Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keganasan di Bangladesh susulan kematian pemimpin belia di hospital S’pura

Penunjuk perasaan banjiri jalan raya ibu kota Dhaka, beberapa bangunan dibakar
Dec 19, 2025 | 12:44 PM
Bangladesh, Sharif Osman Hadi, protest
Penyerang bertopeng yang menembak Encik Sharif Osman Hadi ketika beliau keluar dari sebuah masjid di ibu kota Bangladesh, Dhaka, menyebabkan beliau cedera di bahagian telinga. - Foto AFP

DHAKA: Keganasan tercetus di Dhaka, ibu kota Bangladesh, pada awal 19 Disember selepas seorang pemimpin belia prodemokrasi, yang cedera dalam satu cubaan pembunuhan, meninggal dunia di sebuah hospital di Singapura.

Ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalan raya di Dhaka selepas pengumuman kematian Encik Sharif Osman Hadi, 32 tahun, bagi menuntut agar pembunuhnya ditangkap.

Menurut pihak berkuasa, beberapa bangunan di ibu kota, termasuk yang menempatkan dua akhbar terkemuka negara itu, telah dibakar, dengan kakitangan terperangkap di dalam.

Encik Hadi merupakan tokoh penting dalam kebangkitan 2024 yang menamatkan pemerintahan autokratik bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, sehingga memaksanya melarikan diri ke India. 

Encik Hadi juga sedang bertanding bagi merebut satu kerusi Parlimen dalam pilihan raya kebangsaan Februari 2026.

Pada 12 Disember, Encik Hadi ditembak oleh penyerang bertopeng ketika beliau keluar daripada sebuah masjid di Dhaka.

Beliau diterbangkan ke Singapura untuk mendapatkan rawatan, namun meninggal dunia akibat kecederaannya pada 18 Disember.

Sekurang-kurangnya tiga kes pembakaran dilaporkan di Dhaka selepas berita kematian Encik Hadi tersebar, termasuk kebakaran di bangunan Daily Star dan bangunan yang menempatkan akhbar Prothom Alo, kata jurucakap Pasukan Bomba dan Pertahanan Awam.

Bangunan pejabat akhbar The Daily Star telah dibakar di Dhaka, Bangladesh, pada 19 Disember, susulan kematian Encik Sharif Osman Hadi.
Bangunan pejabat akhbar The Daily Star telah dibakar di Dhaka, Bangladesh, pada 19 Disember, susulan kematian Encik Sharif Osman Hadi. - Foto REUTERS

Kedua-dua akhbar tersebut merupakan yang terbesar Bangladesh, namun penunjuk perasaan menuduh mereka bersekutu dengan negara jiran India, di mana Cik Hasina kini berlindung.

Cik Zyma Islam, seorang wartawan Daily Star, berkata beliau terperangkap di dalam bangunan yang sedang terbakar.

“Saya tidak boleh bernafas lagi. Terlalu banyak asap. Saya berada di dalam. Anda sedang membunuh saya,” tulisnya di laman Facebook.

Kebakaran di bangunan Daily Star berjaya dikawal pada 1.40 pagi, menurut pegawai bomba.

Namun begitu, seramai 27 pekerja masih berada di dalam bangunan tersebut.

“Kami berlindung di bahagian belakang bangunan dan dapat mendengar mereka melaungkan slogan,” kata Encik Ahmed Deepto, wartawan Daily Star, merujuk kepada penunjuk perasaan.

Rumah Timbalan Duta India ke Bangladesh turut dikepung oleh ratusan orang yang cuba mengadakan tunjuk perasaan, namun polis melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan mereka.

Selain itu, penunjuk perasaan turut menyekat lebuh raya utama serta menyerang kediaman seorang bekas menteri di Chittagong dan sebuah pusat kebudayaan Bengali, Chhayanaut, di Dhaka.

Pada awal 19 Disember, pihak berkuasa Singapura mengumumkan bahawa Encik Hadi telah meninggal dunia di sebuah hospital tempatan.

“Walaupun usaha terbaik para doktor, Encik Hadi meninggal dunia akibat kecederaannya,” kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa pihaknya sedang membantu pihak berkuasa Bangladesh dalam proses membawa pulang jenazahnya.

Encik Hadi telah diterbangkan dari Bangladesh ke Unit Rawatan Rapi Neurosurgeri Hospital Besar Singapura (SGH) pada 15 Disember untuk menerima rawatan perubatan kecemasan, menurut MFA Singapura.

Di Dhaka, pemerintah sementara yang diketuai pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Encik Muhammad Yunus, mengesahkan kematian Encik Hadi.

“Saya mengucapkan takziah yang sedalam-dalamnya. Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar bagi negara,” kata Encik Yunus.

“Perjalanan negara ke arah demokrasi tidak boleh dihentikan melalui ketakutan, keganasan atau pertumpahan darah.”

Pemerintah turut mengumumkan solat khas di masjid-masjid pada 19 Disember dan tempoh berkabung setengah hari pada 20 Disember.

Encik Hadi merupakan pemimpin kanan kumpulan bantahan pelajar, Inqilab Mancha, dan dikenali sebagai pengkritik lantang India.

Polis Bangladesh telah melancarkan pemburuan terhadap penyerang yang menembak Encik Hadi, dengan mengeluarkan gambar dua suspek utama serta menawarkan ganjaran sebanyak lima juta taka ($53,000) bagi maklumat yang dapat membantu dalam penangkapan mereka.

Encik Yunus, 85 tahun, yang memimpin Bangladesh sehingga pilihan raya 12 Februari, menyifatkan kejadian tembakan itu sebagai serangan terancang yang dilakukan oleh rangkaian berpengaruh dengan tujuan menggagalkan pilihan raya.

Beliau berkata “objektif pengkomplot adalah untuk menggagalkan pilihan raya”, sambil menambah bahawa serangan itu bersifat “simbolik – bertujuan menunjukkan kekuatan mereka dan sabotaj keseluruhan proses pilihan raya”. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg