PHNOM PENH: Pemerintah Kemboja mendakwa tentera Thailand masih menduduki kawasan awam di dalam wilayahnya, termasuk membina sekatan menggunakan dawai berduri dan kontena penghantaran.
Ini sekali gus menimbulkan risiko terhadap gencatan senjata yang dicapai selepas pertempuran sengit antara kedua-dua negara pada 2025.
Menteri Luar Kemboja, Encik Prak Sokhonn, berkata sehingga 4,000 keluarga Kemboja masih tidak dapat pulang ke rumah mereka di sepanjang sempadan yang dipertikaikan berikutan kehadiran tentera Thailand.
Ini walaupun perjanjian gencatan senjata dicapai pada Disember 2025 bagi menghentikan pertempuran yang berlarutan selama beberapa minggu.
“Tentera Thailand masih menduduki wilayah yang jelas berada di dalam Kemboja,” katanya dalam satu wawancara jarang diberikan kepada Reuters pada 13 Januari, dari Phnom Penh.
Beliau turut menyenaraikan sekurang-kurangnya empat lokasi di sepanjang sempadan sebagai kawasan pencerobohan.
Menurut Encik Prak Sokhonn, keadaan di sempadan ketika ini dilaporkan tenang, namun risiko ketegangan semula masih wujud.
“Situasi kekal tenang, tetapi terdapat juga risiko. Kami berharap Thailand akan terus komited terhadap pelaksanaan penuh gencatan senjata,” katanya.
Tuduhan itu segera dinafikan oleh pihak Thailand.
Menjawab pertanyaan Reuters, pegawai tentera dan kerajaan Thailand merujuk kepada kenyataan Kementerian Luar Thailand pada 12 Januari yang menyifatkan dakwaan Kemboja sebagai “tidak berasas”.
“Pengekalan kedudukan semasa pasukan tentera selepas gencatan senjata merupakan pematuhan langsung terhadap langkah mengendurkan ketegangan yang dipersetujui,” menurut kenyataan kementerian itu.
“Ia tidak boleh ditafsirkan sebagai pendudukan wilayah.”
Pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja kembali memuncak pada Disember 2025 apabila kedua-dua negara bertempur selama hampir 20 hari, termasuk serangan jet pejuang, tembakan roket dan bedilan artileri.
Pertempuran itu berlaku hanya beberapa bulan selepas satu lagi pusingan pertempuran pada Julai 2025, yang berakhir selepas campur tangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Menurut Kemboja, pertempuran Disember mengorbankan 101 nyawa dan menyebabkan lebih setengah juta penduduk di kedua-dua belah sempadan terpaksa berpindah.
Konflik itu merupakan episod terbaru dalam pertikaian sempadan berusia lebih satu abad antara dua negara jiran tersebut, yang sekali-sekala meletus menjadi konflik bersenjata.
Bagi mengelakkan ketegangan berulang, Phnom Penh telah meminta Bangkok supaya mengadakan mesyuarat Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC), sebuah mekanisme dua hala bagi penandaan sempadan.
Namun setakat ini, menurut Encik Prak Sokhonn, Thailand belum mengesahkan penyertaannya.
“Isu kampung yang diduduki akan menjadi keutamaan kami kerana ia perlu diselesaikan supaya rakyat kami dapat pulang ke rumah,” katanya.
Kementerian Luar Thailand bagaimanapun memaklumkan bahawa prosedur dalaman sedang dimuktamadkan dan perbincangan JBC akan diadakan selepas kerajaan baru Thailand dibentuk susulan pilihan raya pada 8 Februari.
“Pihak Thailand menegaskan komitmen penuh untuk menyelesaikan perbezaan melalui mekanisme dua hala dan berhasrat untuk menyambung semula aktiviti JBC secepat mungkin,” menurut kementerian itu.
Selain persetujuan untuk tidak menambah kekuatan tentera di sepanjang sempadan, gencatan senjata yang dipersetujui pada 27 Disember lalu turut merangkumi komitmen membenarkan penduduk awam yang dipindahkan pulang ke kawasan asal mereka.
Namun, menurut Kemboja, pelaksanaan perkara itu masih terhalang di beberapa lokasi.
“Dua gelombang pertempuran ini telah menyebabkan kerosakan besar, bukan sahaja kepada kehidupan awam tetapi juga infrastruktur,” kata Encik Prak Sokhonn.
Beliau menyenaraikan kemusnahan jambatan, sekolah, pagoda, jalan raya dan bangunan awam akibat konflik tersebut.
Selain peranan Amerika Syarikat, usaha diplomatik oleh negara lain turut memainkan peranan dalam mencapai gencatan senjata terkini.
Encik Prak Sokhonn berkata China terlibat secara aktif, termasuk melalui lawatan utusan khas ke Bangkok dan Phnom Penh pada penghujung Disember.
“Utusan khas itu bertemu perdana menteri kami, menteri pertahanan, dan saya sendiri,” katanya, sambil menambah bahawa pertemuan serupa turut diadakan di pihak Thailand.
“Ia merupakan sumbangan yang sangat aktif daripada China.”
Dua hari selepas gencatan senjata terbaru dicapai, menteri-menteri luar China, Thailand dan Kemboja bertemu di wilayah Yunnan, di barat daya China.
Dalam pertemuan itu, ketiga-tiga pihak bersetuju untuk membina semula kepercayaan bersama dan mengelakkan konflik berulang di sepanjang sempadan.
Walaupun pertempuran telah berhenti, kenyataan bercanggah antara Bangkok dan Phnom Penh menunjukkan bahawa keamanan di sempadan Thailand-Kemboja masih rapuh.
Nasib ribuan keluarga yang belum dapat pulang ke rumah kini bergantung kepada sejauh mana kedua-dua negara mampu menterjemahkan komitmen gencatan senjata kepada tindakan konkrit di lapangan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg