Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Timor-Leste rasmi jadi anggota ke-11 Asean

Oct 26, 2025 | 6:15 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kiri) bersama pemimpin negara Asean, termasuk Perdana Menteri Timor-Leste, Encik Xanana Gusmao (lima dari kiri) yang mewakili negara ke-11 yang disertakan ke dalam Asean pada 26 Oktober.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kiri) bersama pemimpin negara Asean, termasuk Perdana Menteri Timor-Leste, Encik Xanana Gusmao (lima dari kiri) yang mewakili negara ke-11 yang disertakan ke dalam Asean pada 26 Oktober. - Foto ST

Timor-Leste telah secara rasmi disertakan sebagai negara anggota ke-11 Asean pada 26 Oktober di Majlis Pembukaan Sidang Puncak Asean ke-47 dan Sidang Berkaitan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Malaysia.

Kemasukan Timor-Leste dirasmikan pada pagi 26 Oktober, setelah pemimpin Asean, termasuk Perdana Menteri Encik Lawrence Wong, mengesahkan penyertaan negara tersebut sebagai salah satu perkara pertama dalam agenda sidang puncak tersebut.

Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao menyertai 10 pemimpin Asean untuk menandatangani dokumen yang mengesahkan penyertaan negara tersebut, sekali gus mengesahkan tempatnya sebagai ahli ke-11 kumpulan itu.

Berucap di majlis tersebut, Encik Gusmao berkata Timor-Leste akan bekerjasama dengan Asean untuk memastikan rantau tersebut kekal aman, terbuka dan makmur serta menjadi sebahagian daripada usaha membina daya tahan dan memperkukuh perpaduan.

“Timor-Leste menyertai dengan rendah diri dan bangga, merangkul sepenuhnya nilai teras Asean – saling menghormati, kerjasama aman, perpaduan dalam kepelbagaian, dan solidariti serantau.

“Kami melihat keanggotaan Asean sebagai gabungan semula jadi – berakar dalam budaya dan geografi kami – dan juga merupakan keperluan strategik untuk masa depan negara kami,” kata Encik Gusmao.

Beliau menambah Timor-Leste memasuki Asean dengan komitmen penuh terhadap piagam Asean dan bersedia menjadi anggota yang membina, aman dan berdedikasi.

Mengakui bahawa laluan ke arah keanggotaan telah memakan masa yang lama, Encik Gusmao berkata negaranya telah menyediakan institusinya, memperbaharui dasarnya, dan memperkukuhkan kesediaannya dengan sokongan Asean dan rakan kongsinya.

“Bagi Timor-Leste, permulaan baru ini membawa peluang yang besar dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan dan ekonomi digital.

“Kami bersedia untuk belajar, berinovasi, dan menegakkan tadbir urus yang baik, memperkukuh institusi kami sedang kami berjalan bersama ke arah pembangunan yang mampan,” kata Encik Gusmao.

Semasa ucapan pembukaannya di sidang puncak itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kemasukan bersejarah Timor-Leste ke dalam Asean memberi makna baru kepada Wawasan Komuniti Asean 2045 yang telah diterima pakai pada Mei.

Wawasan itu, kata Datuk Anwar, mewakili aspirasi Asean memperkukuh perpaduan dan pemusatan, mengejar pertumbuhan yang inklusif dan mampan, serta melindungi kebajikan generasi akan datang.

“Dalam komuniti ini, pembangunan Timor-Leste dan autonomi strategiknya akan mendapat sokongan yang kukuh dan berkekalan,” kata Datuk Anwar.

Setelah dokumen tersebut ditandatangani oleh pemimpin Asean, Encik Gusmao menyertai mereka untuk bergambar dan bergandingan tangan bersama mereka bagi menonjolkan gerakan tradisional perpaduan Asean.

Majlis tersebut turut menyaksikan bendera Timor-Leste disertakan secara rasmi bersama bendera anggota negara Asean yang lain.

Timor-Leste merupakan negara yang pertama dalam tempoh 26 tahun yang disertakan ke dalam Asean.

Negara terakhir ialah Kemboja pada 1999.

Timor-Leste yang mencapai kemerdekaan pada 2002 selepas konflik berdekad dan penjajahan asing, mula memohon untuk menjadi negara anggota pada 2011.

Ia menerima kelulusan prinsip pada 2022, susulan usaha pengukuhan institusi dan pembangunan kapasiti selama bertahun-tahun untuk memenuhi keperluan politik, ekonomi dan pentadbiran Asean.

Di luar Sidang Puncak Asean pada 26 Oktober, Encik Wong turut berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala bersama Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa, dan Presiden Majlis Eropah Antonio Costa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg