BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, telah dimasukkan ke hospital selepas mengalami demam panas tidak lama selepas pulang daripada lawatan rasmi ke Kemboja, menurut jurucakap kerajaan pada 25 April.
Cik Paetongtarn melakukan lawatan selama dua hari ke Kemboja mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Hun Manet.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk kerjasama rentas sempadan dalam menangani isu penipuan dalam talian dan pencemaran udara. Kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai peranan Asean sebagai platform perundingan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berhubung isu tarif perdagangan.
“Selepas perdana menteri pulang ke tanah air, beliau mengalami demam panas dan mendapatkan rawatan. Doktor menasihati agar beliau dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan menyeluruh,“ kata jurucakap kerajaan, Jirayu Huangsap, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada pagi 25 April.
Menurutnya lagi, semua urusan rasmi Perdana Menteri bagi hari Jumaat, 25 April akan ditangguhkan atau diserahkan kepada timbalannya, termasuk pertemuan yang dijadualkan bersama Ketua Pegawai Eksekutif e-dagang, Chris Feng, serta bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair.
Suami kepada Cik Paetongtarn, Encik Pidok Sooksawas, turut memuat naik satu hantaran di Instagram yang memaparkan Perdana Menteri Thailand itu sedang berehat di atas katil hospital.
“Awak tak nak dengar nasihat orang. Tubuh awak sendiri dah beri isyarat bahawa ia tak mampu lagi,” tulis beliau dalam kapsyen tersebut.
Lawatan rasmi Cik Paetongtarn ke Kemboja juga merupakan sempena ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara jiran itu. — AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg