Keluarga pelaut Indonesia berharap mangsa ditemui, pelaut Filipina terkandas di Selat Hormuz

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga pelaut Indonesia berharap mangsa ditemui, pelaut Filipina terkandas di Selat Hormuz

Mar 13, 2026 | 11:23 AM

Keluarga pelaut Indonesia berharap mangsa ditemui, pelaut Filipina terkandas di Selat Hormuz

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
pelaut, Indonesia, Hormuz, explosion, Mussafah 2, Iran, konflik, Miswar Maturusi, missing
Marliani Ahmad, 47 tahun, memegang bingkai foto bersama suaminya, Kapten Miswar Maturusi, nakhoda kapal Mussafah 2 yang dilaporkan meletup di Selat Hormuz. Sehingga kini keluarga masih dalam kegelisahan kerana belum menerima sebarang maklumat mengenai keadaan Kapten Miswar. - Foto Trendify.id

JAKARTA/MANILA: Keluarga tiga pelaut Indonesia yang hilang selepas sebuah kapal tunda meletup dan tenggelam di Selat Hormuz masih menaruh harapan agar mereka ditemui selamat, ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan di tengah ketegangan yang semakin meningkat di salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia.

Antara yang masih hilang ialah kapten kapal, Miswar Maturusi, dan jurutera Sirajuddin, kedua-duanya berasal dari Kabupaten Luwu di Sulawesi Selatan. Mereka bekerja di atas kapal tunda dari Amiriah Arab Bersatu (UAE), Musaffah 2, yang meletup dan tenggelam pada 6 Mac lalu.

Di Luwu, ahli keluarga dan saudara mara berkumpul di rumah masing-masing sambil menunggu perkembangan terkini daripada pihak berkuasa.

Isteri Encik Miswar, Cik Sri Dewi Aisyah, berkata komunikasi terakhirnya dengan suami berlaku melalui aplikasi WhatsApp sebelum kapal tersebut memasuki Selat Hormuz. “Selepas beberapa hari, kami mendapat berita daripada rakan sekerja dan syarikat bahawa kapal itu mengalami kemalangan,” katanya kepada portal Beritasatu.com.

Menurutnya, pada awalnya keluarga menerima maklumat bahawa suaminya terselamat, namun kemudian dimaklumkan bahawa beliau masih hilang. “Ada maklumat mengatakan dia selamat, tetapi kemudian kami diberitahu dia masih belum ditemui,” katanya.

Cik Aisyah menggambarkan suaminya sebagai seorang bapa yang penyayang dan sangat bertanggungjawab terhadap keluarga. “Suami saya sangat bertanggungjawab terhadap keluarga dan sangat rapat dengan anak-anak setiap kali pulang ke rumah,” katanya lagi.

Keluarga mangsa kini hanya berharap agar mereka yang hilang dapat ditemui hidup dan pulang dengan selamat.

Menurut Kementerian Luar Indonesia, kapal Musaffah 2 terbakar selepas satu letupan berlaku pada awal pagi 6 Mac lalu ketika ia beroperasi di perairan antara UAE dan Oman. Ketika kejadian, tujuh anak kapal dari Indonesia, India dan Filipina berada di atas kapal tersebut. Tiga daripada mereka dilaporkan terselamat, manakala empat lagi masih hilang, termasuk tiga warga Indonesia.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Cik Yvonne Mewengkang, berkata pihak berkuasa tempatan telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan mangsa. “Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan, dan kami menggesa siasatan menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Seorang anak kapal Indonesia yang terselamat kini sedang menerima rawatan akibat kecederaan melecur di sebuah hospital di Khasab, Oman. Seorang lagi juruteknik Indonesia yang bekerja di sebuah kapal kontena berhampiran dilaporkan selamat dan telah kembali ke Abu Dhabi.

Menurut saksi, kejadian berlaku ketika kapal tunda Musaffah 2 sedang bersiap untuk menarik sebuah kapal kontena yang rosak, Safeen Prestige, yang kehilangan kuasa di perairan Oman. Beberapa juruteknik telah menaiki kapal kontena tersebut untuk membantu persediaan operasi penarikan apabila kapal tunda itu tiba-tiba meletup. Letupan itu mencetuskan kebakaran besar yang melanda kawasan jambatan kapal sebelum ia tenggelam.

Dalam insiden sama, seorang pelaut Filipina, George Miranda, turut dilaporkan hilang. Encik Miranda, 46 tahun, dilaporkan sempat menghubungi isteri dan anak perempuannya sebelum kejadian berlaku ketika kapal tersebut bergegas membantu sebuah kapal lain yang mengalami masalah di laut.

Pemerintah Filipina berkata Encik Miranda merupakan satu-satunya pelaut dari negara itu yang dilaporkan hilang dalam konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.

Namun lebih 6,000 lagi pelaut Filipina masih bekerja di kawasan konflik dan perairan sekitarnya.
Filipina merupakan antara negara yang membekalkan jumlah pelaut terbesar di dunia, merangkumi kira-kira satu perempat tenaga kerja pelaut global.

Ketegangan di Selat Hormuz meningkat selepas beberapa serangan yang dikaitkan dengan Iran menjejaskan keselamatan perkapalan di kawasan tersebut. Selat itu merupakan laluan penting bagi perdagangan minyak dan gas dunia, dengan kira-kira 20 peratus bekalan tenaga global melalui kawasan tersebut setiap hari.

Keadaan itu menyebabkan banyak kapal terpaksa menunggu di laut sebelum dibenarkan melalui kawasan berbahaya tersebut.’

Seorang pelaut Filipina, John Winston Isidro, berkata rutin di atas kapal kini berubah apabila langkah keselamatan diperketatkan. “Anak kapal tidak lagi bekerja di bahagian dek dan kami menambah kawalan berganda di jambatan kapal,” katanya.

Beliau berkata sebahagian besar masa dihabiskan dengan melayari media sosial, bermain permainan komputer atau menonton filem sementara menunggu perkembangan keadaan. Seorang lagi pelaut, Welbin Maghanoy, berkata kapal yang dinaikinya telah terkandas selama sembilan hari di laut.

“Ia semakin membosankan dan saya juga sedikit takut kerana banyak kapal diserang, kebanyakannya kapal tangki minyak seperti kapal kami,” katanya dari kapal yang berada kira-kira 100 batu nautika dari pantai UAE. Menurutnya, ramai pelaut yang kontrak mereka hampir tamat berharap dapat pulang ke tanah air secepat mungkin.

Presiden Kesatuan Pelaut Filipina Bersatu, Cik Judy Domingo, berkata pihaknya menerima ratusan panggilan daripada pelaut yang terkandas di Selat Hormuz. “Ada juga ahli yang menyatakan hasrat untuk meninggalkan kapal, tetapi kami tidak boleh mengeluarkan mereka serta-merta kerana perlu mempertimbangkan lokasi kapal dan pelabuhan yang selamat untuk mereka turun,” katanya.

Seorang pelaut Filipina yang terkandas turut memuat naik video pengalaman mereka di media sosial.
“Kami berkumpul di bilik mesyuarat untuk memutuskan sama ada mahu meneruskan perjalanan melalui selat itu,” katanya. Menurutnya, hampir semua anak kapal memilih untuk tidak mengambil risiko.
“Kami mahu pulang ke rumah dalam keadaan selamat,” katanya.

Encik Isidro berkata keputusan kapten kapalnya untuk tidak meneruskan perjalanan buat masa ini adalah langkah paling selamat. “Kapten kami tidak akan mempertaruhkan keselamatan kapal. Keadaan terlalu berbahaya,” katanya.

Beliau berharap konflik antara Amerika Syarikat dan Iran dapat berakhir segera. “Marilah kita berdoa supaya perang ini segera tamat supaya semua kapal yang terperangkap di sini dapat keluar dengan selamat,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg