Topik diikuti
Pergi ke BHkuKemboja laksana undang-undang kerahan tentera susulan konflik dengan Thailand
Kemboja laksana undang-undang kerahan tentera susulan konflik dengan Thailand
Kemboja laksana undang-undang kerahan tentera susulan konflik dengan Thailand
PHNOM PENH, Kemboja: Undang-undang baru kerahan tentera Kemboja, yang menetapkan hukuman penjara sehingga lima tahun bagi mereka yang mengelak perkhidmatan negara, telah berkuat kuasa, kata Perdana Menteri Hun Manet, pada 25 Mei.
Undang-undang itu ditandatangani pada 23 Mei oleh Presiden Senat Hun Sen dalam kapasitinya sebagai pemangku ketua negara ketika Raja Norodom Sihamoni menjalani rawatan perubatan untuk kanser prostat di China.
Undang-undang kerahan tentera itu diperkenalkan susulan pertempuran sempadan dengan tentera Thailand yang meletus dua kali tahun lalu.
Pertempuran itu mengakibatkan kira-kira 100 kematian dan kehilangan ratusan ribu orang.
Undang-undang baru ini terdiri daripada lapan bab dan 20 perkara, menggantikan akta sebelum ini yang digubal dalam 2006.
Akta tersebut tidak pernah dilaksanakan dan dianggap ketinggalan zaman.
Undang-undang baru itu mewajibkan lelaki Kemboja berumur 18 hingga 25 tahun menjalani perkhidmatan negara selama dua tahun dalam pasukan tentera.
Manakala wanita boleh berkhidmat secara sukarela.
Individu yang dikerah untuk perkhidmatan negara mesti hadir dalam tempoh 30 hari selepas menerima notis.
Jika gagal berbuat demikian mereka dianggap mengelak tugas, melainkan jika alasan yang sah diberikan.
Hukuman untuk mengelak perkhidmatan negara berbeza-beza mengikut sama ada Kemboja berada dalam keadaan aman atau berperang.
Semasa waktu aman, seseorang individu boleh menghadapi hukuman penjara enam bulan hingga dua tahun dan denda AS$250 (S$319) hingga AS$1,000.
Manakala semasa perang atau berlaku serangan asing, hukuman meningkat kepada antara dua hingga lima tahun penjara dan denda antara AS$1,000 hingga AS$2,500.
Pengecualian untuk berkhidmat diberikan kepada sami, paderi, orang kurang upaya dan mereka yang mempunyai kemahiran khusus dalam sains dan teknologi.
Selepas menamatkan perkhidmatan yang diperlukan, individu menjadi sebahagian daripada pasukan simpanan sehingga umur 45 tahun.
Dalam ucapan kepada penggubal undang-undang awal bulan ini, Encik Hun Manet menyifatkan undang-undang itu sebagai asas untuk memupuk minda belia Kemboja untuk mencintai negara, memupuk patriotisme dan membangunkan kesediaan untuk berkhidmat dalam tentera bagi melindungi negara mereka.
Konflik sempadan yang telah berlangsung selama satu abad itu berpunca daripada pertikaian mengenai penandaan sempadan mereka sepanjang 800 kilometer pada zaman penjajahan Perancis.
Phnom Penh telah meminta bantuan dan akses kepada dokumen dan peta sejarah Perancis dalam usaha untuk menyelesaikan isu tersebut, dan meminta suruhanjaya sempadan bersama menyambung semula kerja mengenainya. - Agensi berita
