Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemboja didakwa langgar gencatan senjata

Kejadian timbulkan kebimbangan terhadap kestabilan gencatan senjata dipersetujui pada Dis
Jan 6, 2026 | 1:31 PM
Cambodia, Thailand, attack, ceasefire
Orang ramai berdiri di sisi sebuah kawah letupan di hadapan sebuah balai polis yang rosak susulan pertempuran antara tentera Kemboja dengan Thailand di kampung Boeung Trakoun, wilayah Banteay Meanchey, Kemboja, pada 3 Januari. - Foto AFP

BANGKOK: Tentera Thailand mendakwa pasukan Kemboja telah melanggar gencatan senjata berusia 10 hari pada 6 Januari apabila tembakan mortar dilepaskan ke wilayah Thailand.

Serangan itu mencederakan seorang anggota tentera dalam kejadian terkini yang menguji daya ketahanan perjanjian damai antara dua negara jiran Asia Tenggara itu.

“Kemboja telah melanggar gencatan senjata,” kata tentera Thailand dalam satu kenyataan, sambil menuduh pasukan Kemboja melepaskan tembakan mortar ke wilayah Ubon Ratchathani pada pagi 6 Januari.

Menurut kenyataan itu, seorang anggota tentera Thailand cedera akibat serpihan letupan dan sedang dipindahkan untuk menerima rawatan perubatan.

Tentera Thailand menegaskan kecederaan tersebut tidak mengancam nyawa, namun kejadian berkenaan menimbulkan kebimbangan serius terhadap kestabilan gencatan senjata yang dipersetujui pada 27 Disember.

Gencatan senjata tersebut dicapai selepas hampir tiga minggu pertempuran sengit di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja, yang memuncak pada Disember 2025 dan mengorbankan puluhan nyawa.

Kira-kira sejuta penduduk di kedua-dua belah sempadan terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

Kementerian Pertahanan Kemboja bagaimanapun enggan mengulas secara langsung mengenai dakwaan serangan mortar itu.

Jurucakap kementerian, Cik Maly Socheata, ketika dihubungi pihak media menolak untuk memberi sebarang ulasan berhubung kejadian pada 6 Januari itu.

Konflik antara Thailand dengan Kemboja berakar daripada pertikaian berdekad lamanya berhubung penandaan sempadan era penjajahan sepanjang kira-kira 800 kilometer.

Kawasan yang dipertikaikan itu melibatkan tuntutan bertindih terhadap wilayah dan runtuhan kuil purba berusia ratusan tahun, yang sering menjadi pencetus ketegangan dan pertempuran bersenjata.

Di bawah perjanjian gencatan senjata Disember 2025, kedua-dua negara bersetuju menghentikan semua tindakan ketenteraan; membekukan pergerakan tentera di kawasan sempadan; serta bekerjasama dalam usaha pelupusan periuk api yang masih bertaburan di kawasan konflik.

Sebagai sebahagian daripada langkah membina kepercayaan, Bangkok turut bersetuju membebaskan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan sejak Julai 2025, susulan pertempuran berdarah pada bulan tersebut.

Thailand membebaskan kesemua anggota itu pada 31 Disember.

Kementerian Luar Thailand menyifatkan pembebasan itu sebagai “satu demonstrasi berniat baik dan usaha membina keyakinan bersama”.

Phnom Penh pula menyambut langkah tersebut dengan berhati-hati, sambil menyatakan harapan ia akan membantu meredakan ketegangan.

“Kami berharap pembebasan ini akan menyumbang secara ketara kepada pembinaan kepercayaan bersama,” kata pemerintah Kemboja dalam satu kenyataan.

Usaha menamatkan konflik sebelum ini telah melibatkan pengantaraan antarabangsa.

Amerika Syarikat, China dan Malaysia pernah menjadi perantara dalam usaha mencapai gencatan senjata pada Julai 2025, namun perjanjian itu gagal bertahan lama.

Pada Oktober, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, hadir ke Malaysia untuk menyaksikan pemeteraian satu deklarasi susulan selepas kedua-dua negara bersetuju melanjutkan gencatan senjata, sambil mempromosikan perjanjian perdagangan baru antara pihak terlibat.

Namun, Bangkok menggantung perjanjian tersebut pada November selepas beberapa anggota tenteranya cedera akibat periuk api ketika menjalankan rondaan di kawasan sempadan, sekali gus mencetuskan semula ketegangan.

Pada 3 Januari, kira-kira seminggu selepas gencatan senjata Disember berkuat kuasa, Kemboja menggesa Thailand menarik keluar pasukan tenteranya dari beberapa kawasan sempadan yang didakwa milik Phnom Penh.

Tentera Thailand menolak dakwaan itu, sambil menegaskan pasukannya berada di kawasan yang “sememangnya milik Thailand sejak sekian lama”.

Walaupun kedua-dua negara bersetuju menghentikan pertempuran, isu utama berkaitan penandaan dan persempadanan wilayah masih belum diselesaikan.

Dalam satu kenyataan pada pagi 6 Januari, Kementerian Pertahanan Kemboja memaklumkan bahawa Phnom Penh telah mengusulkan satu mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Dua Hala dengan Thailand, yang dirancang berlangsung di Siem Reap pada Januari 2026.

Bangkok bagaimanapun menyatakan sebelum ini bahawa perbincangan rasmi mengenai tinjauan dan penandaan sempadan mungkin perlu menunggu pembentukan kerajaan baru Thailand, susulan pilihan raya umum yang dijadual pada 8 Februari. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg