Topik diikuti
Pergi ke BHkuKematian 3 pendaki: Pemandu pendakian Gunung Dukono dinamakan suspek
Kematian 3 pendaki: Pemandu pendakian Gunung Dukono dinamakan suspek
Reza Selang didakwa cuai kerana anjur pendakian walaupun laluan ke gunung berapi itu telah ditutup
Kematian 3 pendaki: Pemandu pendakian Gunung Dukono dinamakan suspek
JAKARTA: Polis Halmahera Utara menetapkan seorang penganjur pendakian dikenali sebagai Reza Selang sebagai suspek dalam kes kematian tiga pendaki, termasuk dua warga Singapura, ketika letusan Gunung Dukono awal bulan Mei ini.
Suspek berusia 35 tahun itu didakwa melakukan kecuaian kerana menganjurkan pendakian secara haram walaupun laluan ke gunung berapi aktif tersebut telah ditutup secara rasmi sejak 17 April lalu susulan peningkatan aktiviti gunung berapi.
Ketua Polis Halmahera Utara, Encik Erlichson Pasaribu mengesahkan status suspek terhadap Reza. “Ya, suspek sudah ditetapkan,” katanya kepada media pada 21 Mei.
Menurut beliau, Encik Reza belum ditahan setakat ini, namun status itu boleh berubah bergantung kepada tahap kerjasamanya sepanjang siasatan dijalankan.
Polis berkata Encik Reza didakwa di bawah Artikel 474 Kanun Keseksaan Indonesia berkaitan kecuaian yang menyebabkan kematian orang lain. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara sehingga lima tahun serta denda maksimum 500 juta rupiah ($36,300).
Menurut polis, terdapat dua faktor utama yang menyebabkan Encik Reza ditetapkan sebagai suspek.
Pertama, beliau tetap meneruskan pendakian walaupun pihak berkuasa telah mengeluarkan larangan rasmi mendaki Gunung Dukono.
Kedua, beliau didakwa gagal bekerjasama dengan pos pemerhatian gunung berapi milik Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi walaupun mengetahui status gunung itu berada pada Tahap II atau Waspada, iaitu tahap kedua daripada empat tahap amaran gunung berapi di Indonesia.
“Suspek merupakan individu yang menganjurkan pakej pendakian itu,” kata Encik Erlichson.
Bagaimanapun, Encik Reza menafikan beliau mengetahui mengenai larangan pendakian tersebut. Ketika dihubungi media mengenai status suspeknya, beliau hanya berkata: “Saya akan terus memberikan kerjasama dalam setiap proses siasatan.”
Insiden maut itu berlaku pada pagi 8 Mei apabila Encik Reza mengetuai sekumpulan 20 pendaki, termasuk lapan pemandu dan 12 pendaki, mendaki Gunung Dukono. Kumpulan itu turut melibatkan sembilan warga Singapura.
Menurut laporan, letusan besar berlaku hanya beberapa minit selepas kumpulan tersebut tiba di puncak gunung. Seramai 17 pendaki berjaya diselamatkan oleh pasukan mencari dan menyelamat selepas terperangkap di kawasan gunung. Namun, tiga pendaki ditemukan maut.
Mangsa terdiri daripada dua warga Singapura iaitu Timothy Heng dan Allahyarham Shahin Muhrez Abdul Hamid, serta seorang warga Indonesia, Angel Krishela Pradita.
Menurut polis, mangsa pertama ditemukan kira-kira 50 meter dari bibir kawah pada 9 Mei. Dua lagi mangsa warga Singapura ditemukan sehari kemudian. Selain tiga korban maut, lima pendaki lain turut cedera akibat letusan tersebut.
Gunung Dukono yang terletak di Halmahera Utara merupakan antara gunung berapi paling aktif di Indonesia. Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini meningkatkan pemantauan selepas aktiviti visual dan gempa gunung berapi meningkat sejak 29 Mac lalu.
Data pemantauan menunjukkan purata 95 kejadian letusan direkodkan dalam tempoh tersebut. Situasi itu menyebabkan pihak berkuasa tempatan menutup laluan pendakian mulai 17 April bagi mengelakkan risiko kepada orang ramai.
Bagaimanapun, siasatan awal mendapati kumpulan pendaki terbabit dipercayai menggunakan laluan tidak rasmi untuk meneruskan pendakian.
Polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwa raya. Sekiranya pendakwa raya berpuas hati dengan bukti yang dikumpulkan, kes itu akan dibawa ke mahkamah daerah untuk proses pendakwaan.
Dalam siasatan itu, polis turut merampas beberapa barang bukti termasuk telefon bimbit rosak, beg pendakian, tongkat pendaki yang patah dan beg peralatan dron jenama DJI tanpa kamera. – Agensi berita
