Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemboja, Thailand tandatangan pelan damai, disaksikan Trump, Anwar

PM Wong puji pencapaian Trump dalam pelan damai Kemboja-Thai serta di Gaza, Timur Tengah
Oct 26, 2025 | 5:55 PM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (kanan) dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menyaksikan deklarasi bersama mengenai perjanjian damai yang digelar ‘Perjanjian Damai KL’ yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul (dua dari kanan) dan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet (dua dari kiri) di luar Sidang Puncak Asean ke-47 yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 26 Oktober.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (kanan) dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menyaksikan deklarasi bersama mengenai perjanjian damai yang digelar ‘Perjanjian Damai KL’ yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul (dua dari kanan) dan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet (dua dari kiri) di luar Sidang Puncak Asean ke-47 yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 26 Oktober. - Foto AFP

Thailand dan Kemboja telah menandatangani deklarasi bersama mengenai perjanjian damai yang digelar Perjanjian Damai KL, menandakan langkah rasmi ke arah menghentikan permusuhan dan memulihkan keamanan di sepanjang sempadan antara kededua negara.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Encik Hun Manet, di luar Sidang Puncak Asean ke-47 yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 26 Oktober.

Pemeteraian itu disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam kapasitinya sebagai Pengerusi Asean.

Bercakap sebelum dokumen tersebut ditandatangani, Encik Trump berkata: “Tuan-tuan ini akan menandatangani apa yang kita panggil Perjanjian Damai Kuala Lumpur, nama yang baik.

“Kedua-dua negara bersetuju untuk menghentikan semua permusuhan dan berusaha membina hubungan baik dan berjiran, yang telah pun bermula”.

Dengan pemeteraian Perjanjian Damai KL, Encik Trump berkata 18 tawanan perang Kemboja akan dibebaskan, dengan pemerhati dari negara Asean, termasuk Malaysia, akan membantu memastikan keamanan antara Kemboja dengan Thailand dapat terjamin.

Semasa ucapannya, Encik Trump berkata Datuk Anwar, Encik Anutin dan Encik Hun Manet “patut diberi penghargaan” kerana “telah melakukan kerja yang luar biasa demi kemanusiaan”.

Deklarasi tersebut mengukuhkan persefahaman gencatan senjata yang dicapai pada Julai susulan rundingan antara kededua negara.

Ia juga merasmikan penubuhan Pasukan Pemerhati Asean bagi memantau pematuhan dan mencegah pertembungan semula di zon sempadan.

Ketegangan mengenai kawasan sempadan yang dipertikaikan antara Kemboja dan Thailand meletus menjadi pertempuran ketenteraan pada awal 2025, mengakibatkan pergaduhan terburuk di rantau ini dalam tempoh lebih sedekad.

Sekurang-kurangnya 43 nyawa telah terkorban dan lebih 300,000 orang dari kededua belah sempadan telah kehilangan tempat tinggal.

Gencatan senjata tanpa syarat telah dicapai pada 28 Julai selepas campur tangan diplomatik dari Malaysia dan susulan ancaman daripada Encik Trump untuk menyekat rundingan tarif melainkan pertempuran dihentikan.

Di Sidang Puncak Asean-Amerika yang diadakan pada hari yang sama, Perdana Menteri Lawrence Wong juga memuji Encik Trump atas pencapaiannya mendapatkan pelan damai antara Kemboja dengan Thailand, serta mendapatkan keamanan “untuk konflik yang dahsyat di Gaza dan Timur Tengah”.

Beliau juga mengalu-alukan “perhatian peribadi” Encik Trump bagi memerangi jenayah rentas sempadan, penipuan dalam talian, dan dadah.

“Tuan Presiden, seperti yang anda sedia maklum, ini ialah bidang yang kita sebutkan sebentar tadi, di mana Singapura mengambil pendekatan yang sangat tegas.

“Ia bidang di mana kami berkongsi keyakinan bersama dan kami menghargai sokongan berterusan anda bahawa kita mesti terus berpendirian tegas terhadap dadah,” kata Encik Wong.

Dalam ucapannya, Encik Wong juga berkata keadaan kestabilan dan keselamatan yang telah membolehkan Asean berkembang dan makmur, juga telah membolehkan rakyat Amerika dan syarikat Amerika meraih manfaat daripada pertumbuhan di rantau ini.

Beliau menekankan bagaimana rantau ini membeli eksport Amerika dari semua 50 negeri Amerika, daripada jagung hingga pesawat Boeing, termasuk beberapa peralatan ketenteraan.

“Hubungan pelaburan dan perdagangan Amerika dengan rantau ini menyokong lebih daripada 600,000 pekerjaan Amerika yang baik.

“Asean, dengan jumlah penduduk hampir 700 juta, merupakan pasaran yang semakin berkembang untuk barangan dan perkhidmatan Amerika,” kata Encik Wong.

Beliau juga berkata hubungan Asean dan Amerika telah saling menguntungkan, dan masih banyak lagi yang boleh dilakukan bersama.

Di akhir ucapannya, Encik Wong berkata Asean dan Amerika akan menandakan 50 tahun hubungannya pada 2027 – tahun di mana Singapura akan menjalankan giliran peranannya sebagai Pengerusi Asean.

Encik Wong berkata: “Kami mungkin mempunyai keistimewaan dan penghormatan untuk menjadi tuan rumah apabila anda kembali ke negara kami sekali lagi.

“Kami berharap dapat menyambut kedatangan anda, dan kami berharap dapat meneruskan hubungan rapat kami dengan Amerika.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg