BAITULMAKDIS: Emosi memuncak dalam kalangan keluarga Israel dan Palestin pada Khamis selepas perjanjian membebaskan tebusan yang ditahan kumpulan Hamas sebagai pertukaran bagi tahanan Palestin di Israel ditangguhkan sehari.
Pertukaran secara berperingkat di bawah gencatan senjata empat hari itu sebaliknya dimulakan pada Jumaat dengan pembebasan 13 wanita dan kanak-kanak Israel dan pembebasan timbal balik kira-kira 30 wanita dan remaja lelaki Palestin.
Pelaksanaan perjanjian itu ditangguh semalaman, kata pegawai Israel, menggambarkan kesedihan bagi keluarga kira-kira 240 tebusan yang ditahan Hamas apabila mereka menyerang selatan Israel pada 7 Oktober. Lebih 1,400 orang terbunuh dalam serangan Hamas itu.
“Emosi kami telah berkecamuk selama 47 hari dan hari ini tidak berbeza,” kata Cik Eyal Kalderon, 38 tahun, yang sepupunya, Cik Ofer, ditawan bersama dua anaknya, Erez, 12 tahun, dan Sahar, 16 tahun.
“Kami berharap sekurang-kurangnya anak-anak akan kembali secepat mungkin. Masa semakin suntuk dan mereka tidak sabar lagi,’’ tambahnya.
Saudara kembar Cik Kalderon, Cik Yael berkata mereka cuba mengekalkan harapan mereka tetapi sukar dengan keadaan yang berubah-ubah.
“Kami cuba elak meletakkan harapan terlalu tinggi dan kami hanya akan dapat bernafas lega apabila kami melihat mereka dengan mata kepala kami sendiri,” katanya.
“Tetapi sukar untuk mengabaikan berita dan ia cukup menerujakan,” tambahnya.
“Berita bahawa 13 tebusan akan dibebaskan pada 4 petang waktu tempatan pada Jumaat berkemungkinan menyebabkan lebih banyak kegawatan emosi dalam kalangan keluarga,” kata seorang doktor yang bekerja dengan Forum Tebusan dan Keluarga Hilang.
“Bayangkan bagaimana perasaan keluarga berkenaan,” kata Profesor Hagai Levine, yang mengetuai pasukan perubatannya.
Tebusan akan diserahkan kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa dan kemudian diambil alih oleh tentera Israel dan doktor.
Pihak keluarga tidak dibenarkan menemui mereka di tapak penyerahan kerana isu keselamatan.
Di bawah syarat perjanjian gencatan senjata selama empat hari, 50 tebusan Israel akan ditukar dengan 150 tahanan Palestin, dengan potensi untuk pertukaran selanjutnya pada nisbah yang sama.
Pihak berkuasa Israel telah menerbitkan senarai 300 tahanan Palestin yang layak dibebaskan.
Sumber rasmi Israel berkata penyerahan tahanan akan berlaku selepas tebusan selamat diserahkan ke tangan Israel.
Menurut sumber, tahanan Palestin itu akan dibawa ke kem tentera berhampiran Ramallah dan kemudiannya dibebaskan.
Di kawasan Beit Safafa, di Baitulmakdis Timur, ibu seorang tahanan Palestin berusia 23 tahun berkata: “Hanya Tuhan yang tahu betapa sedihnya perasaan saya apabila diberitahu pembebasan tahanan ditangguhkan.”
Anaknya, Malak, ditahan dalam perjalanan ke sekolah ketika dia berusia 16 tahun kerana dikatakan cuba menikam seorang anggota polis di Baitulmakdis.
“Saya tidak boleh berfikir lagi, kami sedang menunggu dan saya takut sesuatu akan berlaku,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg