Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penahanan Maduro terima kecaman antarabangsa di PBB

Sekutu Amerika kritik operasi ketenteraan di Caracas pada sidang tergempar PBB
Jan 6, 2026 | 11:39 AM
United States, Venezuela, United Nations, Donald Trump, Nicolas Maduro
Para penunjuk perasaan mengangkat sepanduk menyatakan sokongan terhadap presiden Venezuela yang digulingkan, Encik Nicolas Maduro, di luar Mahkamah Persekutuan Daniel Patrick Moynihan, ketika beliau menunggu prosiding pendakwaan awal pada 5 Januari di New York. Encik Maduro, 63 tahun, seorang pemimpin berhaluan kiri, berdepan pertuduhan berkaitan pengedaran dadah bersama isterinya, yang turut ditahan dan dibawa keluar dari Caracas dalam serangan mengejut Amerika Syarikat pada 3 Januari. Operasi tersebut melibatkan pasukan komando, pengeboman oleh jet pejuang, serta kehadiran besar angkatan laut Amerika di perairan pantai Venezuela. - Foto AFP

NEW YORK: Tindakan Amerika Syarikat menahan bekas Presiden Venezuela, Encik Nicolas Maduro, melalui operasi ketenteraan mencetuskan gelombang kritikan hebat daripada sekutu dan musuh Washington dalam satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mesyuarat itu memperlihatkan pendirian yang bercampur-campur.

Banyak negara anggota bersetuju bahawa Encik Maduro memerintah secara autoritarian dan telah kehilangan kesahan sebagai pemimpin yang dipilih secara demokratik.

Namun, pada masa yang sama, majoriti wakil negara mengecam tindakan ketenteraan Amerika sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB, serta memberi amaran terhadap kesan jangka panjangnya terhadap sistem global.

Antara sekutu Amerika, Perancis tampil paling lantang mengkritik.

Timbalan duta Perancis ke PBB, Encik Jay Dharmadhikari, berkata penahanan Encik Maduro “bertentangan dengan prinsip penyelesaian pertikaian secara aman dan prinsip tidak menggunakan kekerasan”.

Beliau memberi amaran bahawa pelanggaran berulang terhadap Piagam PBB oleh negara-negara yang memegang kuasa besar akan menghakis asas sistem antarabangsa.

“Pelanggaran Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa oleh negara yang memegang tanggungjawab sebagai ahli tetap Majlis Keselamatan melemahkan asas ketertiban antarabangsa, menjejaskan prinsip kedaulatan dan keutuhan wilayah, serta menggugat keamanan global,” katanya kepada majlis itu.

Denmark turut menyuarakan kebimbangan serius.

Timbalan duta negara itu, Cik Sandra Jensen Landi, berkata perkembangan terkini di Venezuela “mewujudkan amalan berbahaya”.

“Undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB mesti dihormati,” katanya.

Nada tegas Perancis dan Denmark menandakan perubahan ketara dalam pendirian Eropah, selepas beberapa negara Kesatuan Eropah sebelum ini dilihat berhati-hati dan tidak sepenuhnya jelas dalam reaksi awal mereka terhadap tindakan Washington.

Sebaliknya, wakil Britain dan Greece di PBB tidak mengutuk secara langsung operasi ketenteraan Amerika Syarikat.

Pemangku duta Britain, Encik James Kariuki, sekadar menyatakan bahawa London mahu melihat “peralihan yang selamat dan aman ke arah pemerintah yang sah yang mencerminkan kehendak rakyat Venezuela”.

Beliau menambah bahawa Britain “menegaskan komitmen terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip Piagam PBB” tanpa merujuk secara khusus kepada tindakan Amerika Syarikat.

Greece pula menyeru agar krisis diselesaikan melalui dialog dan diplomasi, tanpa mengecam penahanan Encik Maduro.

Dari rantau Amerika Latin, Colombia menyuarakan bantahan keras. Duta Colombia ke PBB, Encik Leonor Zalabata Torres, menegaskan bahawa penggunaan kekerasan secara unilateral tidak mempunyai justifikasi.

“Tindakan sebegini merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB,” katanya, sambil mengingatkan bahawa Piagam PBB hanya membenarkan penggunaan kekerasan dalam keadaan luar biasa, seperti mempertahankan diri daripada serangan bersenjata atau dengan kebenaran jelas Majlis Keselamatan.

Beliau menambah bahawa walaupun dalam keadaan tersebut, tindakan itu “tidak pernah memberi hak untuk mengambil alih kawalan politik sesebuah negara”.

Panama pula menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan Amerika Syarikat bekerjasama dengan struktur kuasa sedia ada di Caracas tanpa melibatkan pembangkang atau mengadakan pilihan raya baru.

Duta Panama, Encik Eloy Alfaro de Alba, memberi amaran bahawa peralihan kuasa yang dipimpin tokoh daripada struktur lama hanya akan mengekalkan sistem sedia ada.

“Sebarang usaha membentuk pemerintah tetap yang diketuai tokoh daripada struktur represif seperti (Cik) Delcy Rodríguez bukanlah peralihan sebenar, sebaliknya kesinambungan sistem,” katanya.

Sementara itu, Russia dan China mengambil pendirian paling keras menentang Washington.

Duta Russia ke PBB, Encik Vassili Nebenzia, menuduh Amerika melakukan “tindakan sewenang-wenang di peringkat antarabangsa”, serta mengamalkan “neokolonialisme dan imperialisme”.

Beliau turut menuduh sekutu Amerika mengamalkan amalan berat sebelah kerana gagal mengecam tindakan Presiden Donald Trump.

China pula melalui pemangku duta, Encik Sun Lei, berkata Beijing “amat terkejut dan mengecam keras” tindakan unilateral Amerika yang disifatkannya sebagai “haram dan bersifat membuli”.

Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, dalam kenyataan yang dibacakan bagi pihaknya, menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa dalam operasi tersebut.

“Kuasa undang-undang mesti mengatasi undang-undang kuasa,” katanya, sambil menggesa penghormatan terhadap kedaulatan, kemerdekaan politik dan keutuhan wilayah negara.

Encik Guterres turut memberi amaran bahawa tindakan itu berpotensi meningkatkan ketidakstabilan di Venezuela, memberi kesan kepada rantau sekitarnya, dan mewujudkan kebiasaan berbahaya dalam hubungan antara negara.

Bagi pihak Amerika, duta ke PBB, Encik Mike Waltz, mempertahankan tindakan tersebut sebagai operasi penguatkuasaan undang-undang terhadap seorang pemimpin yang dianggap tidak sah dan terlibat dalam pengedaran dadah serta keganasan.

“Anda tidak boleh membiarkan Venezuela menjadi hab operasi Iran, Hezbollah, kumpulan geng dan ejen perisikan Cuba.

“Anda juga tidak boleh membiarkan rizab tenaga terbesar dunia berada di bawah kawalan musuh Amerika Syarikat,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg