Keluarga cari mangsa hilang dalam serangan ragut lebih 400 nyawa di Kabul
Keluarga cari mangsa hilang dalam serangan ragut lebih 400 nyawa di Kabul
KABUL: Anggota dan rakan kepada pesakit yang sedang menjalani rawatan di sebuah pusat pemulihan di Kabul terus mencari insan tersayang mereka pada 18 Mac, dua hari selepas pusat itu dibom dalam insiden paling maut dalam konflik berbulan-bulan antara Afghanistan dan Pakistan.
Pemerintah Taliban Afghanistan menyatakan lebih 400 orang terbunuh dan 265 lagi cedera dalam serangan udara yang berlaku pada malam 16 Mac, ketika pesakit dan kakitangan sedang menunaikan solat, hanya beberapa hari sebelum berakhirnya Ramadan.
Pakistan bagaimanapun menolak dakwaan itu, dengan menyatakan bahawa pihaknya “menyasarkan secara tepat kemudahan ketenteraan dan infrastruktur sokongan pengganas” - satu perkembangan yang meningkatkan ketegangan antara dua negara Islam itu, di tengah ketidakstabilan serantau susulan konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran.
Pada 18 Mac, saudara mara pesakit berkumpul di lokasi kejadian untuk mencari ahli keluarga mereka yang sebelum ini ditempatkan di pusat pemulihan dadah tersebut. Ramai yang mengakui mereka tidak mengetahui sama ada orang tersayang masih hidup, terkorban atau telah dipindahkan ke lokasi lain.
“Kami datang ke sini untuk mencari pesakit kami, dia hilang,” kata seorang lelaki berusia 50 tahun yang hanya dikenali sebagai Encik Mazar. “Kami ingin tahu sama ada dia masih hidup atau apa yang telah berlaku.”
Menurutnya, ahli keluarga tersebut baru sahaja dimasukkan ke pusat itu buat kali kedua dan tiada sebarang maklumat diperoleh setakat ini. “Kami periksa senarai mangsa yang selamat, tetapi namanya tiada. Mungkin dia cedera atau sudah terkorban,” katanya.
Seorang lagi individu yang enggan dikenali berkata beliau telah datang sehari sebelum itu, namun tidak dibenarkan memasuki kawasan pusat berkenaan. “Kami tidak menemui mayatnya, dia juga tiada dalam senarai mangsa cedera atau terselamat,” katanya. “Kami datang semula hari ini untuk mendapatkan maklumat.”
Seorang saksi Reuters melaporkan asap masih kelihatan keluar dari runtuhan bangunan kira-kira 36 jam selepas serangan, ketika anggota bomba masih memadamkan sisa kebakaran. Perabot, tilam dan pakaian bertaburan di celah runtuhan.
Kementerian Dalam Negeri Afghanistan memaklumkan bahawa sebahagian pengebumian mangsa akan dijalankan pada 18 Mac. “Sebahagian mayat tidak dapat dikenal pasti dan kini berada di jabatan forensik. Ada yang masih utuh dan telah diserahkan kepada keluarga, tetapi ada juga yang hancur dan hanya tinggal cebisan,” kata jurucakap kementerian itu, Encik Abdul Mateen Qanie.
Ketua Direktorat Perubatan Forensik Afghanistan, Encik Najibullah Farooqi, berkata usaha mengeluarkan mayat masih diteruskan sehingga lewat malam 17 Mac. “Sebahagian mayat telah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga, namun masih banyak lagi yang belum,” katanya.
Afghanistan dan Pakistan saling bercanggah mengenai sasaran sebenar serangan tersebut. Pihak berkuasa Afghanistan menegaskan serangan itu jelas menyasarkan pusat pemulihan awam yang dikenali sebagai Camp Phoenix, sebuah bekas pangkalan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang telah ditukar menjadi kemudahan awam sejak kira-kira sedekad lalu.
Sebaliknya, Pakistan mendakwa lokasi itu adalah tapak penyimpanan senjata dan peralatan militan, dengan letupan susulan selepas serangan menunjukkan kewujudan depot peluru berskala besar.
Kesatuan Eropah, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta kumpulan bantuan antarabangsa menegaskan bahawa kemudahan awam dan perubatan tidak seharusnya menjadi sasaran dalam konflik, sambil menggesa ketegangan segera diredakan.
Konflik antara kedua-dua negara itu tercetus pada 2025 selepas Pakistan menuduh Afghanistan melindungi kumpulan militan yang melancarkan serangan di wilayahnya — tuduhan yang dinafikan oleh pemerintah Taliban.
Walaupun ketegangan sebelum ini mereda hasil usaha perantara oleh negara seperti China, konflik kembali memuncak sejak Februari apabila Pakistan mula menyasarkan secara langsung pihak Taliban Afghanistan, bukan sekadar kumpulan militan di kawasan sempadan. - Agensi berita

