BANGKOK: Kemboja pada 2 Jun memaklumkan bahawa negara itu telah memulakan proses pendamaian wajib di bawah undang-undang antarabangsa bagi menyelesaikan pertikaian sempadan maritim yang berpanjangan dengan Thailand di Teluk Thailand.

Langkah itu dibuat selepas kerajaan Thailand pada Mei lalu membatalkan secara unilateral perjanjian tahun 2001 yang menjadi asas rundingan mengenai kawasan pertindihan tuntutan maritim antara kedua-dua negara.

Kawasan yang dipertikaikan itu dianggarkan mempunyai simpanan minyak dan gas bawah laut bernilai sekitar AS$300 bilion ($383 bilion).

Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, berkata Phnom Penh mengambil langkah tersebut bagi mempertahankan kedaulatan dan hak maritim negara mengikut undang-undang antarabangsa.

“Kami mengambil langkah ini untuk melindungi kedaulatan dan hak maritim Kemboja selaras dengan undang-undang antarabangsa,’’ katanya.

“Thailand dan Kemboja kedua-duanya boleh mendapat manfaat daripada penyelesaian yang adil dan berkekalan dengan panduan pendamai antarabangsa,” katanya menerusi siaran televisyen kerajaan TVK.

Thailand dan Kemboja telah lama berselisih mengenai sempadan darat sepanjang lebih 800 kilometer serta kawasan laut di Teluk Thailand, yang merupakan warisan pertikaian sejak zaman penjajahan Perancis.

Kedua-dua negara menuntut kira-kira 26,000 kilometer persegi kawasan laut yang dikenali sebagai Kawasan Tuntutan Bertindih (OCA).

Menurut anggaran Thailand, kawasan itu mengandungi hampir 12 trilion kaki padu gas asli selain simpanan minyak dalam jumlah besar.

Ketegangan sempadan antara kedua-dua negara memuncak pada 2025 apabila tercetus dua siri pertempuran maut di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Pertempuran itu mengorbankan hampir 150 orang dan menyebabkan ratusan ribu penduduk terpaksa berpindah.

Walaupun gencatan senjata dicapai pada Disember 2025 lalu, kedua-dua pihak terus saling menuduh melanggar perjanjian damai tersebut.

Kemboja juga berulang kali menuntut pengunduran tentera Thailand dari beberapa kawasan sempadan yang kini dikuasai Bangkok.

Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, sebelum ini berkata kerajaannya membatalkan memorandum persefahaman 2001 atau MOU 44 kerana rundingan berkaitan kawasan tuntutan bertindih itu gagal mencapai kemajuan selama bertahun-tahun.

Pembatalan itu juga merupakan sebahagian daripada janji kempen Encik Anutin yang memenangi pilihan raya semula Februari lalu atas sentimen nasionalisme susulan konflik sempadan dengan Kemboja.

Kementerian Luar Thailand bagaimanapun belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai langkah terbaru Kemboja itu.

Kemboja memulakan proses pendamaian itu menerusi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos).

Di bawah mekanisme tersebut, panel pakar bebas akan meneliti pertikaian dan mengemukakan cadangan penyelesaian, walaupun keputusan mereka tidak mengikat secara undang-undang.

Kerajaan Kemboja berkata Menteri Luarnya, Encik Prak Sokhonn, dilantik sebagai wakil rasmi negara dalam proses tersebut.

Turut dilantik sebagai pendamai ialah diplomat Denmark Encik Peter Taksoe-Jensen dan ahli akademik Perancis Encik Jean-Marc Thouvenin.

Menurut kenyataan kerajaan, Thailand kini mempunyai tempoh 21 hari untuk melantik dua wakil pendamainya sendiri sebelum sebuah suruhanjaya pendamaian lengkap dibentuk di bawah penyeliaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penganalisis melihat isu tenaga sebagai antara faktor utama yang mendorong kedua-dua negara mencari penyelesaian segera terhadap pertikaian tersebut.

Menteri tenaga Kemboja sebelum ini berkata kejutan harga minyak akibat konflik Iran telah meningkatkan keperluan untuk membuka akses kepada sumber tenaga bawah laut di kawasan pertikaian.

Thailand pula menganggarkan hasil masa depan daripada minyak dan gas di kawasan itu boleh mencecah ratusan bilion dolar.

Walaupun Thailand sebelum ini menyatakan Unclos boleh dijadikan rujukan, Bangkok tetap menegaskan bahawa isu sempadan sepatutnya diselesaikan menerusi rundingan dua hala dan bukannya mahkamah atau mekanisme antarabangsa.

Thailand juga sebelum ini menolak usaha Kemboja membawa pertikaian ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Pemerhati serantau melihat langkah Kemboja menggunakan mekanisme PBB sebagai usaha mengelakkan konflik sempadan daripada kembali tercetus.

Pertikaian Thailand-Kemboja sebelum ini pernah menyebabkan ketegangan diplomatik besar dan pertempuran bersenjata di kawasan sempadan.

Walaupun proses pendamaian itu mungkin mengambil masa panjang dan keputusan akhirnya tidak wajib dipatuhi, langkah tersebut dilihat membuka ruang baharu kepada penyelesaian lebih aman dan tersusun.

Dalam keadaan dunia berdepan ketidaktentuan tenaga dan geopolitik, penyelesaian terhadap pertikaian maritim itu juga dianggap penting bagi kestabilan ekonomi dan keselamatan rantau Asia Tenggara. – Agensi berita.