Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemboja tahan lebih 1,000 suspek dalam serbuan pusat penipuan siber

Jul 17, 2025 | 1:49 PM
Beberapa suspek dengan tangan diikat menggunakan tali zip selepas ditahan dalam satu serbuan polis ke atas pusat penipuan di Phnom Penh, Kemboja, pada 16 Julai 2025. Operasi ini merupakan sebahagian daripada tindakan keras di seluruh negara terhadap rangkaian jenayah siber, susulan arahan Perdana Menteri Hun Manet untuk menutup operasi penipuan dalam talian yang sering dikendalikan seperti kilang buruh paksa.
Beberapa suspek dengan tangan diikat menggunakan tali zip selepas ditahan dalam satu serbuan polis ke atas pusat penipuan di Phnom Penh, Kemboja, pada 16 Julai 2025. Operasi ini merupakan sebahagian daripada tindakan keras di seluruh negara terhadap rangkaian jenayah siber, susulan arahan Perdana Menteri Hun Manet untuk menutup operasi penipuan dalam talian yang sering dikendalikan seperti kilang buruh paksa. - Foto EPA

PHNOM PENH: Pihak berkuasa Kemboja telah menahan lebih daripada 1,000 orang suspek dalam operasi besar-besaran terhadap pusat penipuan dalam talian, kata polis pada 16 Julai, susulan arahan Perdana Menteri Hun Manet untuk membanteras jenayah siber yang disifatkan sebagai “kilang penipuan”.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menyifatkan Asia Tenggara sebagai “pusat utama” penipuan siber, di mana mangsa selalunya diperdaya menerusi taktik asmara maya atau pelaburan palsu, menyebabkan kerugian dianggarkan AS$40 bilion (S$51.4 bilion) setiap tahun dalam kalangan pengguna media sosial.

Dalam arahan rasmi yang diumumkan pada 15 Julai, Hun Manet menggesa pasukan keselamatan dan tentera untuk “mencegah dan membanteras penipuan dalam talian”, sambil memberi amaran bahawa mereka boleh kehilangan jawatan jika gagal bertindak.

Dalam tempoh tiga hari, pihak berkuasa telah melancarkan serbuan ke atas beberapa lokasi di seluruh negara, termasuk di ibu kota Phnom Penh, bandar sempadan Thailand Poipet, dan bandar pesisir pantai Sihanoukville.

Menurut laporan polis yang diumumkan sehingga lewat malam 16 Julai, lebih 1,000 individu telah ditahan, dan kebanyakan daripada mereka merupakan warganegara asing. Antara yang ditahan ialah sekurang-kurangnya 271 rakyat Indonesia, 213 rakyat Vietnam dan 75 rakyat Taiwan.

Ramai yang diselamatkan dari pusat penipuan di Asia Tenggara mendakwa mereka telah diperdaya atau diperdagangkan secara paksa ke lokasi-lokasi tersebut dengan janji kerja yang palsu. Amnesty International dalam satu laporan yang diterbitkan pada bulan Jun menyatakan bahawa penyalahgunaan di pusat-pusat penipuan di Kemboja berlaku secara besar-besaran.

Laporan itu mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya 53 kompleks penipuan di Kemboja yang dikendalikan oleh kumpulan jenayah terancang. Di lokasi-lokasi ini, berlaku pemerdagangan manusia, buruh paksa, buruh kanak-kanak, penyeksaan, sekatan kebebasan dan perhambaan.

Pada bulan Mac lalu, Kemboja telah mengusir 119 warga Thailand, sebahagian daripada 230 warga asing yang ditahan dalam serbuan terhadap pusat penipuan siber di Poipet.

Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) turut memberi amaran pada bulan April bahawa industri penipuan ini kini sedang berkembang ke luar Asia Tenggara, dengan kumpulan jenayah membina operasi sejauh Amerika Selatan, Afrika, Timur Tengah, Eropah dan beberapa pulau di Pasifik. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg