KATHMANDU: Hampir dua minggu selepas banjir kilat akibat keruntuhan glasier melanda Nepal, harapan ahli keluarga untuk menemui ribuan mangsa yang masih hilang bertukar menjadi kekecewaan terhadap usaha menyelamat yang dianggap berjalan terlalu perlahan.

Kira-kira 50 anggota keluarga mangsa berhimpun di kawasan Maitighar Mandala, Kathmandu, pada 7 September sambil membawa gambar orang tersayang dan mendesak pemerintah Nepal mempercepat operasi mencari dan menyelamat.

Kebanyakan saudara mereka bekerja di projek hidroelektrik di sepanjang Sungai Trishuli ketika bencana melanda pada 26 Ogos.

Sekurang-kurangnya 50 pekerja dipercayai masih terperangkap dalam sebuah terowong projek hidroelektrik Trishuli 3B.

Cik Sumana Shreshta Amatya, 50 tahun, berkata suaminya, Encik Sumesh Amatya, seorang ahli geologi kanan di projek Trishuli, masih hilang sejak hari kejadian.

“Suami saya mungkin masih hidup dan terperangkap di dalam. Dia mungkin boleh diselamatkan. Mengapa tentera tidak mengutamakan operasi menyelamat di dalam terowong?” katanya.

“Sudah masuk hari ke-13 sejak banjir. Dalam masyarakat Hindu, inilah masanya upacara pengebumian terakhir dilakukan untuk orang tersayang.”

Namun, Cik Sumana berkata keluarganya masih tidak menerima sebarang berita yang dapat memberikan kepastian mengenai nasib suaminya.

Harapan keluarga mangsa meningkat selepas dua pekerja projek Upper Trishuli 3A, Encik Kabir Maharjan dan Encik Sanjay Sah, ditemui hidup selepas terperangkap selama sembilan hari di dalam terowong.

Mereka berlindung dalam ruang yang masih mempunyai bekalan udara, lalu bertahan selama sembilan hari dalam kegelapan dan dikelilingi air berlumpur.

Seorang lagi mangsa, Cik Chandrika Shashtra, 64 tahun, ditemui hidup di Betrawati Bazar pada hari ke-11 selepas bencana.

Penemuan mangsa yang masih hidup selepas tempoh begitu lama menguatkan keyakinan ahli keluarga bahawa pekerja lain yang terperangkap dalam terowong mungkin masih boleh diselamatkan.

Adik Encik Sumesh, Cik Reena Amatya, berkata beliau bimbang abangnya masih menunggu bantuan.

“Abang saya mungkin sedang sesak nafas di dalam terowong, berharap seseorang datang menyelamatkannya.

“Tetapi pihak berkuasa Nepal tidak melakukan secukupnya,” katanya.

Cik Reena, seorang pembantu penjagaan kesihatan di London, berada di Kathmandu untuk bercuti ketika bencana berlaku.

Beliau sepatutnya pulang ke London tetapi menangguhkan penerbangannya selama dua hari supaya abangnya, yang sudah tujuh bulan bertugas di projek Trishuli 3B, dapat menghantarnya ke lapangan terbang.

Banjir melanda pada pagi abangnya sepatutnya bertolak untuk menemuinya.

Sementara itu, Encik Sagar Poudel, sedang mencari sepupunya, Encik Somnath Poudel, 37 tahun, seorang jurutera di Trishuli 3B yang dipercayai terperangkap dalam terowong.

Isteri Encik Somnath dan anak kembar mereka yang berusia dua tahun pula berada di kuarters pekerja berhampiran sungai ketika banjir melanda. Ketiga-tiga mereka masih hilang.

Beliau turut menyertai kumpulan WhatsApp melibatkan kira-kira 140 anggota keluarga mangsa Trishuli.

Kumpulan itu ditubuhkan dua hari selepas bencana, pada 28 Ogos, bagi menyelaras maklumat pencarian, membantu keluarga membuat laporan orang hilang dan menyerahkan sampel DNA.

Bencana itu tercetus selepas sebuah glasier runtuh dan menyebabkan banjir besar yang meragut lebih 1,300 nyawa di Nepal dan wilayah Tibet di China serta menyebabkan lebih 5,000 orang hilang.

Mangsa yang hilang termasuk warga asing dari India, Australia, Malaysia dan Singapura.

Keluarga mangsa mendakwa tentera dan polis hanya menghantar pasukan kecil serta peralatan ringan ke Trishuli 3B, sedangkan jentera penggali lebih besar digunakan di beberapa projek hidroelektrik lain.

Sekurang-kurangnya 12 projek hidroelektrik terjejas akibat bencana itu.

Brigedier Jeneral Nepal, Encik Subash Jung Thapa, menolak dakwaan bahawa Trishuli 3B tidak diberi perhatian.

Menurutnya, pasukan penyelamat dihantar ke Trishuli 3A dan 3B sejak awal, tetapi keadaan tanah yang dipenuhi lumpur menyukarkan operasi.

“Sebarang peralatan dan jentera penggali akan tenggelam dalam lumpur. Di dalam terowong juga terdapat mendapan lumpur dan pasukan penyelamat secara manual tidak dapat memasukinya,” katanya.

Beliau berkata bentuk lembah yang sempit turut menyukarkan operasi helikopter, menyebabkan hanya jentera penggali ringan dapat dihantar pada peringkat awal.

Keadaan tanah kini semakin keras dan stabil, membolehkan jentera lebih berat dibawa masuk.

Pasukan penyelamat juga menemui laluan untuk memasuki terowong 3B melalui terowong 3A.

“Pasukan kami akan sampai ke 3B tidak lama lagi dan kami akan bekerja lebih pantas untuk menyelamatkan mereka yang hilang,” kata Brigedier Jeneral Thapa.

Bagi keluarga yang masih menunggu, kejayaan menyelamatkan pekerja selepas sembilan hari memberi sebab untuk mereka enggan berputus asa.

“Kami mempercayai pemerintah, tetapi jika mereka tidak mampu menanganinya, mengapa tidak meminta bantuan negara lain?” kata Cik Reena. – Agensi berita.