Letupan kedengaran di Kabul ketika konflik Pakistan-Afghan berterusan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Letupan kedengaran di Kabul ketika konflik Pakistan-Afghan berterusan

Mar 2, 2026 | 2:19 PM

Letupan kedengaran di Kabul ketika konflik Pakistan-Afghan berterusan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
konflik afghanistan-pakistan
Askar Taleban mengendalikan senjata antipesawat sambil berjaga-jaga terhadap jet pejuang Pakistan, yang memasuki ruang udara di wilayah Khost, Afghanistan, - Foto REUTERS

KABUL: Letupan kedengaran di ibu negara Afghanistan, Kabul, dengan pasukan Taleban menyatakan mereka melepaskan tembakan ke arah pesawat Pakistan, ketika konflik itu berlanjutan ke hari keempat berturut-turut.

Pemerintah Taleban Afghanistan menyatakan pasukannya mengerahkan sistem pertahanan antipesawat dan peluru berpandu terhadap jet Pakistan yang memasuki ruang udaranya pada awal pagi 1 Mac.

Ini termasuk menggagalkan percubaan serangan Pakistan ke atas Bagram, bekas pangkalan tentera Amerika Syarikat di utara Kabul.

Pakistan belum memberi respons kepada dakwaan tersebut.

Islamabad telah mengisytiharkan bahawa kedua-dua negara berada dalam “perang terbuka”, dan pada 1 Mac pasukannya dilaporkan masih menguasai kawasan seluas 32 kilometer persegi wilayah Afghanistan di sektor selatan Zhob, menurut dua pegawai keselamatan Pakistan.

Timbalan jurucakap pemerintah Afghanistan, Encik Hamdullah Fitrat, menyatakan serangan Pakistan telah membunuh 55 orang awam di beberapa wilayah sejak pertempuran semakin sengit pada 26 Februari, menurut agensi berita Anadolu.

Antara mereka ialah seorang wanita dan seorang kanak-kanak, yang terbunuh dalam serangan dron di wilayah Nangarhar, serta seorang awam yang rumahnya terkena tembakan mortar di Paktia, timur Afghanistan.

Di wilayah Kunar, seorang pemuda bernama Sajid mendakwa kehilangan abangnya, yang enggan melarikan diri.

“Dia berkata, ‘Saya akan tinggal dan menjaga rumah itu. Dia meninggal dunia berhampiran masjid,” kata Encik Sajid.

Walaupun Taleban memberi isyarat sikap keterbukaannya kepada rundingan, Pakistan telah menolak dialog.

“Tidak akan ada sebarang rundingan. Tiada dialog. Tiada rundingan,” kata Encik Mosharraf Zaidi, jurucakap media asing Perdana Menteri Pakistan.

Beliau menegaskan bahawa satu-satunya tuntutan Islamabad adalah untuk menamatkan apa yang digelarnya sebagai “keganasan” yang berpangkalan di Afghanistan.

Ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu telah memuncak sejak 26 Mac apabila Kabul melancarkan “operasi balas dendam” di sepanjang sempadan selepas serangan udara Pakistan pada akhir Februari.

Punca konflik ini terletak pada pertikaian yang berlarutan dan sengit mengenai Taleban Pakistan, yang dikenali dengan akronim TTP, sebuah kumpulan bersenjata yang dituduh Pakistan melindungi Kabul.

TTP telah memperhebatkan kempennya di Pakistan secara dramatik, dengan tahun lalu menjadi tahun paling ganas di negara itu dalam hampir sedekad.

Kematian melonjak sebanyak 75 peratus dari 2024 kepada 3,413, dan insiden keganasan keseluruhan meningkat sebanyak 29 peratus, menurut Institut Kajian Konflik dan Keselamatan Pakistan, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Islamabad. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg