Kebuntuan gencatan senjata Israel-Hamas berlarutan
Israel dikatakan kemuka tuntutan tambahan pada saat akhir
GAZA: Pada penghujung 2024, konflik antara Israel dengan Hamas masih jauh daripada penyelesaian, dengan usaha gencatan senjata yang gagal dan krisis kemanusiaan yang semakin memburuk.
Walaupun terdapat beberapa usaha diplomatik dari negara seperti Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir untuk menamatkan konflik itu, kegagalan rundingan terus berulang.
Tumpuan utama kini adalah siapa yang sebenarnya menghalang gencatan senjata yang dinanti-nantikan ini.
Rundingan damai antara Israel dengan Hamas semakin mendekati kebuntuan, dengan kedua-dua pihak saling menyalahkan satu sama lain.
Dalam satu pusingan rundingan yang diadakan di Doha, Qatar pada 25 Disember yang diatur oleh Qatar dan Mesir, kedua-dua pihak menganggap pihak lawan mereka bertanggungjawab dalam menggagalkan peluang mencapai persetujuan.
Menurut Hamas, Israel telah mengemukakan beberapa tuntutan baru dalam perbincangan tersebut, terutama berkaitan dengan pembebasan tebusan dan penarikan tentera Israel dari Gaza.
Tuntutan-tuntutan tambahan itu dilihat sebagai usaha untuk menunda proses gencatan senjata yang hampir berjaya dicapai.
Seorang pegawai kanan Hamas dalam satu kenyataan kepada laman berita yang berpangkalan di London, The New Arab, berkata:
“Kami hampir mencapai persetujuan, tetapi tuntutan baru Israel pada saat-saat akhir menggagalkan rundingan ini.”
Namun, Israel menafikan dakwaan tersebut.
Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa Hamas yang sebenarnya mengemukakan halangan dalam rundingan dan menolak syarat-syarat yang telah dipersetujui sebelum ini.
Saling Menyalahkan
Rundingan gencatan senjata itu telah berlangsung sejak Julai, ketika Hamas menerima cadangan gencatan senjata daripada Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, tetapi Encik Netanyahu menolaknya.
Dalam masa yang sama, pentadbiran Encik Biden kelihatan berputus asa untuk mencapai persetujuan gencatan senjata sebelum berakhirnya tempoh perkhidmatan Biden.
Pada November, pemimpin Hamas meninggalkan Doha apabila Qatar menghentikan peranannya sebagai pemudah cara, sebuah langkah yang dipercayai bertujuan memberi tekanan dalaman kepada Encik Netanyahu.
Pasukan Encik Donald Trump, bagaimanapun, meminta Mesir dan Qatar agar menghidupkan semula usaha perantaraan mereka dan mendapatkan persetujuan sebelum Presiden baru Amerika itu memasuki Rumah Putih pada 20 Januari 2025.
Seorang diplomat Arab yang terlibat dalam proses rundingan memberitahu agensi berita, Reuters:
“Netanyahu sedang menggunakan rundingan ini untuk melengahkan masa dan memenuhi kehendak Trump, dengan berpura-pura menyokong perjanjian gencatan senjata, meskipun hakikatnya beliau benar-benar tidak menunjukkan komitmen untuk menyelesaikan konflik ini.”
Salah satu isu utama yang menghalang gencatan senjata adalah kedudukan ketenteraan Israel di Gaza.
Hamas menuntut penarikan sepenuhnya tentera Israel dari Gaza kerana ia percaya bahawa kehadiran tentera Israel memberi ruang kepada Israel untuk terus menguasai wilayah tersebut.
Sebaliknya, Israel enggan menarik diri, dengan alasan bahawa penarikan akan memberi peluang kepada Hamas untuk berkumpul semula dan menambah ancaman terhadap keselamatan Israel.
“Israel tidak bersedia untuk menarik diri kerana ia akan membenarkan Hamas mengukuhkan kedudukannya,” dakwa seorang pegawai kanan Israel.
“Keamanan hanya boleh dicapai jika Hamas menghentikan serangannya dan bersedia untuk mengadakan perjanjian yang adil,” tambah beliau.
Tuntutan Hambat Rundingan
Rundingan itu menjadi semakin rumit apabila Encik Netanyahu dianggap menggunakan gencatan senjata untuk mendapatkan sesuatu yang lebih besar, seperti penyerahan sebahagian besar Tebing Barat atau memulihkan hubungan dengan Arab Saudi.
Ini menjelaskan beberapa kenyataan optimis yang dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, yang sering mengemukakan harapan palsu tentang kemajuan yang dicapai dalam rundingan.
Namun, pada awal minggu sebelum 30 Disember, sinar harapan kembali menyala.
Seorang pegawai kanan Israel yang terlibat dalam perbincangan berkata: “Terdapat perbincangan serius, terdapat kemajuan, tetapi sehingga hari ini, tiada sesiapa yang mengemukakan cadangan muktamad untuk ditandatangani.”
Sejak awal lagi, kemajuan dalam rundingan itu sering terhalang oleh ketegangan mengenai isu utama seperti pembebasan tahanan Israel, pengunduran tentera Israel dan bantuan kemanusiaan kepada Gaza.
Walaupun ada usaha berterusan untuk mencapai satu penyelesaian, pihak Israel secara tekal menolak untuk bersetuju dalam isu-isu utama.
Bahkan, beberapa laporan menyebut pada satu ketika, pasukan perunding Israel telah meninggalkan Doha selepas beberapa hari rundingan yang dilihat sebagai produktif, mencerminkan bahawa sekali lagi, usaha damai itu menemui kegagalan.
Menurut seorang pegawai kanan Israel, Encik Netanyahu masih gagal memberi mandat yang mencukupi kepada pasukan rundingannya, yang menyebabkan proses itu terus terhenti.
“Kita tidak akan dapat kembali kepada keadaan normal tanpa menyelesaikan perang ini,” kata pegawai tersebut.
Namun, kebanyakan rakyat Israel dan keluarga tebusan menyalahkan Encik Netanyahu kerana gagal membawa pulang rakyat mereka.
“Keluarga tebusan amat kecewa dengan kegagalan Netanyahu, yang mereka percaya sengaja melambatkan gencatan senjata untuk mengekalkan kuasa politiknya,” kata seorang anggota keluarga tebusan kepada media.
Keadaan Tampak Suram
Walaupun diplomasi dan tekanan antarabangsa berterusan, harapan mencapai gencatan senjata secara berkesan semakin suram.
Gaza terus menghadapi krisis kemanusiaan yang semakin memburuk dengan kekurangan bekalan makanan, perubatan, dan perkhidmatan asas.
Di sisi Israel, ancaman serangan roket yang berterusan oleh Hamas dan Houthi terus menguji ketahanan warga Israel.
Namun, kegagalan untuk mencapai gencatan senjata yang berkesan menjadikan suasana semakin tegang dan tidak menentu.
Pada akhirnya, tanpa kesepakatan yang jelas dan perjanjian yang adil, prospek perdamaian antara Israel dengan Hamas semakin kabur.
Ketegangan yang berterusan dengan kematian orang awam yang tidak berkesudahan, menunjukkan bahawa konflik itu akan terus berlarutan kecuali kedua-dua pihak mencapai titik persetujuan yang tulus. – Agensi berita.

