JAKARTA: Sebuah keluarga berempat dari Sepanyol dilaporkan hilang selepas sebuah bot pelancongan karam di Indonesia, menurut agensi berita negeri, Antara, pada 27 Disember.
Bot tersebut membawa 11 orang apabila ia tenggelam di selat Pulau Padar berhampiran destinasi popular Labuan Bajo pada malam 26 Disember.
Tujuh orang, termasuk dua pelancong Sepanyol, empat anak kapal dan seorang jurupandu pelancong diselamatkan.
Pencarian bagi empat lagi mangsa diteruskan pada 27 Disember.
Pihak berkuasa pelabuhan Labuan Bajo mengaitkan punca kapal tenggelam itu kepada keadaan ombak tinggi hingga tiga meter.
“Ini membuatkan ia sukar bagi kami untuk menjalankan pencarian awal,” kata ketua pihak berkuasa pelabuhan, Encik Stephanus Risdiyanto, kepada agensi tersebut.
Pulau Padar ditutup kepada pelancong pada 27 Disember berikutan keadaan cuaca yang ekstrem.
Kemalangan laut kerap berlaku di Indonesia, sebuah kepulauan Asia Tenggara yang mempunyai kira-kira 17,000 pulau, selalunya disebabkan piawaian keselamatan yang rendah serta cuaca buruk. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg