Kemboja rangka undang-undang perangi penipuan dalam talian

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemboja rangka undang-undang perangi penipuan dalam talian

Feb 12, 2026 | 3:35 PM

Kemboja rangka undang-undang perangi penipuan dalam talian

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Seorang pegawai polis memeriksa bahagian dalam sebuah kompleks penipuan dikenali sebagai “My Casino” yang digunakan untuk operasi penipuan, yang menurut polis dimiliki bekas taikun dan pemilik kasino, Ly Kuong. Ly Kuong ditahan pada 15 Januari dan didakwa atas kesalahan pengambilan pekerja secara haram untuk tujuan eksploitasi, penipuan terancang serta mempunyai kaitan dengan jenayah terancang. Gambar dirakam di wilayah Kampot, Kemboja, pada 10 Februari 2026.
Seorang pegawai polis memeriksa bahagian dalam sebuah kompleks penipuan dikenali sebagai “My Casino” yang digunakan untuk operasi penipuan, yang menurut polis dimiliki bekas taikun dan pemilik kasino, Ly Kuong. Ly Kuong ditahan pada 15 Januari dan didakwa atas kesalahan pengambilan pekerja secara haram untuk tujuan eksploitasi, penipuan terancang serta mempunyai kaitan dengan jenayah terancang. Gambar dirakam di wilayah Kampot, Kemboja, pada 10 Februari 2026. - REUTERS

PHNOM PENH: Kerajaan Kemboja sedang merangka undang-undang baharu bagi membanteras penipuan dalam talian, dalam usaha membina kerangka perundangan yang lebih kukuh bagi mengekang sindiket jenayah rentas negara yang menjadikan negara itu sebagai pangkalan operasi untuk menipu mangsa di seluruh dunia.

Menteri Penerangan, Encik Neth Pheaktra, berkata rang undang-undang tersebut akan memperjelas dan memperkukuh asas undang-undang bagi menangani jenayah siber berkaitan penipuan. “Undang-undang baharu ini akan membangunkan kerangka perundangan yang lebih jelas dan berkesan untuk mencegah, membanteras dan mengambil tindakan tegas terhadap penipuan dalam talian,” katanya kepada Bloomberg.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan kandungan khusus rang undang-undang tersebut atau sama ada ia akan memasukkan mekanisme kerjasama antarabangsa secara jelas. Setakat ini, Kemboja mempunyai peruntukan umum berkaitan jenayah siber, namun belum memiliki undang-undang komprehensif khusus untuk jenayah penipuan dalam talian.

Langkah itu diambil ketika Kemboja berdepan tekanan antarabangsa, termasuk daripada kerajaan asing dan pertubuhan hak asasi manusia, agar bertindak lebih tegas terhadap kompleks penipuan yang semakin berleluasa sejak pandemik Covid-19.

Rangkaian sindiket sebahagiannya mempunyai rangkaian di Asia Tenggara dan China, menjalankan pelbagai penipuan termasuk pelaburan palsu, penipuan cinta dan perjudian haram, menyasarkan mangsa di seluruh dunia. Laporan Institut Keamanan Amerika Syarikat menganggarkan rangkaian jenayah rentas sempadan mencuri sekurang-kurangnya AS$64 bilion (S$80.7  bilion) pada 2023 melalui operasi perjudian dan penipuan dalam talian.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran bahawa pusat penipuan di Asia Tenggara kini menjadi industri berbilion dolar yang turut dipacu oleh pemerdagangan manusia, dengan ribuan pekerja dipaksa menjalankan penipuan dalam keadaan yang kejam.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pihak berkuasa Kemboja meningkatkan operasi penguatkuasaan. Menurut kerajaan, sekurang-kurangnya 190 serbuan telah dijalankan terhadap kompleks yang disyaki terlibat dalam penipuan, dengan lebih 9,000 warga asing diusir sejak awal 2026.

Tindakan itu termasuk penahanan dan penghantaran pulang pada Januari seorang individu yang didakwa sebagai dalang utama, Chen Zhi, ke China atas tuduhan membina rangkaian penipuan di Kemboja.
“Kemboja bukan tempat selamat untuk penjenayah dalam talian menjalankan penipuan atau jenayah rentas sempadan,” tegas Encik Neth Pheaktra. “Mana-mana individu atau entiti di sebalik operasi ini akan berdepan hukuman paling berat tanpa sebarang kelonggaran.”

Namun begitu, penganalisis jenayah transnasional mempersoalkan sejauh mana tindakan terbaru ini mampu memusnahkan operasi tersebut sepenuhnya. Mereka berpendapat sindiket penipuan sangat fleksibel dan pantas menyesuaikan diri, sama ada dari segi jenis penipuan mahupun lokasi operasi.

Encik Neal Jetton dari Interpol yang mengetuai bahagian jenayah siber di Singapura berkata ketidakseragaman undang-undang antara negara menjadi cabaran utama. “Apa yang dianggap jenayah siber di satu negara mungkin tidak diklasifikasikan sedemikian di negara lain,” katanya. “Secara umum, tahap penyelarasan undang-undang masih rendah.”

Beliau menambah bahawa perkongsian maklumat merentas sempadan serta penjejakan dana haram, termasuk melalui mata wang kripto, adalah kompleks dan memerlukan kerjasama berterusan.

Profesor Andreas Schloenhardt, pakar undang-undang jenayah dari Universiti Vienna, berpendapat kerangka perundangan yang lebih kukuh boleh membantu sekurang-kurangnya mengganggu operasi pusat penipuan. “Dalam jangka sederhana dan panjang, peruntukan di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Jenayah Siber boleh digunakan untuk menyiasat dan mendakwa penipuan siber serta syarikat dan rasuah yang memudahkannya,” katanya.

Konvensyen itu diluluskan pada 2025 dan dijangka berkuat kuasa antara 2027 dan 2028 selepas cukup negara meratifikasinya. Menurut Neth Pheaktra, rang undang-undang Kemboja dirangka selaras dengan konvensyen tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut memberi akses jarang berlaku kepada media ke sebuah kompleks di wilayah Kampot berhampiran sempadan Vietnam. Wartawan Reuters dibawa melihat bilik kerja besar dengan deretan komputer, dokumen arahan menipu mangsa Thailand serta studio panggilan telefon dan balai polis palsu dari beberapa negara.

Menteri Kanan Encik Chhay Sinarith, yang mengetuai Suruhanjaya Membanteras Penipuan Dalam Talian Kemboja, berkata 173 individu berprofil tinggi berkaitan pusat penipuan telah ditahan dan sekitar 11,000 pekerja diusir sejak akhir 2025. “Kira-kira 190 lokasi telah ditutup,” katanya.

Namun, pihak berkuasa mengakui kekangan sumber manusia. Ketua Polis Wilayah Kampot, Mao Chanmothurith, berkata jumlah anggota tidak mencukupi untuk menahan ribuan pekerja yang melarikan diri selepas penahanan individu yang didakwa sebagai bos kompleks tersebut.

“Kami hanya mempunyai kira-kira 1,000 anggota polis di seluruh wilayah dan 300 polis tentera. Walaupun digabungkan, kami tidak dapat menghalang mereka kerana jumlah mereka mencecah 6,000 hingga 7,000 ketika meninggalkan lokasi,” katanya.

Pertubuhan Amnesty International sebelum ini menyifatkan situasi tersebut sebagai “krisis kemanusiaan”, memandangkan sebahagian pekerja dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan dikurung dalam keadaan tidak berperikemanusiaan.

Walaupun kerajaan Kemboja menegaskan operasi kali ini lebih menyeluruh berbanding tindakan terdahulu, sejarah menunjukkan bahawa tindakan keras sebelum ini gagal membendung sepenuhnya penyebaran pusat penipuan.

Undang-undang baharu yang sedang dirangka kini dilihat sebagai ujian penting terhadap kesungguhan Phnom Penh untuk membersihkan imej negara dan memutuskan rantaian jenayah siber yang mencemarkan reputasinya di peringkat antarabangsa. Namun, kejayaan sebenar akan bergantung kepada pelaksanaan, kerjasama serantau dan kesediaan politik untuk bertindak tegas tanpa kompromi. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg