AHMEDABAD: Dalam sebuah dewan di Ahmedabad, India, keluarga mangsa yang sedang berkabung menyerahkan contoh DNA bagi mengenal pasti anggota keluarga selepas sebuah pesawat penumpang menuju ke London terhempas di kawasan perumahan pada 12 Jun.
Encik Ashfaque Nanabawa, 40 tahun, berkata beliau datang untuk mencari sepupunya, Akeel Nanabawa, yang berada dalam pesawat bersama isteri dan anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun.
Menurutnya, mereka sempat bercakap ketika sepupunya sedang duduk di dalam pesawat sebelum ia berlepas. “Dia telefon kami dan berkata, ‘Saya dalam pesawat dan sudah naik dengan selamat, semuanya okay’. Itu panggilan terakhirnya.”
Encik Nanabawa, yang bercakap pada awal pagi 13 Jun, berkata beliau dan keluarganya telah memberikan contoh DNA, tetapi masih belum “mengenal pasti mana-mana mayat”.
Polis India memaklumkan sekurang-kurangnya 265 mayat telah ditemui di tapak nahas yang masih berasap termasuk dari bangunan asrama petugas perubatan yang dirempuh pesawat tersebut.
Jumlah korban mungkin meningkat apabila lebih banyak mayat ditemui.
Menteri Dalam Negeri, Encik Amit Shah, yang melawat tapak nahas dan mangsa yang cedera di hospital pada malam 12 Jun, berkata makmal forensik akan “menyelesaikan ujian DNA secepat mungkin”.
Beliau berkata angka korban rasmi hanya akan “diumumkan selepas proses ujian DNA selesai”.
Di atas pentas khas, kira-kira sedozen doktor yang keletihan sedang mengumpul contoh bagi tugas berat mengenal pasti mayat mangsa.
“Kami ambil sampel daripada bayi sehinggalah warga emas berusia lebih 80 tahun... tiada kata-kata untuk menggambarkan keadaan ini,” kata seorang doktor, yang enggan dinamakan kerana tidak dibenarkan bercakap kepada media.
Di atas bangunan, bunyi pesawat lain terus kedengaran, kerana dewan itu terletak berhampiran lapangan terbang.
Air India berkata pesawat itu membawa 169 rakyat India; 53 warga Britain; tujuh rakyat Portugal; seorang warga Canada dan 12 anak kapal; menjadikan jumlah keseluruhan 242 orang dalam pesawat.
Hanya seorang – seorang warga Britain – disahkan terselamat.
Sekurang-kurangnya 24 orang turut terkorban di darat apabila pesawat merempuh bangunan perumahan.
“Sebagai doktor, anda sentiasa bersedia untuk menghadapi keadaan paling buruk, bukan?” kata doktor itu.
“Tetapi ini sungguh luar biasa. Keluarga menangis, mencari jawapan. Ada seorang datang beri sampel... isteri, anak dan ibunya berada dalam pesawat,” tambah doktor itu.
“Apa yang boleh saya katakan?,” ujarnya.
Seorang wanita yang terlalu sedih untuk memberikan namanya berkata, menantunya telah terkorban.
“Anak saya masih belum tahu suaminya sudah tiada,” katanya sambil menyapu air mata.
“Saya tak sanggup sampaikan berita itu. Bolehkan orang lain tolong beritahu dia?”
Encik Premal Mehta, 39 tahun, dari Ahmedabad, berkata beliau tidak mahu mempercayai bahawa rakannya, Encik Mahesh Jeerawala, telah terbunuh.
“Saya sedang gunakan segala yang saya ada – hubungan politik, apa sahaja – untuk mencarinya,” kata Encik Mehta dengan nada terdesak sambil menyokong abang kepada rakannya itu yang sedang memberikan contoh DNA.
Encik Ismail Sheikh berkata beliau baru sahaja menyambut kedatangan rakannya, seorang penduduk London yang pulang ke India untuk bertemu keluarga.
Rakannya berada dalam pesawat bersama isteri dan dua anak mereka.
Encik Sheikh mengimbas kembali saat beliau menghantar rakannya ke lapangan terbang 15 tahun lalu, ketika rakannya itu berpindah ke London dengan penuh harapan.
“Sekarang saya berada di sini,” kata Sheikh dengan mata bergenang. “Ini sesuatu yang tak terbayang.” – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg