Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemboja bidas Thailand gantung perjanjian damai, tegaskan komitmen keamanan sempadan

Nov 11, 2025 | 11:02 AM
Gambar edaran daripada Tentera Diraja Thailand menunjukkan dua anggota tentera Thai menerima rawatan kecemasan selepas letupan periuk api ketika rondaan di sempadan Thailand–Kemboja, di wilayah Si Sa Ket, timur laut Thailand, pada 10 November 2025.
 Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, mengarahkan penggantungan serta-merta terhadap perjanjian damai Thai–Kemboja selepas dua anggota tenteranya cedera dalam insiden itu, termasuk seorang yang kehilangan kaki kanan.
 Penggantungan tersebut turut menangguhkan rancangan penghantaran pulang 18 tahanan perang Kemboja.
Gambar edaran daripada Tentera Diraja Thailand menunjukkan dua anggota tentera Thai menerima rawatan kecemasan selepas letupan periuk api ketika rondaan di sempadan Thailand–Kemboja, di wilayah Si Sa Ket, timur laut Thailand, pada 10 November 2025. Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, mengarahkan penggantungan serta-merta terhadap perjanjian damai Thai–Kemboja selepas dua anggota tenteranya cedera dalam insiden itu, termasuk seorang yang kehilangan kaki kanan. Penggantungan tersebut turut menangguhkan rancangan penghantaran pulang 18 tahanan perang Kemboja. - Foto EPA

PHNOM PENH: Kerajaan Kemboja menyuarakan keprihatinan dan kebimbangan terhadap laporan bahawa Thailand telah menggantung pelaksanaan Deklarasi Bersama yang ditandatangani antara Perdana Menteri kedua-dua negara pada 26 Oktober lalu di Kuala Lumpur - perjanjian yang turut disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, serta Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Asean, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataannya Kementerian Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja berkata, penggantungan itu amat dikesali kerana ia boleh menjejas usaha perdamaian selepas pertempuran sempadan berdarah Julai lalu yang mengorbankan lebih 40 nyawa.

“Kerajaan Diraja Kemboja amat bimbang terhadap laporan mengenai langkah Thailand menggantung pelaksanaan Deklarasi Bersama, yang sepatutnya membawa keamanan berkekalan di kawasan sempadan,” kata kenyataan itu pada lewat 10 November.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas laporan media Thailand menyebut bahawa tiga anggota tentera Thailand cedera dalam letupan periuk api di kawasan Phnom Trop berhampiran sempadan Kemboja-Thailand pada 10 November. Insiden itu dikatakan berlaku berhampiran Kuil Preah Vihear di wilayah Kemboja, dan menjadi alasan kepada keputusan Bangkok menangguhkan pelaksanaan perjanjian berkenaan.

Thailand turut membatalkan pembebasan 18 tahanan perang Kemboja yang dijadualkan pada 12 November.

Susulan insiden itu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, berkata segala pelaksanaan perjanjian akan dihentikan sehingga terdapat “penjelasan yang jelas” daripada Kemboja. “Segala perkara perlu dihentikan buat sementara waktu sehingga semuanya diperjelaskan,” katanya ringkas kepada pemberita di Bangkok.

Sementara itu, Ketua Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Ukris Boontanondha, dalam kenyataannya melalui media sosial berkata, tentera Thailand menggantung semua bentuk kerjasama “sehingga Kemboja menunjukkan keikhlasan sebenar untuk tidak bertindak secara bermusuhan.”

Menurut tentera Thailand, empat anggota tentera cedera dalam letupan periuk api jenis PMN-2 ketika bertugas di wilayah Si Sa Ket, dengan seorang kehilangan kaki kanan. “Berdasarkan bukti sedia ada, kami percaya periuk api itu ditanam baru-baru ini di kawasan Thai selepas pagar kawat berduri dipotong,” katanya.

Kementerian Luar Kemboja menolak dakwaan bahawa pihaknya menanam periuk api baru di kawasan sempadan, dengan menyifatkannya sebagai “tidak berasas dan tidak bertanggungjawab”.

“Kerajaan Diraja Kemboja menafikan sepenuhnya tuduhan bahawa Kemboja telah menanam periuk api baru di sempadan dengan Thailand. Adalah penting untuk diketahui bahawa sebahagian besar kawasan periuk api yang wujud sejak perang saudara pada 1970-an dan 1980-an masih belum dibersihkan kerana keadaan muka bumi yang sukar serta sempadan yang belum ditanda sepenuhnya,” tegas kementerian itu.

Kementerian itu turut mengingatkan bahawa Kemboja adalah penandatangan dan penyokong kuat Konvensyen Larangan Periuk Api Anti-Personel dan tidak pernah menggunakan periuk api baru.

“Kemboja kekal komited melaksanakan Deklarasi Bersama yang ditandatangani dengan penuh sokongan masyarakat antarabangsa. Sebagai negara yang menolak penggunaan periuk api, Kemboja tidak pernah dan tidak akan menggunakan periuk api baru,” tambah kenyataan itu lagi.

Pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja telah berlarutan lebih satu abad, berpunca daripada garisan sempadan yang ditentukan selepas era penjajahan Perancis. Kawasan berhampiran Kuil Preah Vihear sering menjadi punca ketegangan kerana tuntutan bertindih oleh kedua-dua negara.

Pada Julai lalu, konflik bersenjata selama lima hari antara kedua-dua pihak mengorbankan sekurang-kurangnya 48 orang dan memaksa lebih 300,000 penduduk berpindah. Kedua-dua negara saling menuduh pihak lawan memulakan serangan dengan tembakan roket dan artileri berat.

Selepas pertempuran itu, kedua-dua pihak bersetuju menarik balik senjata berat dari kawasan pertikaian dan menubuhkan pasukan pemerhati sementara bagi memantau keadaan. Langkah seterusnya termasuk pembebasan 18 tentera Kemboja yang ditahan di Thailand - sesuatu yang kini tertangguh berikutan keputusan Bangkok menggantung pelaksanaan perjanjian tersebut.

Dalam kenyataan lanjut, Kementerian Luar Kemboja menegaskan bahawa pihaknya kekal terbuka untuk berunding dan berharap Thailand akan “mengambil langkah membina demi keamanan serantau.”

“Kemboja sentiasa berpegang kepada prinsip keamanan, dialog dan semangat kejiranan baik. Kami percaya bahawa keamanan di sempadan amat penting bagi kestabilan rantau ini serta kesejahteraan rakyat di kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.- Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg