PHNOM PENH: Kemboja menuduh Thailand meningkatkan serangan ketenteraan di kawasan sempadan yang dipertikaikan pada 26 Disember, meskipun kedua-dua negara sedang mengadakan rundingan i bagi meredakan ketegangan dan menamatkan pertempuran berdarah yang berlarutan sejak awal bulan Disember ini.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Negara Kemboja, Leftenan Jeneral Maly Socheata, berkata tentera Thailand memulakan operasi ketenteraan seawal pagi dengan tembakan artileri berat yang menyasarkan beberapa lokasi sensitif di sepanjang sempadan.
“Serangan bermula pada awal pagi dengan bedilan artileri berat ke kawasan Kuil Preah Vihear di wilayah Preah Vihear serta kawasan Kuil Ta Krabey dan Ta Mone di wilayah Oddar Meanchey,” katanya dalam sidang media di Phnom Penh, menurut Agence Kampuchea Presse.
Beliau berkata serangan itu turut melibatkan operasi jet pejuang dan tembakan puluhan peluru artileri ke arah Kampung Chouk Chey. “Serangan awal itu disusuli dengan bedilan tambahan dan serangan pengeboman menggunakan dron yang menyasarkan Kampung Chouk Chey dan Kampung Prey Chan,” katanya.
Setakat ini, Thailand belum mengeluarkan sebarang pengesahan atau reaksi rasmi terhadap dakwaan tersebut.
Media Thailand pula melaporkan bahawa pasukan Kemboja melancarkan serangan berat sepanjang malam di sempadan Wilayah Sa Kaeo, mengakibatkan beberapa rumah rosak akibat tembakan artileri.
Sebaliknya, pihak tentera Thailand pada 25 Disember memaklumkan penemuan empat periuk api di kawasan berhampiran lokasi seorang anggota tentera Thailand cedera selepas terpijak periuk api di Wilayah Surin. Tentera Diraja Thailand dalam satu kenyataan berkata, “Periuk api ini diletakkan secara berturutan di sepanjang laluan yang digunakan oleh anggota tentera dan berada hanya kira-kira 30 sentimeter dari lokasi letupan asal.”
Perkembangan terbaru itu berlaku ketika Thailand dan Kemboja mengadakan rundingan ketenteraan pertama pada 24 Disember di Wilayah Chanthaburi, Thailand, susulan pertempuran baharu yang tercetus sejak 8 Disember lalu. Menurut laporan rasmi, jumlah korban di kedua-dua pihak kini mencecah 96 orang sejak pertempuran disambung semula, sehari selepas dua anggota tentera Thailand cedera dalam satu insiden di sempadan.
Cik Maly Socheata berkata, meskipun dakwaan serangan masih berterusan, pasukan daripada Jawatankuasa Sempadan Umum Kemboja Thailand dijadual meneruskan rundingan pada 26 Disember. “Kami berharap perbincangan teknikal ini dapat membantu menghentikan permusuhan, memulihkan kestabilan serantau dan membolehkan penduduk yang terpaksa berpindah pulang ke kehidupan normal,” katanya.
Rundingan pada 24 Disember lalu, yang dilaporkan berlangsung kurang daripada satu jam, merupakan pertemuan pertama antara pegawai tentera kedua-dua negara sejak pertempuran kembali tercetus. Menteri pertahanan kedua-dua negara dijadual mengadakan pertemuan susulan pada 27 Disember.
Menurut pihak berkuasa Thailand, sekurang-kurangnya 23 anggota tentera Thailand dan seorang orang awam terbunuh dalam pertempuran, manakala 41 orang awam lain maut akibat apa yang disifatkan sebagai “kesan sampingan” pertempuran. Kementerian Dalam Negeri Kemboja pula melaporkan 31 orang awam Kemboja terbunuh.
Hampir satu juta penduduk di kedua-dua sisi sempadan dilaporkan terpaksa meninggalkan kediaman mereka sejak pertempuran terbaru bermula. Konflik sempadan yang telah lama berlarutan itu kembali memuncak pada Disember, memusnahkan gencatan senjata terdahulu dan mengorbankan lebih 40 orang dalam tempoh singkat, menurut angka rasmi.
Kedua-dua negara saling menuduh pihak lawan memulakan pertempuran dan menegaskan tindakan mereka bersifat mempertahankan diri, sambil menuduh pihak lawan menyasarkan orang awam.
Amerika Syarikat, China dan Malaysia sebelum ini menjadi pengantara gencatan senjata bagi menamatkan pertempuran selama lima hari pada Julai, namun perjanjian itu gagal bertahan lama.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, memaklumkan pada 26 Disember bahawa beliau telah mengadakan perbualan telefon dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, untuk membincangkan “usaha mendapatkan gencatan senjata di sepanjang sempadan Kemboja Thailand.”
Pertikaian berkenaan berpunca daripada sempadan sepanjang kira-kira 800 kilometer yang ditentukan pada era penjajahan, termasuk pertikaian ke atas beberapa tapak kuil purba yang terletak di kawasan tersebut, yang terus menjadi pencetus ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg