Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thailand, Kemboja patuhi gencatan senjata, capai lima persetujuan elak ketegangan baru

Aug 7, 2025 | 4:57 PM
Timbalan Menteri Pertahanan Thailand, Encik Natthaphon Narkphanit (kanan), Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah), dan Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha (kiri), bergambar bersama sebelum Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) bagi membincangkan pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 7 Ogos 2025.
Timbalan Menteri Pertahanan Thailand, Encik Natthaphon Narkphanit (kanan), Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah), dan Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha (kiri), bergambar bersama sebelum Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) bagi membincangkan pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 7 Ogos 2025. - Foto EPA

KUALA LUMPUR: Thailand dan Kemboja mengesahkan komitmen mereka untuk mematuhi gencatan senjata secara ketat di sepanjang sempadan, dalam usaha menamatkan konflik berdarah lima hari yang berlaku hujung Julai lalu.

Keputusan itu dicapai melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa yang berakhir di Kuala Lumpur pada Khamis, 7 Ogos dan dijangka membuka jalan kepada usaha pemulihan serta pengurangan ketegangan di kawasan sempadan.

Mesyuarat yang berlangsung dari 4 hingga 7 Ogos itu menyaksikan penyertaan Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit.

Turut hadir sebagai pemerhati ialah Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar serta wakil dari Amerika Syarikat dan China.

Menurut Jeneral Natthaphon, mesyuarat ini berjaya merumuskan lima hasil utama termasuk penubuhan pasukan pemantau sementara untuk memantau gencatan senjata.

“Pasukan ini terdiri daripada atase tentera Asean yang berpangkalan di Thailand dan Kemboja dan akan diketuai oleh Malaysia. Mereka akan memantau pematuhan secara berkala tanpa menyeberangi sempadan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat.

Pasukan pemantau ini juga akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Sempadan Tentera dan GBC kedua-dua negara bagi memastikan sebarang pelanggaran gencatan senjata dapat dikenal pasti dan diselesaikan dengan segera.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak menambah atau menggerakkan pasukan tentera serta senjata di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Langkah ini bertujuan mengurangkan risiko konfrontasi dan memberi ruang kepada penduduk yang terjejas untuk kembali ke kediaman masing-masing.

Thailand dan Kemboja turut bersetuju mengadakan mesyuarat antara komander tentera serantau masing-masing dalam tempoh dua minggu dari tarikh 7 Ogos bagi membincangkan langkah lanjut.

Manakala mesyuarat penuh GBC akan diadakan semula dalam tempoh sebulan dengan fokus kepada penyahaktifan periuk api serta pencegahan jenayah siber rentas sempadan.

Menurut Jeneral Tea Seiha, usaha ini adalah “titik permulaan penting untuk memulihkan kepercayaan antara pasukan keselamatan kedua-dua negara dan memberi harapan baru kepada ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik baru-baru ini.”

Gencatan senjata yang dicapai pada 28 Julai lalu berlaku susulan tekanan daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Asean, serta campur tangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Reuters sebelum ini melaporkan bahawa Encik Trump menggunakan rundingan tarif perdagangan sebagai pengaruh untuk mendesak kedua-dua negara mencari penyelesaian damai.

Datuk Anwar dalam kenyataannya sebelum ini berkata:

“Saya percaya mesyuarat GBC kali ini akan menghasilkan persefahaman bersama untuk mengekalkan gencatan senjata dan mengelakkan ketegangan baru, terutama di kawasan sempadan yang belum ditandai secara rasmi.”

Konflik Thailand-Kemboja berakar daripada pertikaian sempadan yang telah berlarutan sejak era penjajahan Perancis pada awal abad ke-20.

Pemetaan sempadan sepanjang 817 kilometer itu sering kali menjadi punca ketegangan, terutama di kawasan berhampiran tapak warisan sejarah seperti Kuil Preah Vihear.

Walaupun hubungan kedua-dua negara kekal stabil sejak pertempuran pada 2011, situasi kembali meruncing bulan lalu apabila artileri dan pesawat pejuang digunakan dalam pertempuran yang mengorbankan lebih 40 nyawa dan memaksa lebih 300,000 penduduk berpindah. Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg