Pakistan isytihar ‘perang terbuka’ terhadap Taleban Afghanistan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakistan isytihar ‘perang terbuka’ terhadap Taleban Afghanistan

Pakistan bom beberapa bandar utama Afghanistan termasuk ibu kota Kabul
Feb 27, 2026 | 11:11 AM

Pakistan isytihar ‘perang terbuka’ terhadap Taleban Afghanistan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pakistan, perang, Taliban Afghanistan
Seorang anggota keselamatan Taleban memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya di Kabul, Afghanistan, pada 26 Februari. Pertempuran tercetus di sepanjang sempadan apabila pihak berkuasa Taleban mendakwa tentera Afghanistan menyerang pos tentera Pakistan susulan serangan udara Pakistan di Nangarhar dan Paktia. - Foto EPA

ISLAMABAD: Pakistan melancarkan serangan udara ke atas beberapa bandar utama di Afghanistan, termasuk ibu kota Kabul, dengan menteri pertahanannya mengisytiharkan kedua-dua negara kini berada dalam keadaan “perang terbuka” selepas berbulan-bulan sengketa saling membalas di sempadan.

Menteri Pertahanan Pakistan, Encik Khawaja Asif, mengumumkan perubahan pendirian itu selepas tentera Pakistan melancarkan serangan udara menyasarkan beberapa bandar Afghanistan termasuk Kabul, Kandahar dan Paktia.

“Kesabaran kami sudah sampai hadnya. Kini ia perang terbuka antara kami dengan anda,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Ketegangan terbaru menjadikan hubungan Islamabad dan Kabul berada pada tahap paling buruk sejak Taleban kembali memerintah Afghanistan.

Wartawan melaporkan jet pejuang kedengaran di ruang udara Kabul dan Kandahar diikuti beberapa letupan kuat serta tembakan berlarutan lebih dua jam.

Jurucakap Taleban, Encik Zabihullah Mujahid, mengesahkan serangan Pakistan tetapi berkata tiada kematian dilaporkan.

Islamabad menuduh Afghanistan gagal bertindak terhadap kumpulan militan yang melancarkan serangan di Pakistan, dakwaan yang dinafikan Taleban.

Menteri Dalam Negeri Pakistan, Encik Mohsin Naqvi, pula menyifatkan operasi ketenteraan itu sebagai tindak balas sewajarnya.

“Tentera kami bertindak selepas pasukan Afghanistan menyerang tentera pengawal sempadan Pakistan,” katanya.

Presiden Pakistan, Encik Asif Ali Zardari, menegaskan negaranya tidak akan bertolak ansur mengenai keselamatan.

“Pakistan tidak akan berkompromi terhadap keamanan dan kedaulatan wilayah.

“Sesiapa yang menyangka kesabaran kami sebagai kelemahan akan menerima tindak balas tegas,” katanya.

Serangan Pakistan berlaku beberapa jam selepas tentera Afghanistan melepaskan tembakan ke arah pos Pakistan, yang menurut Taleban merupakan tindak balas terhadap serangan udara lebih awal.

Kedua-dua pihak mendakwa puluhan anggota tentera terbunuh dalam pertempuran sepanjang sempadan bergunung itu.

Kementerian Pertahanan Afghanistan pula memaklumkan lapan anggotanya terbunuh dalam serangan darat Pakistan.

Seorang pegawai Afghanistan berkata peluru mortar turut mengenai kem pelarian berhampiran lintasan Torkham.

“Tujuh pelarian cedera dan keadaan seorang wanita kritikal,” kata pegawai wilayah Nangarhar, Encik Qureshi Badlun.

Pihak berkuasa Afghanistan menyatakan mereka melancarkan serangan balas merentasi sempadan selepas serangan udara Pakistan, menyasarkan kemudahan tentera di sepanjang Garisan Durand.

Pakistan bagaimanapun menolak dakwaan tersebut dan menyatakan serangan Afghanistan berlaku tanpa sebarang provokasi.

Kementerian Penerangan Pakistan menyatakan pasukannya memberi “tindak balas segera dan berkesan” terhadap tembakan Afghanistan dan akan mengambil semua langkah perlu bagi melindungi rakyatnya.

Pentadbiran Taleban pula berkata operasi mereka dilakukan sebagai “tindak balas terhadap provokasi berulang”.

Jumlah korban masih tidak jelas apabila kedua-dua pihak mendakwa menyebabkan kehilangan besar kepada lawan, namun mengecilkan kematian di pihak sendiri.

Pertempuran turut menjejas penduduk awam di kawasan sempadan apabila letupan berhampiran lintasan Torkham mencederakan pelarian dan memaksa pemindahan orang ramai di kedua-dua belah sempadan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan melaporkan, sekurang-kurangnya 13 orang awam terbunuh dalam serangan Pakistan ke atas wilayah Nangarhar dan Paktika.

Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, menyeru kedua-dua negara menahan diri dan menyelesaikan pertikaian melalui diplomasi.

Hubungan kedua-dua negara merosot sejak beberapa bulan lalu walaupun usaha gencatan senjata dilakukan oleh beberapa negara serantau.

Lebih 70 orang terbunuh dalam pertempuran Oktober lalu yang menyebabkan lintasan darat utama ditutup hampir sepenuhnya.

Pemerintah Taleban pula mendakwa, sekurang-kurangnya 18 orang maut dan menafikan dakwaan Pakistan bahawa lebih 80 militan terbunuh.

Ketegangan berterusan walaupun terdapat usaha beberapa pusingan rundingan di bawah pengantara Qatar dan Turkey gagal mencapai persetujuan kekal sebelum ini.

Arab Saudi turut campur tangan pada Februari dengan menjadi perantara membebaskan tiga tentera Pakistan yang ditahan Afghanistan sejak Oktober. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg