Inflasi teras di Singapura berkurangan melebihi jangkaan pada Julai, dengan harga meningkat pada kadar lebih perlahan secara keseluruhan.
Inflasi teras – tidak termasuk kos pengangkutan swasta dan penginapan untuk mencerminkan perbelanjaan isi rumah dengan lebih baik – turun kepada 2.5 peratus pada Julai 2024 berbanding Julai 2023.
Ini berbeza daripada jangkaan inflasi teras sebanyak 2.9 peratus oleh penganalisis.
Ia juga kadar inflasi terendah sejak Februari 2022, apabila inflasi teras mencatat 2.2 peratus.
Kadar inflasi keseluruhan pada Julai tidak berubah berbanding Jun, iaitu pada paras 2.4 peratus, disebabkan kos penginapan lebih rendah.
Inflasi keseluruhan susut 0.3 peratus pada Julai berbanding Jun, lapor The Straits Times.
Bagi keseluruhan 2024, inflasi teras dijangka naik antara 2.5 dengan 3.5 peratus, manakala inflasi keseluruhan diramal mencapai 2 hingga 3 peratus, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam laporan inflasi pada 23 Ogos.
Ia menambah bahawa inflasi pengangkutan swasta dijangka berkurangan berbanding 2023, antara lain disebabkan bekalan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang dijangka meningkat pada 2024.
Ia juga kerana harga penginapan dijangka terus merosot dengan bekalan unit perumahan untuk disewa dijangka terus bertambah sepanjang 2024.
Pakar ekonomi DBS Bank, Encik Chua Han Teng, meramalkan inflasi teras pada 2024 akan berkurangan secara purata berbanding 2023.
Antara lain, beliau menyebut tekanan harga import yang terkawal, selain berkurangnya kos perniagaan domestik yang dipindahkan kepada pengguna.
Ketua pakar ekonomi OCBC Bank, Cik Selena Ling, berkata faktor utama yang perlu dipantau ialah trend inflasi dalam perkhidmatan, pengangkutan swasta dan penginapan.
Daripada semua kategori perbelanjaan, pengangkutan swasta adalah satu-satunya yang tidak mengikuti trend pada Julai, dengan kos meningkat 0.9 peratus pada Julai 2024, berbanding Julai 2023.
Ia juga lebih tinggi berbanding kos pengangkutan swasta yang susut 0.7 peratus pada Jun.
Ini disebabkan harga kereta dan motosikal yang walaupun turun, ia merosot pada kadar kecil tetapi harga petrol pula naik pada kadar lebih tinggi.
Inflasi perkhidmatan pula merosot kepada 2.9 peratus, daripada 3.4 peratus pada Jun.
Ini pada umumnya disebabkan perbelanjaan percutian yang meningkat pada kadar lebih perlahan.
Inflasi makanan turun kepada 2.7 peratus pada Julai berbanding 2.8 peratus pada Jun, disebabkan kenaikan kecil pada harga kededua khidmat makanan siap dimasak dan barangan makanan tidak dimasak.
Inflasi elektrik dan gas juga turun kepada 6.6 peratus pada Julai, berbanding 6.9 peratus pada Jun, disebabkan kenaikan lebih kecil dalam harga elektrik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg