan Assad,” tambahnya.
Di Damsyik, bank dibuka semula buat kali pertama sejak Encik Assad digulingkan pada 10 Disember. Kedai-kedai juga dibuka semula, lalu lintas kembali ke jalan raya, tukang cuci keluar menyapu jalan. – AFP, Reuters.
Laporan lanjut di Muka 10


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg