RIYADH: Pemimpin Arab dan Muslim mendesak Israel agar segera berundur dari wilayah Palestin yang diduduki sebagai syarat utama untuk mencapai keamanan serantau, sambil mengecam tindakan kekejaman yang dilakukan oleh Israel di Gaza.
Dalam satu sidang Puncak Luar Biasa Negara Arab-Islam di ibu negara Arab Saudi, Riyadh, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 57 negara sepakat menyatakan pendirian bersama berhubung konflik di rantau tersebut, lebih setahun selepas peperangan antara Israel dengan Hamas di Jaluran Gaza bermula.
Dalam kenyataan penutup sidang pada 11 November, para pemimpin menegaskan bahawa keamanan yang adil dan menyeluruh hanya akan dapat dicapai jika Israel menamatkan pendudukan ke atas semua wilayah Arab yang dirampas sejak 4 Jun 1967, termasuk Tebing Barat, Baitulmakdis Timur, Gaza dan Bukit Golan.
“Kedamaian yang sebenar tidak mungkin tercapai selagi Israel masih menguasai wilayah ini,” tegas mereka dalam kenyataan bersama.
Sidang tersebut turut menekankan keperluan untuk menjayakan Pelan Damai Arab 2002, yang menawarkan hubungan diplomatik biasa kepada Israel sekiranya negara itu bersetuju dengan penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan 1967.
Dalam satu seruan tegas kepada masyarakat antarabangsa, pemimpin-pemimpin Arab mendesak agar satu pelan tindakan segera dengan langkah konkrit dan jadual jelas dapat diwujudkan di bawah tajaan antarabangsa bagi merealisasikan penubuhan negara Palestin yang berdaulat.
Pihak Hamas, sebagai tindak balas kepada ketetapan tersebut, menggesa agar janji yang dibuat oleh negara Arab dan Muslim diterjemahkan kepada tindakan nyata.
“Penubuhan negara Palestin yang bebas dengan Baitulmakdis sebagai ibu kotanya memerlukan usaha yang lebih pantas serta penyelesaian praktikal untuk memaksa Israel menghentikan serangan dan pembunuhan terhadap rakyat kami,” kata Hamas dalam satu kenyataan.
Di pihak lain, pemerintah Israel di bawah pimpinan Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, terus menolak sebarang pembentukan negara Palestin yang merdeka.
Menteri Luar Israel yang baharu, Encik Gideon Saar, menolak harapan untuk penyelesaian dua negara dan menyifatkannya sebagai “tidak realistik”.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan Israel, Encik Bezalel Smotrich, menyatakan hasratnya menambah kawasan jajahan Israel di Tebing Barat pada 2025.
Para pemimpin sidang kemuncak di Riyadh sekali lagi menegaskan harapan agar wilayah Palestin – termasuk Gaza yang kini terpisah dari Tebing Barat – dapat disatukan dalam sebuah negara Palestin pada masa hadapan.
Mereka turut mengecam jenayah “kejam dan mengejutkan” yang dilakukan oleh tentera Israel, yang mereka anggap sebagai “sebahagian daripada jenayah genosid”.
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, dalam ucapannya menegaskan kepentingan menghentikan segera tindakan Israel terhadap saudara mereka di Palestin dan Lebanon.
Beliau menggelar tindakan Israel sebagai satu bentuk “genosid” yang harus dikutuk.
Putera Mohammed turut menggesa Israel agar tidak melancarkan serangan terhadap Iran, sambil menekankan bahawa hubungan antara Riyadh dengan Teheran sedang bertambah baik.
Perdana Menteri Lebanon, Encik Najib Mikati, turut memberi amaran bahawa negaranya kini berhadapan dengan krisis kewujudan dan menyelar campur tangan negara luar dalam hal ehwal dalaman Lebanon, yang dipercayai merujuk kepada pengaruh Iran.
Kemenangan Encik Donald Trump untuk penggal kedua sebagai Presiden Amerika Syarikat dijangka menjadi antara faktor penting yang diperhatikan dalam sidang itu.
Penganalisis daripada Kumpuluan Krisis Antarbangsa, Cik Anna Jacobs, menyatakan bahawa sidang puncak itu memberi peluang kepada pemimpin serantau menyampaikan mesej yang jelas kepada pentadbiran Encik Trump berhubung keperluan Amerika dalam membantu mencapai keamanan di Timur Tengah.
“Sidang ini memberikan peluang kepada para pemimpin untuk menghantar isyarat kepada Trump mengenai sokongan yang mereka perlukan daripada Amerika,” kata Cik Jacobs.
Timbalan Presiden Iran, Encik Mohammad Reza Aref, turut menegaskan bahawa “dunia sedang menanti Trump untuk menghentikan segera peperangan ke atas rakyat Gaza dan Lebanon yang tidak bersalah”.
Kenyataan akhir sidang puncak tersebut turut menuntut larangan ke atas sebarang eksport dan penghantaran senjata ke Israel, sebagai langkah mengurangkan ketegangan di rantau itu. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg