SPH Logo mobile
Langgan|

Kemboja harap dapat bantuan baru sempena lawatan Presiden Xi

Kemboja harap dapat bantuan baru sempena lawatan Presiden Xi

Mahu kerjasama lebih luas dengan China terutama bidang prasarana di tengah ketegangan tarif AS
Apr 17, 2025 | 12:47 PM

Kemboja harap dapat bantuan baru sempena lawatan Presiden Xi

Gambar yang dirakam pada 9 April 2025 ini menunjukkan pelajar menunggang motosikal melepasi sekolah bahasa Cina di Sihanoukville. Pakar bahasa Kemboja, Encik Um Keangseng, membuka sekolah itu di bandar kelahirannya selepas melihat permintaan yang semakin meningkat.
Gambar yang dirakam pada 9 April 2025 ini menunjukkan pelajar menunggang motosikal melepasi sekolah bahasa Cina di Sihanoukville. Pakar bahasa Kemboja, Encik Um Keangseng, membuka sekolah itu di bandar kelahirannya selepas melihat permintaan yang semakin meningkat. - Foto AFP

PHNOM PENH: Kemboja berharap dapat menerima lebih banyak bantuan kewangan daripada China, khususnya dalam sektor prasarana, sempena lawatan Presiden China, Xi Jinping, ke negara itu pada 17 April yang menjadi destinasi terakhir dalam siri lawatan ke tiga negara Asia Tenggara.

Jurucakap Kementerian Kewangan Kemboja, Encik Meas Soksensan, berkata pihaknya menjangkakan kerjasama yang lebih luas dengan Beijing.

“Kami menjangka lebih banyak bentuk kerjasama, termasuk dalam pembangunan prasarana,” katanya kepada agensi berita, Reuters, menjelang ketibaan Presiden Xi ke Phnom Penh.

Kemboja kini sangat bergantung kepada pelaburan China, termasuk dalam projek besar seperti jalan raya dan lapangan terbang.

China juga merupakan pemiutang terbesar kepada negara itu.

Di sebalik hubungan rapat itu, Beijing tidak menandatangani sebarang pinjaman baru buat Kemboja sepanjang 2024 – satu perkembangan luar biasa berbanding tahun-tahun sebelumnya di mana ratusan juta dolar diluluskan.

Antara projek yang dinanti-nantikan Phnom Penh ialah pembinaan Terusan Funan Techo, sepanjang 180 kilometer, yang bertujuan menghubungkan Sungai Mekong berhampiran ibu negara dengan pesisir Teluk Thailand.

Projek bernilai AS$1.7 bilion ($2.23 bilion) itu juga dilihat sebagai usaha strategik mengurangkan pergantungan kepada pelabuhan di Vietnam dan mengalihkan laluan air dari Muara Sungai Mekong yang kian terancam.

Sebelum ini, pemerintah Kemboja menyatakan China akan membiayai keseluruhan kos projek tersebut.

Namun, ia kemudian menukar kenyataan bahawa Beijing hanya akan menampung 49 peratus daripada jumlah kos.

Setakat ini, China masih belum membuat sebarang komitmen kewangan rasmi bagi projek tersebut.

Lawatan Presiden Xi ke Kemboja turut berlaku di tengah-tengah ketegangan berkaitan isu pusat penipuan siber yang didakwa dikendalikan oleh kumpulan penjenayah China di Kemboja.

Menjelang lawatan itu, Phnom Penh mengumumkan telah menghantar pulang beberapa “penjenayah China,” termasuk individu dari Taiwan, langkah yang telah menimbulkan kemarahan Taipei.

Dalam perkembangan berkaitan, dua negara itu turut mengadakan latihan ketenteraan bersama di pangkalan tentera laut yang baru dinaik taraf di pantai Kemboja pada awal April.

Washington menyuarakan kebimbangan bahawa pangkalan itu boleh dijadikan pos tentera China di rantau tersebut.

Data rasmi Jabatan Am Kastam dan Eksais Umum Kemboja (GDCE) menunjukkan perdagangan dua hala antara Kemboja dengan China mencecah AS$4.06 bilion dalam suku pertama 2025, peningkatan 26.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.

Namun, meskipun import dari China melonjak lebih 30 peratus kepada AS$3.72 bilion, eksport Kemboja ke China jatuh hampir 5 peratus, mencecah hanya AS$348 juta.

Setiausaha Negara yang juga jurucakap Kementerian Perdagangan, Encik Penn Sovicheat, berkata hubungan ekonomi antara kedua-dua negara terus kukuh, malah semakin meluas dari tahun ke tahun.

“Hubungan Kemboja-China telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan, perdagangan dan pembangunan prasarana,” katanya ketika berucap dalam forum, ‘Hubungan Kemboja-China dalam Konteks Baru’.

“Kemboja dan China adalah satu masyarakat yang berkongsi nasib serupa, dengan kerjasama meliputi pembangunan, perkongsian sumber, keselamatan dan pertukaran budaya,” tambahnya.

Beliau menegaskan hubungan strategik itu penting untuk masa depan Kemboja, khususnya dalam menangani tekanan tarif tinggi yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Amerika mengenakan tarif timbal balas sebanyak 49 peratus terhadap eksport utama Kemboja seperti pakaian dan kasut antara kadar tertinggi di dunia walaupun kebanyakan tarif itu kini digantung sementara hingga Julai.

“Kami amat berharap lawatan ini membawa iltizam nyata dari China.

“Kerjasama masa depan antara dua negara bukan sekadar lambang, tetapi mencerminkan kepentingan strategik bersama,” kata Encik Meas. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg