Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mangsa terselamat nahas Air India tidak percaya masih hidup

Jun 13, 2025 | 11:55 AM
Nahas Air India, mangsa terselamat, warga Britain
Tangkap layar daripada rakaman video yang diambil dan disiarkan oleh saluran YouTube rasmi Narendra Modi pada 13 Jun menunjukkan Perdana Menteri India itu bertemu dengan Encik Vishwash Kumar Ramesh, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas pesawat Air India di sebuah hospital di Ahmedabad. - Foto AFP

AHMEDABAD: Satu-satunya penumpang yang diketahui terselamat dalam nahas pesawat Air India segera menghubungi keluarganya di Britain beberapa saat selepas beliau keluar daripada pesawat yang terhempas pada 12 Jun.

Penumpang yang bernasib baik itu, Encik Viswash Kumar Ramesh, menghubungi mereka dengan berkata: “Saya tidak tahu bagaimana saya boleh hidup!”

Ungkapan beliau itu dikatakan oleh adiknya, Encik Nayan Ramesh, 27 tahun, kepada pemberita.

Encik Viswash, 38 tahun, dalam penerbangan pulang ke London dari Ahmedabad, India, apabila pesawat itu terhempas sejurus selepas berlepas.

Nahas udara itu telah membunuh 241 orang yang menaiki penerbangan dengan pesawat Boeing 787 Dreamliner.

Salah seorang daripada mereka yang terbunuh ialah abang mereka, Encik Ajay.

Ketika dikunjungi, keluarga Encik Viswash di Leicester, England, sedang berkabung bercampur rasa terkejut. Di luar rumah, sekumpulan lelaki berlegar-legar dengan salah seorang daripada mereka, Encik Nayan, kelihatan terpinga-pinga.

Pintu rumah luas terbuka dan di dalamnya kelihatan seorang wanita berusia senja, menangis teresak-esak sambil dikerumuni beberapa anggota keluarga.

Di India, Dr Dhaval Gameti, yang menyatakan bahawa beliau telah memeriksa Encik Viswash, memberitahu media bahawa penumpang Air India yang terselamat itu dalam keadaan “kebingungan, dengan pelbagai kecederaan di seluruh badannya, tetapi beliau nampaknya telah keluar daripada bahaya”.

Encik Nayan menyatakan bahawa keluarganya telah bercakap dengan abangnya di hospital.

“Mereka telah memberitahunya supaya berehat, dan mereka telah mematikan telefonnya,” katanya.

Sejurus selepas pesawat itu terhempas, Encik Viswash yang sedang bercuti, kata Encik Nayan, sempat membuat panggilan video kepada bapanya dari sebelah serpihan pesawat.

“Pesawat kami terhempas,” katanya, menurut Encik Nayan. “Saya tidak tahu bagaimana saya boleh berada di luar.”

Encik Viswash sempat menggandingkan berita luar biasa yang baik itu dengan berita buruk yang juga luar biasa.

“‘Saya tidak dapat melihat abang saya. Saya tidak dapat melihat mana-mana penumpang lain,’” singkap Encik Nayan yang terkejut dengan kata-kata abangnya itu, lebih-lebih lagi daripada Encik Viswash sendiri yang masih hidup.

Encik Viswash kemudian dikejarkan ambulans untuk dibawa ke hospital. Media sebelum ini melaporkan bahawa para penyelamat telah menemui sekurang-kurangnya 30 mayat, kebanyakannya daripada sebuah hostel perubatan yang dirempuh pesawat itu semasa ia terhempas.

Sehingga 8 malam pada 12 Jun, lebih daripada 100 mayat telah dibawa ke sebuah hospital di Ahmedabad menyusuli kejadian itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg