Pengeluaran sektor perkilangan Singapura tumbuh semula pada Julai dengan prestasi lebih baik daripada jangkaan pasaran, menurut data yang dikeluarkan pada 26 Ogos.
Jumlah keluaran kilang negara bertambah 1.8 peratus pada Julai 2024, berbanding Julai 2023.
Semua sektor perkilangan berkembang kecuali sektor bioperubatan, menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), lapor The Straits Times.
Pertumbuhan itu berbeza dengan penguncupan 4.3 peratus yang disemak pada Jun.
Ia juga lebih baik daripada ramalan pertumbuhan 0.2 peratus oleh penganalisis yang ditinjau Bloomberg.
Tidak termasuk sektor bioperubatan, jumlah keluaran kilang meningkat 3.4 peratus.
Setelah diselaraskan secara musiman berdasarkan bulanan, jumlah keluaran berkembang 10.1 peratus.
Prestasi lebih positif pada Julai seiring dengan pandangan pemerintah bahawa sektor perkilangan Singapura akan mengalami pemulihan secara beransur-ansur pada separuh kedua 2024.
Secara khusus, kelompok elektronik utama diramal pulih dengan lebih kukuh, didorong oleh permintaan lebih tinggi bagi telefon bijak, komputer peribadi (PC) dan cip berkaitan kecerdasan buatan (AI), menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada awal Ogos.
Pemangku ketua pakar ekonomi yang juga ketua penyelidikan pasaran di kumpulan RHB, Encik Barnabas Gan, berkata sektor perkilangan dan berkaitan perdagangan Singapura dijangka menyumbang kepada pertumbuhan perdagangan secara keseluruhan pada separuh kedua 2024.
Menurutnya, pemacu prospek lebih cerah bagi perdagangan Singapura termasuk prestasi pengeluaran industri pada Julai yang lebih kukuh daripada jangkaan pasaran, prestasi baik dalam industri tertentu, serta prospek agak positif bagi kelompok elektronik.
“Kami melihat pengembangan kukuh dalam kelompok elektronik utama, khususnya semikonduktor, perkakasan komputer dan penyimpanan data, serta modul elektronik lain,” katanya.
Sektor kejuruteraan pengangkutan menyaksikan lonjakan paling ketara, dengan jumlah keluaran naik 13.3 peratus pada Julai.
Segmen aeroangkasa meningkat 21.7 peratus disebabkan permintaan lebih tinggi bagi alat ganti pesawat, selain lebih banyak kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih bagi pesawat komersial.
“Jumlah keluaran kilang Singapura yang tumbuh semula pada permulaan suku ketiga 2024 sejajar dengan jangkaan kami untuk melihat pemulihan secara beransur-ansur pada separuh kedua 2024, menyusuli prestasi tidak menentu pada suku kedua,” kata pakar ekonomi DBS, Encik Chua Han Teng.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg