Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah Jenayah Antarabangsa keluar waran tangkap Netanyahu, Gallant

Nov 22, 2024 | 11:36 AM
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu (kiri), dan mantan menteri pertahanannya, Encik Yoav Gallant, berdepan dengan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 21 November.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu (kiri), dan mantan menteri pertahanannya, Encik Yoav Gallant, berdepan dengan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 21 November. - Foto REUTERS

AMSTERDAM: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan mantan menteri pertahanannya, Encik Yoav Gallant, serta ketua tentera Hamas, Encik Mohammed Deif.

“Mahkamah mengeluarkan waran tangkap untuk dua individu, Encik Netanyahu dan Encik Gallant, kerana jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang yang dilakukan mulai 8 Oktober 2023, sehingga sekurang-kurangnya hingga 20 Mei 2024, hari pihak pendakwaan memfailkan permohonan untuk waran tangkap,” kata ICC yang berpangkalan di Hague dalam satu kenyataan pada 21 November.

Waran juga telah dikeluarkan untuk menangkap Encik Deif, tambahnya.

Encik Netanyahu menolak tindakan ICC, dan menyifatkannya sebagai “anti-Semitik”.

“Israel menolak dengan jijik tindakan tidak masuk akal dan palsu yang dibuat terhadapnya oleh ICC,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa Israel tidak akan “menyerah kepada tekanan” dalam mempertahankan rakyatnya.

Beliau melabelkannya sebagai “percubaan Dreyfus zaman moden”.

“Keputusan anti-Semitik ICC adalah setanding dengan perbicaraan Dreyfus zaman moden – dan ia akan berakhir dengan cara yang sama,” kata Encik Netanyahu.

Beliau merujuk kepada kaitan kes Alfred Dreyfus abad ke-19 apabila seorang kapten tentera Yahudi disabitkan dengan kesalahan pengkhianatan di Perancis.

Menteri Luar Israel Gideon, Encik Gideon Saar, berkata ICC telah “hilang semua keabsahannya”.

“Ini adalah detik gelap bagi ICC,” tulis Encik Saar di wadah media sosial X.

“Badan yang menggelar dirinya sebagai ‘mahkamah’ mengeluarkan perintah tidak masuk akal tanpa kuasa... walaupun Israel bukan anggota ICC,” jelasnya.

Kumpulan militan Palestin Hamas mengalu-alukan langkah ICC dan meminta mahkamah “memperluaskan skop kebertanggungjawapan kepada semua pemimpin Israel”.

“(Ia) satu langkah penting ke arah menegakkan keadilan dan boleh membawa kepada penebusan terhadap mangsa secara umum, tetapi ia tetap terhad dan simbolik jika tidak disokong oleh semua negara di seluruh dunia,” kata ahli biro politik Hamas, Encik Bassem Naim.

Waran tangkap telah diklasifikasikan sebagai “rahsia” untuk melindungi saksi dan menjaga perjalanan siasatan, kata mahkamah.

“Bagaimanapun, mahkamah memutuskan untuk mengeluarkan maklumat kerana kelakuan serupa nampaknya masih berterusan.

“Mahkamah juga menganggap adalah demi kepentingan mangsa dan keluarga mereka untuk memaklumkan tentang kewujudan waran itu,” tambah ICC.

Perang meletus apabila Hamas menyerang kawasan selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh 1,200 orang dan menahan lebih 240 tebusan.

Tindak balas yang berterusan oleh Israel telah membunuh sekitar 44,000 rakyat Palestin dan hampir memusnahkan Gaza sepenuhnya. – AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg